Topic followed successfully
Go to BHkuRahim Jailani stabil selepas serangan jantung dalam tidur
Rahim Jailani stabil selepas serangan jantung dalam tidur
Pelakon ‘Gerak Khas’ kini berehat di kampung Negeri Sembilan sebelum jumpa pakar di Kuala Lumpur
Rahim Jailani stabil selepas serangan jantung dalam tidur
KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Rahim Jailani, 64 tahun, kini dalam keadaan stabil, bagaimanapun memerlukan rawatan lanjut selepas dimasukkan ke sebuah hospital di Negeri Sembilan akibat serangan jantung ketika tidur, pada 4 April.
Anaknya, Muhamad Fadzlan Tasyriq, 25 tahun, berkata bapanya akan dibawa ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat untuk mendapatkan nasihat dari pakar di sini.
“Jumaat lalu, ayah dimasukkan ke salah sebuah hospital di Negeri Sembilan kerana serangan jantung ketika sedang tidur kira-kira 12 tengah malam.
“Ibu saya yang perasan ketika itu, lalu mengejutkan saya. Saya telefon ambulans untuk membawanya ke hospital.
“Ayah dimasukkan ke hospital sehingga semalam (7 April). Buat masa ini, ayah masih di kampung di Negeri Sembilan.
“Kami akan balik ke Kuala Lumpur untuk rujuk ayah di hospital di sana. Rawatan ini untuk periksa keadaan jantung sama ada perlu pembedahan atau tidak.
“Doktor kata ayah kena serangan jantung dan paru-parunya berair. Serangannya agak teruk dan memang tak boleh nak bernafas, bila sampai ke hospital dan diberikan oksigen barulah nafasnya lancar,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Tasyriq berkata, ini adalah serangan jantung kedua dialami bapanya kerana terlepas memakan ubat.
“Ini adalah serangan berat yang kedua dan pemakanan antara salah satu faktor dan ia juga disebabkan ayah ada terlepas makan ubat.
“Dia memang bergantung pada ubat. Tapi, Alhamdulillah, sekarang agak stabil berbanding sebelum ini.
“Kalau diikutkan ayah ada penggambaran hari ini dan esok, tapi terpaksa ditangguhkan untuknya berehat,” katanya.
Sebelum itu, Tasyriq menerusi media sosial memuat naik foto memohon orang ramai mendoakan kesembuhan bapanya itu.
Rahim dikenali menerusi pelbagai watak dalam filem dan drama tempatan sejak era 1980-an, termasuk lakonannya dalam filem Gila-Gila Remaja 2, Coast Guard Malaysia: Ops Helang, Imam dan drama bersiri Gerak Khas.

