Pelakon veteran, Sukarni Jaafar, mohon hentikan kecaman ke atas anak saudaranya yang juga pelakon era 1980-an, Raja Ema, berikutan isu membabitkan dua anaknya bersama bekas suami, Sheqal.
Sukarni berkata orang luar tidak mengetahui apa yang dilalui Raja Ema bersama dua anak lelakinya, Putera Ammar dan Putera Al-Kasyah.
Katanya, Raja Ema, 56 tahun, cukup terkesan dengan kecaman dilemparkan netizen terhadap dirinya.
“Buat pengetahuan, Raja Ema tak pernah menghalang anak-anaknya berjumpa Sheqal.
“Sebagai ibu saudara, saya menyaksikan apa yang dilalui. Tapi, tak perlulah saya ceritakan apa yang berlaku demi menjaga nama baik kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi Berita Harian Malaysia (BHM).
Menurut Sukarni lagi, Raja Ema turut menangis apabila dikatakan menghalang anak-anak daripada berjumpa Sheqal.
Katanya, Raja Ema, yang terkenal dengan lagu Jejaka Idaman tidak pernah menghalang anak-anaknya dan menafikan anak saudaranya sebagai ibu jahat.
“Tak mengapalah, saya tak mahu panjangkan cerita. Seperti kata Raja Ema, sebelum keluarkan apa-apa kenyataan biarlah beradab,” katanya.
Terdahulu, isteri Sheqal, Cik Normah Mohd Yusoff, 58 tahun, mengharapkan kedua-dua anak suaminya bersama Raja Ema dapat melawat ayah mereka semasa hayatnya masih ada.
Menurut Cik Normah, beliau tidak pernah melihat mereka bertemu antara satu sama lain di mana-mana lokasi sejak berkahwin dengan penyanyi terbabit 25 tahun lalu.
Cik Normah, justeru itu, amat berharap kerana mungkin ini kali terakhir Sheqal berjumpa mereka memandangkan keadaan suaminya yang dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban sejak 5 Jun dan ditidurkan masih tiada perubahan.
Raja Ema kemudian dilihat memuat naik status di akaun Facebook.
“Kekma ni walau dah usia macam ni masih ada ‘family’ lagi... Masih ada Bonda Hajjah Sukarni... Walau apa-apa tak boleh suka-suka... Biar beradab, lebih lagi hal ‘family’.. Jangan lupa adab...,” tulisnya.
Sementara itu, usaha BHM mendapatkan kenyataan Raja Ema tidak berjaya apabila beliau tidak menjawab panggilan telefon.
Terdahulu, Raja Ema dan Sheqal berkahwin pada 1993 dan dikurniakan Putera Ammar dan Putera Al-Kasyah. Pasangan ini bercerai pada 1999 kerana tidak lagi sehaluan dan tidak memiliki persefahaman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg