Cermin mata berbingkai tipis, kemeja bercorak bintik polka, tali pinggang berkepala besar dan but bertali.

Itulah antara ciri fesyen yang pernah menjadi identiti penyanyi legenda pop yeh yeh, Datuk Jeffrydin, ketika namanya mula meniti populariti pada era 1960-an.

Bagi penyanyi berusia 79 tahun itu, penampilan bukan sekadar pelengkap persembahan, malah menjadi cara untuk menonjolkan keperibadian dan membezakan dirinya daripada artis lain.

Jeffrydin, atau nama sebenarnya, Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman, memang tidak gentar bereksperimen dengan fesyen, daripada kemeja berlengan kembang hinggalah ‘vest coat’ atau kot rompi berpotongan panjang yang jarang digayakan pada zaman tersebut.

“Saya tak nak ikut orang. Saya suka tengok filem orang putih dan dari situlah saya dapat idea. Kalau orang lain pakai satu gaya, saya nak pakai gaya yang lain.

“Baju pun saya buat sendiri. Saya pergi ke kedai, beritahu tukang jahit macam mana fesyen yang saya nak.

“Saya suka mencuba macam-macam gaya,” ujarnya kepada Berita Harian (BH) melalui Zoom, baru-baru ini.

Wawancara ini diadakan di ambang persembahan Jeffrydin sempena acara, Pop Yeh Yeh Extravaganza, yang bakal berlangsung di De Villa Ballroom, Centrium Square pada 17 Oktober.

Acara itu akan berlangsung dari 12 tengah hari hingga 3 petang.

Acara ‘Pop Yeh Yeh Extravaganza’ bakal menghimpunkan penyanyi legenda, Datuk Jeffrydin, bersama barisan artis tempatan termasuk Sunny Jackson, Maria Bachok, June Abdullah dan Sanisah Huri, di De Villa Ballroom, Centrium Square, pada 17 Oktober, dari 12 tengah hari hingga 3 petang.
Acara ‘Pop Yeh Yeh Extravaganza’ bakal menghimpunkan penyanyi legenda, Datuk Jeffrydin, bersama barisan artis tempatan termasuk Sunny Jackson, Maria Bachok, June Abdullah dan Sanisah Huri, di De Villa Ballroom, Centrium Square, pada 17 Oktober, dari 12 tengah hari hingga 3 petang. - Foto HAFEEZ GLAMOUR

Selain Jeffrydin, acara itu turut dimeriahkan dengan persembahan barisan penyanyi tempatan seperti Sunny Jackson, Maria Bachok, June Abdullah dan Sanisah Huri.

Dalam acara tersebut, beliau akan menyanyikan empat lagunya termasuk, Kenanganku dan Seruling Anak Gembala.

Sebelum ini, Jeffrydin turut tampil membuat persembahan dalam acara, Muzikita: Pop Yeh Yeh, yang diadakan di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 29 Ogos.

Gaya berani corak identiti seni

Demi memastikan setiap busana menepati cita rasanya ketika itu, Jeffrydin yang terkenal dengan lagu, Siti Haida, Gadis Manja dan Mas Mona, itu sanggup menempah pakaian khas di Geylang.

Antara rekaan kegemarannya ialah kemeja bercorak bintik polka bersaiz sederhana serta kemeja dengan enam butang yang membolehkannya menghasilkan kesan kembang pada bahagian lengan.

Penampilan itu kemudian dilengkapkan dengan kot rompi berpotongan panjang, berbeza daripada rekaan pendek yang lazim digayakan pada zaman itu.

“Kemeja saya ada enam butang. Bila saya kembangkan bahagian lengan, ia jadi ‘puffy’.

“Kemudian saya padankan dengan ‘vest coat’.

“Orang lain pakai kot biasa, saya pakai ‘vest coat’. Tapi ‘vest coat’ saya pun lain.

“Kalau orang lain punya pendek, saya punya panjang,” jelasnya.

Kenangan dengan Allahyarham A. Ramlie

Keghairahan Jeffrydin mencipta kelainan dalam berfesyen turut menarik perhatian rakan seangkatannya, termasuk Allahyarham A. Ramlie, yang sering ingin tahu tempat beliau mendapatkan pakaian dan aksesori.

Namun begitu, Jeffrydin lebih gemar menyimpan rahsia itu bagi memastikan penampilannya kekal unik dan tidak mudah ditiru.

Di sebalik persaingan membina nama dalam industri muzik, hubungan kededua penyanyi kelahiran Singapura itu cukup akrab.

Mengimbau kembali kenangan ketika mereka berkongsi bilik di kawasan Kaki Bukit, Jeffrydin masih teringat gelagat Allahyarham A. Ramlie yang tidak putus-putus bertanyakan soal pakaian meskipun masing-masing sudah bersiap untuk tidur.

“Saya masih ingat, ketika hendak tidur, arwah sibuk bertanya tentang pakaian yang akan saya gayakan keesokan harinya.

“Beliau tanya, ‘Jeff (panggilan buat Jeffrydin), esok kau nak pakai baju warna apa? Kau ada bawa kasut lebih tak?’

“Saya pun jawab, ‘Aku nak tidurlah, Ram (panggilan buat A. Ramlie).’ Tapi dia terus bertanya.

“Kebetulan, saya memang ada membawa kasut tambahan.

“Jadi, saya beritahu dia, ‘Ram, esok kau pakailah kasut aku. Aku ada bawa kasut lebih.’

“Dia pun gembira, tetapi apabila bercakap tentang warna pakaian, kami sepakat untuk tidak berpakaian sedondon.

“Kalau warna sama, nanti orang ingat kami satu kumpulan macam di Korea pula,” seloroh bapa tiga anak berusia 45, 38 dan 30 tahun itu.

Bina nama dari pentas kecil

Di sebalik busana yang menyerlah dan populariti yang diraih, Jeffrydin menegaskan, perjalanan untuk mencipta nama dalam industri muzik pada zaman dahulu bukanlah semudah yang disangka.

Sebelum berpeluang menghiburkan penonton di pentas besar, penyanyi seangkatannya perlu terlebih dahulu mengasah bakat menerusi persembahan kecil dan pertandingan nyanyian.

“Dahulu, kami bermula dengan menyanyi di majlis perkahwinan untuk mencari pengalaman.

“Dari situ, kami cuba nasib di balai rakyat pula.

“Kalau menang pertandingan di balai rakyat, barulah ada peluang untuk membuat persembahan di panggung besar. Semuanya perlu dilalui secara bertahap.

“Berbeza dengan sekarang, seseorang boleh bergelar artis dengan hanya menghasilkan sebuah lagu,” ujar datuk dua cucu berusia tiga dan enam tahun itu.

Menurut Jeffrydin, penyanyi pada zaman itu juga perlu menguasai sekurang-kurangnya 10 lagu sebelum dianggap bersedia untuk menceburi bidang nyanyian.

Malah, beliau masih mengingati bayaran yang diterimanya ketika mula membina kerjaya, sebelum namanya semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat.

“Bayaran persembahan saya pada awal kerjaya hanya RM500 ($156.72), tetapi jumlah itu dianggap besar pada waktu tersebut.

“Lama-kelamaan, bayaran meningkat kepada RM800, kemudian RM1,000.

“Apabila saya sering memenangi program radio yang terkenal antara 1960-an dengan 1970-an iaitu, Penyanyi Pujaan Minggu Ini di Singapura, nama saya semakin dikenali dan bayaran persembahan turut meningkat,” tambahnya.

Pada usia kini, semangat Jeffrydin untuk terus menghiburkan peminat tidak pernah luntur.

Selagi kesihatan mengizinkan, pelantun lagu, Termenung, itu belum bersedia meletakkan noktah pada perjalanan seninya.

“Isteri dan anak-anak juga tidak pernah meminta saya bersara.

“Setiap pagi, saya akan melakukan senaman, termasuk berjalan pantas untuk menjaga kecergasan dan stamina tubuh badan,” tambaj beliau.

Tiket bagi acara, Pop Yeh Yeh Extravaganza, yang berharga $89 seorang, boleh ditempah menerusi talian 8671-0045.