Kalau berjalan memang ligat, kalau bercakap memang bersemangat, kalau menyanyi, pastinya mempesona!
Itulah ikon seni Singapura, Rahimah Rahim, yang pada 9 Disember ini menyambut ulang tahunnya yang ke-70 tahun, akan melancarkan projek legasi muzik terbaru pada Januari 2026.
Projek yang bakal dilancarkan pada 16 Januari itu dilakukan sempena merai ulang tahun kelahiran dan legasi enam dekad Rahimah yang merupakan penerima Pingat Kebudayaan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) 2021.
Karya utama yang bakal dilancarkan ialah single baru bertajuk, ‘Hidup Ini’, yang ditulis oleh komposer Singapura, Saifuldin Ali, kata beliau kepada Berita Harian semasa ditemui baru-baru ini.
Lagu itu merupakan renungan yang sarat dengan mesej reflektif, mengupas tentang perjalanan hidup dan pilihan yang membentuk takdir kehidupan seseorang.
“Pada Januari akan datang, saya akan melancarkan dua lagu yang dihasilkan bersama team saya yang merupakan bakat-bakat tanah air kita.
“Lagu ini saya pilih kerana ia sesuai dengan perjalanan saya sebagai artis dan juga manusia biasa. Ia mengingatkan kita agar menghargai kehidupan dan meraikan cinta.
“Masanya sudah tiba. Umur saya sudah 70 tahun, ini masanya saya meninggalkan legasi muzik kepada generasi baru,” kata penyanyi yang terkenal dengan lagu hit seperti, ‘Hati Yang Rapuh’ serta ‘Gadis dan Bunga’ itu.
Rakaman lagu ‘Hidup Ini’ telah dilakukan di studio Gingerbread, sekali gus menghormati dan menjalin kerjasama dengan jenama dan band tempatan Singapura.
Lagu kedua yang bakal dilancarkan ialah nyanyian semula (cover) lagu klasik era 1970-an, ‘Si Manis 17’ yang pernah dinyanyikan oleh arwah bapa saudaranya sendiri, pelakon dan penyanyi legenda, Ahmad Daud.
Sebagai penghormatan terhadap warisan seni keluarganya, Rahimah turut membawa satu pembaharuan kepada lagu rancak itu dengan bekerjasama dengan kumpulan retro Singapura, The Pinholes, dalam projek nyanyian semula itu yang dirakam di Studio 47.
“Saya teruja bekerjasama dengan kumpulan muda yang berbakat seperti mereka, dan berharap lagu yang diberi nafas baru ini akan didengar semua dan mendapat perhatian oleh generasi muda,” kata Rahimah yang mula bergiat sebagai penyanyi seawal usia 16 tahun dan pernah memenangi anugerah berprestij, Kimi Koso Star, di Jepun pada 1974.
Projek legasi muzik itu merupakan usaha 100 peratus bakat Singapura.
Ia diselia oleh adiknya sendiri, Rozie Rahim, sebagai Penerbit Eksekutif, dan melibatkan kerjasama dengan penerbit muzik veteran Singapura, Art Fazil, serta pengatur muzik, Nahli.
“Mencapai usia 70 tahun bukan sahaja satu mercu tanda, ia adalah saat untuk muhasabah dan meninggalkan sesuatu yang bermakna untuk pendengar masa depan,” ujar Rahimah.
“Lagu-lagu ini adalah cara saya berkongsi perjalanan hidup saya, daripada pilihan yang kita buat hinggalah kepada prinsip hidup yang mengukuhkan kita.
“Saya amat bersyukur atas peluang dan kasih sayang daripada peminat saya selama bertahun lamanya,” tambah beliau.
Pengiktirafan tertinggi seni negara, Pingat Kebudayaan pada 2021, merupakan saksi kepada sumbangan besarnya dalam bidang seni tempatan dan antarabangsa.
Dengan penuh kesyukuran, beliau juga tidak lupa pingat yang diterimanya adalah hasil pencalonan teman baik dan juga penyanyi tempatan, Rudy Djoe, yang mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan kertas kerja membentangkan pencalonannya itu.
“Saya tak akan lupa budi baiknya. Dia datang pada saya dan kata, ‘Saya dah buat ini, dan insya-Allah ada rezeki kakak dapat ya...’
“Saya terkejut sangat dan alhamdulillah NAC beri saya anugerah Pingat Kebudayaan. Saya betul-betul terhutang budi dengan keikhlasan Rudy,” katanya.
Pelancaran dua lagu baru itu akan disiarkan di wadah muzik seperti Spotify, Apple Music dan klip video juga akan dimuat naik di YouTube setelah acara perasmian tertutup untuk media dan teman industri pada 16 Januari kelak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg