Perkongsian penyanyi dan pelakon popular era 1980-an, Raja Ema, dalam Facebook menimbulkan persoalan ramai.
Hantaran dipercayai dibuat sebagai mengulas kenyataan isteri bekas suaminya, Sheqal, yang meminta anak-anak hasil perkahwinan dengan Raja Ema melawat ayahnya yang kini sedang sakit.
Menerusi tulisannya, Raja Ema, atau nama sebenarnya, Raja Ema Raja Ibrahim, 56 tahun, meminta agar merujuk sesuatu perkara dengan ibu saudaranya, yang juga pelakon Sukarni Jaafar.
“Kekma ni walau dah usia macam ni masih ada ‘family’ lagi... Masih ada Bonda Hajjah Sukarni... Walau apa-apa tak boleh suka-suka... Biar beradab, lebih lagi hal ‘family’.. Jangan lupa adab...,” tulisnya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Pada 9 Jun, Harian Metro melaporkan isteri Sheqal, Cik Normah Mohd Yusoff, 58 tahun, mengharapkan kedua-dua anak suaminya bersama Raja Ema dapat melawat ayah mereka semasa hayatnya masih ada.
Menurutnya, beliau tidak pernah melihat mereka bertemu antara satu sama lain, di mana-mana lokasi sejak berkahwin dengan penyanyi terbabit 25 tahun lalu.
Cik Normah amat berharap kerana mungkin ini kali terakhir Sheqal berjumpa mereka memandangkan keadaan suaminya yang dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban sejak 5 Jun dan ditidurkan masih tiada perubahan.
Menurutnya, beliau bercakap dengan suaminya bahawa akan menemukan dirinya dengan anak-anaknya dalam situasi Sheqal sedang koma.
Sementara itu, usaha Harian Metro mendapatkan kenyataan Raja Ema tidak berjaya apabila tidak memberikan tindak balas.
Terdahulu, Raja Ema dan Sheqal berkahwin pada 1993 dan dikurniakan dua anak lelaki, Putera Ammar dan Putera Al-Kasyah. Pasangan ini bercerai pada 1999 kerana tidak lagi sehaluan serta sefahaman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg