Rafaat Hamzah terus berkarya, bertemu damai di Yogyakarta

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rafaat Hamzah terus berkarya, bertemu damai di Yogyakarta

Feb 24, 2026 | 10:13 AM

Rafaat Hamzah terus berkarya, bertemu damai di Yogyakarta

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Rafaat dan isteri inginkan kehidupan lebih tenang, tetapi lebih bermakna di Yogyakarta.
Rafaat dan isteri inginkan kehidupan lebih tenang, tetapi lebih bermakna di Yogyakarta. - Foto ihsan RAFAAT HAMZAH

Bulan Ramadan kali ini dirasai berbeza oleh pelakon veteran Rafaat Hamzah, 60 tahun, dan isterinya Cik Alisa Abu Bakar, 45 tahun, yang baru berpindah ke Yogyakarta pada Januari lalu.

Bagi pasangan ini, Ramadan di perantauan lebih bersifat rohani dan tenang, jauh dari hiruk-pikuk bazar dan kesibukan kota Singapura.

“Ini adalah kali pertama buat Alisa, tetapi saya pernah mengalami Ramadan di Jogja sebelum ini.

“Antara perkara terbaik bagi saya ialah tiada siapa terlalu memikirkan bazar Ramadan. Amalan takjil (berkongsi makanan untuk berbuka) pula merupakan antara perkara yang paling saya hargai,” kata Rafaat yang juga seorang pengarah, penulis, pelukis yang sudah berkarya selama lebih empat dekad.

Keputusan Rafaat dan Alisa berpindah bukan sekadar mencari ketenangan, tetapi juga menyambung kehidupan dengan tujuan yang lebih bermakna.

Dalam rentak kota yang lebih perlahan, mereka dapat menikmati udara segar, lebih ruang untuk bergerak, dan masa yang lebih panjang untuk berkarya serta menelaah seni.

Rafaat Hamzah (berdiri, kanan) bersama isterinya, Cik Alisa Abu Bakar menghabiskan banyak waktu bersama di Yogyakarta, tempat mereka bermastautin sekarang.
Rafaat Hamzah (berdiri, kanan) bersama isterinya, Cik Alisa Abu Bakar menghabiskan banyak waktu bersama di Yogyakarta, tempat mereka bermastautin sekarang. - Foto ihsan RAFAAT HAMZAH

“Dalam kehidupan yang perlahan, kami dapat mengamati lebih banyak masa. Pagi dimulakan lebih awal, senja terasa lebih lama.

“Kami berehat membaca buku, menghadiri sesi seni terapi atau bersenam. Tanpa tergesa-gesa, satu hari boleh diisi dengan pelbagai aktiviti,” kata Rafaat ketika ditemu bual oleh Berita Harian (BH).

Bagi Rafaat, langkah ini bukan penghijrahan, tetapi satu pemindahan tempat dalam kawasan tanah yang serumpun.

“Seperti nenek moyang saya yang berpindah ke Tanah Melayu dan kemudian Singapura, saya cuma kembali ke Tanah Jawa.

Cintanya pada Yogyakarta bermula ketika lawatan awal pada 2000-an, diikuti pengalaman bermastautin selama tiga tahun sebelum pandemik memaksanya pulang ke tanah kelahiran.

“Impian saya adalah untuk terus bersara di Yogyakarta. Setelah mendirikan rumahtangga, saya bawa isteri saya Alisa ke sana selama tiga minggu, dan beliau bersetuju ia satu tempat yang cocok untuk bersara.

“Cuma kami tidak sangka, masa itu datang terlalu cepat,” katanya.

Pasangan ini, yang baru menyambut ulang tahun perkahwinan kelima, mengakui perpindahan ini penuh ketidakpastian. Namun, mereka melaluinya selangkah demi selangkah sebagai satu pengembaraan.

“Kadang-kadang ia meletihkan dan tidak semuanya sempurna, tetapi ia juga menguji kerjasama kami sebagai pasangan dan mengukuhkan perkahwinan,” ujar Rafaat, bapa kepada enam anak.

Antara satu ujian yang mereka lalui seminggu setelah sampai ke Yogyakarta ialah gempa bumi dengan magnitud 6.1 yang dirasai sewaktu lewat malam.

“Kami terbangun kerana terdengar deruan angin yang kuat, dan rumah kami seakan bergegar. Saya terus kejutkan isteri dan kami berlari ke bawah.

“Jiran-jiran pun keluar juga. Barulah kami tahu kejadian itu sebenarnya gempa bumi. Itu adalah pengalaman saya yang kedua tetapi yang pertama oleh isteri saya. Mujur tidak ada kerosakan, tetapi kami telah diberi amaran bahawa gempa bumi susulan akan terjadi,” terang Rafaat.

Persiapan kewangan dilakukan dengan teliti melalui perancangan dan pendapatan pasif. Dengan jarak hanya dua jam dari Singapura, mereka masih boleh berulang-alik untuk bertemu anak-anak yang menetap dengan ibu bapa masing-masing.

Rafaat juga bersedia menerima peluang kerja di Singapura jika ditawarkan.

“Kadang-kadang, kita lebih ‘terlihat’ apabila berada jauh. Seorang seniman tidak pernah bersara. Teknologi menjadikan dunia lebih kecil, membolehkan kita bekerja dan memberi khidmat dari mana-mana,” tambahnya.

Kini, fokus Rafaat adalah pada penerbitan karya, melukis, menulis, dan meneruskan pengajian dalam bidang seni, khususnya teater.

Ramadan menjadi waktu refleksi, mengajaknya merenung, memulakan kehidupan yang lebih tenang dan penuh makna.

“Tidak perlu takut dalam memilih kehidupan yang anda inginkan. Dunia ini memang berbahaya, tetapi hidup tidak bermakna jika hanya berasa cemburu terhadap kebahagiaan orang lain.

“Jika anda selamat dan bahagia di mana anda berada, itulah tempat terbaik untuk anda,” nasihat Rafaat kepada mereka yang ingin memulakan hidup baru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg