KUALA LUMPUR: Pemilik empayar Skop Productions, Datuk Yusof Haslam, 71 tahun, mendedahkan pernah menjadikan sijil kelahiran atau surat beranak, anaknya, Syamsul Yusof, sebagai cagaran kepada peminjam wang tidak berlesen atau along demi mencukupkan modal menerbitkan drama pertama syarikatnya itu.
Yusof, yang menubuhkan Skop Productions pada 1985, mengimbau beliau berada dalam keadaan terdesak dan mahu merebut peluang bagi mendapatkan kontrak drama bernilai RM300,000 ($95,000) daripada RTM yang ketika itu mula menerbitkan drama melalui projek penswastaan dan sedang mencari penerbit berkelayakan.
“Selepas lima bulan Restoran Haslam beroperasi, saya buka pula Skop Production pada 1985. Kebetulan, ketika itu RTM laksanakan projek penswastaan drama.
“Jadi, mereka buka tender kepada penerbit tempatan. Saya ambil peluang itu atas galakan sahabat, Datuk Latifi yang ketika itu pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP).
“Saya kenal beliau ketika penggambaran filem Bukit Kepong. Filem itu menjadi ‘turning point’ (titik perubahan) dalam hidup saya. Jika tidak kerana filem itu, saya tidak kenal anggota polis dan tidak wujudlah drama kepolisan saya.
“Latifi yang galakkan saya terbitkan drama berbentuk kepolisan kerana dia beritahu, drama berbentuk kekeluargaan sudah banyak,” katanya.
Yusof mengaku ketika itu beliau tidak tahu menahu mengenai dunia kepolisan, namun Latifi berjanji membantunya.
“Saya masih ingat, ketika itu, dalam tangan saya hanya ada RM20,000. Hendak dapatkan surat jaminan daripada bank perlu ada sekurang-kurangnya RM45,000.
“Kawan saya adalah bantu sedikit sebanyak, tetapi, masih tidak mencukupi. Saya cuba pinjam ke sana ke mari demi mencukupkan modal RM45,000.
“Saya sanggup bergolok-bergadai termasuk meminjam daripada along Melayu hingga terpaksa cagarkan surat beranak anak.
“Itulah bagaimana bermulanya pembabitan saya dalam penerbitan drama,” katanya dipetik dalam program Buat Saja Podcast, lapor Berita Harian Malaysia.
Drama pertama yang dihasilkan Skop Productions berjudul Remang-Remang Kota Raya sebanyak lima episod.
Malah, Yusof memberitahu, judul drama itu juga diberi Latifi.
Pengorbanan Yusof yang terpaksa bergolok bergadai ternyata berhasil apabila beliau berjaya mendapat kontrak RM300,000 daripada RTM hingga lahirnya projek kedua, ketiga dan seterusnya.
Selain galakan daripada Latifi untuk menubuhkan syarikat penerbitan, kesedaran Yusof juga timbul kerana mengingati pesanan arwah bapa yang mahu beliau mencari pekerjaan lain kerana dunia lakonan tidak menjamin masa depan.
Yusof mengimbau perjalanan hidup termasuk melakukan pelbagai jenis pekerjaan ketika muda.
“Selepas 10 bulan bekerja sebagai konduktor bas, saya cuba nasib di Merdeka Film milik Shaw Brothers. Saya dapat berlakon filem Permintaan Terakhir arahan Datuk Jamil Sulung. Ketika itu, kontraknya dianggap lumayan di mana saya dibayar RM1,500.
“Tetapi, arwah bapa tidak gembira. Arwah pesan supaya tidak letakkan harapan kepada bidang lakonan. Bapa tidak mahu saya jadi seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
“Tetapi, saya masih berangan lagi. Sebelum arwah bapa meninggal dunia akibat sakit kanser, arwah menangis minta saya buat kerja lain. Arwah beritahu jika tidak, dia pergi dalam keadaan tidak tenang.
“Ketika jenazah bapa dimasukkan dalam liang lahad, saya menangis. Saya sedar apa yang bapa cakap memang betul sebab setahun, saya hanya dapat peluang berlakon satu filem sahaja.
“Dahulu filem pun tidak banyak. Stesen televisyen (TV) pun hanya ada sebuah. Kebanyakan penerbit yang ada ketika itu adalah penerbit filem bebas, selepas satu atau dua filem, mereka lenyap,” katanya.
Yusof juga teringat kata-kata abangnya yang beritahu, dunia filem di Malaysia bukan seperti Hollywood.
“Abang saya pun ada nasihatkan saya. Dia kata ini bukan Hollywood. Dia takut saya merempat. Saya pun kena realistik. Sambil berlakon, saya buat kerja lain.
Saya jual kereta terpakai dan baju ‘bundle’ untuk tambah pendapatan.
“Pada usia 23 tahun saya tersedar, saya tak nak jadi seniman yang hanya memiliki nama gah, tetapi, kehidupan tidak sempurna.
“Bagaimanapun, saya tidak salahkan seniman dahulu. Mereka adalah seniman sejati yang betul-betul hidup mati hanyalah dunia filem seperti Allahyarham M Shadan yang tak buat kerja lain selain berlakon,” katanya.
Selepas lima tahun menerbitkan drama dengan lebih 40 judul dihasilkan, barulah Yusuf berjinak-jinak menerbitkan filem.
Filem pertama terbitannya, Bayangan Maut, yang menampilkan Noor Kumalasari dan Ella, berjaya mencecah kutipan sebanyak RM1 juta.
Akui Yusof, beliau tidak yakin filem itu mampu mengutip kutipan sebanyak itu.
Malah, beliau hampir membatalkan hasrat menerbitkan filem berkenaan kerana sambutan terhadap filem Melayu ketika itu lesu.
“Zaman saya buat filem, banyak filem luar masuk. Jadi, filem tempatan tidak boleh ‘jalan’. Saya jadi takut hingga hampir tidak mahu buat filem. Tetapi, isteri beri galakan. Saya bimbang melihat penerbit yang ‘bungkus’ selepas satu atau dua filem.
“Zaman itu, orang tidak mahu tengok filem Melayu. Saya pernah pergi tonton wayang, ketika iklan sebuah filem Melayu dimainkan, ada orang jerit, ‘Baliklah, siapa hendak tengok filem Melayu’.
“Ketika itu, saya belum buat filem lagi. Namun, isteri saya beri galakan. Dia cakap, cuba sahajalah, kalau berjaya teruskan. Lagipun, saya sudah ada restoran, isteri beritahu, jika berlaku apa-apa, saya sudah ada tempat bergantung,” katanya.
Yusof teringat pada malam pertama filem Bayangan Maut ditayangkan di pawagam Odeon di ibu negara.
“Saya memang takut hingga ketika memandu ke panggung Odeon bersama A Galak, tangan saya menggigil. Saya lalu depan Odeon nampak orang sudah penuh. Kebetulan sahabat saya, Allahyarham Yusof Kelana ada di situ.
“Arwah datang kepada saya ucapkan tahniah kerana 12 panggung semuanya habis malam itu,” katanya mengimbau kembali kenangan kira-kira 40 tahun lalu.
Filem kedua terbitan Skop Productions, iaitu Pemburu Bayang, turut mencatat kutipan memberangsangkan apabila meraih kutipan bernilai RM1.8 juta.
Filem seterusnya, Sembilu, pula mengaut RM4.7 juta biarpun lari daripada genre kepolisan.
Sembilu II yang menyusul pula meraih kutipan ‘box office’ RM6 juta sehingga Yusof mendapat julukan ‘Six Million Dollar Man’.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg