Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakam lagu saduran lama, sesuaikah untuk era masa kini?

Aug 25, 2025 | 5:30 AM
Kumpulan Black Dog Bone yang dianggotai (dari kiri) Allahyarham Masron Matali, Razzi M, Michael Heng, James Chai, Jatt Ali dan Hamid Ahmad (duduk di depan), mempopularkan lagu ‘Khayalan’, yang dipadankan daripada lagu ‘Fantasy’ oleh Earth, Wind & Fire, pada era 1970-an.
Kumpulan Black Dog Bone yang dianggotai (dari kiri) Allahyarham Masron Matali, Razzi M, Michael Heng, James Chai, Jatt Ali dan Hamid Ahmad (duduk di depan), mempopularkan lagu ‘Khayalan’, yang dipadankan daripada lagu ‘Fantasy’ oleh Earth, Wind & Fire, pada era 1970-an. - Foto fail

Siapa sahaja yang tidak akan terbuai apabila mendengar suara merdu bak buluh perindu penyanyi dan pelakon asal Britain, Cynthia Erivo, dalam klip video 2019?

Lebih-lebih lagi apabila beliau menyanyikan lagu klasik, Fantasy, nyanyian asal kumpulan Barat era 1970-an, Earth, Wind & Fire, pada acara tahunan yang mengiktiraf anak seni (pelakon, pemuzik, pereka bentuk dan karyawan kreatif) atas dedikasi mereka pada bidang kesenian, Kennedy Center Honors.

Mungkin anak muda pada umumnya tidak menyedari bahawa lagu Fantasy juga mempunyai versi bahasa Melayu.

Tidak lain dan tidak bukan, lagu Khayalan, dendangan kumpulan Black Dog Bone (BDB), yang merupakan lagu saduran Fantasy.

Lagu popular dalam kalangan masyarakat Melayu pada era 1970-an, Khayalan, akan sentiasa memberi satu cetusan nostalgia muzik malar segar yang menghangatkan lagi suasana.

Malah, lagu tersebut turut disegarkan dalam versi ‘rap’ yang lebih moden oleh kumpulan legenda era 1990-an Malaysia, Ruffedge, dan juga V.E.

Berbalik kepada era 1970-an, fenomena lagu saduran atau ‘cover song’ dan silang inspirasi seperti itu bukanlah perkara luar biasa. 

Ini kerana pasaran muzik sejagat ketika itu lebih kecil (tidak seluas kini) dan dikawal oleh segelintir label rakaman. 

Lagu seperti, In The Stone (Earth, Wind & Fire), On The Shelf  (Donny & Marie Osmond) dan When Will I See You Again (Three Degrees) sering diadaptasi ke pasaran muzik berbeza-beza.

BDB mengubah In The Stone menjadi Malam Kenangan, manakala On The Shelf pula diberi versi Melayu, Ku Mengerti.

When Will I See You Again pula dijadikan lagu Melayu, Lekaslah Kembali, oleh Anita Sarawak.

Ada yang diterjemah liriknya, diubah suai mengikut budaya tempatan, malah ada juga yang mengekalkan melodi versi asal. 

Barangkali di Asia Tenggara, langkah itu bertujuan mengetengahkan gaya pop antarabangsa kepada masyarakat umum.

Menjelaskan tentang fenomena lagu saduran pada 1970-an, komposer legenda Allahyarham S Atan, pernah berkata dalam akhbar Berita Harian (BH):

“Banyak lagu saduran dihasilkan pada waktu itu kerana artis berkenaan sukakan lagu-lagu Inggeris ini. 

“Misalnya, kumpulan Black Dog Bone sukakan lagu Fantasy yang sedap didengar, lantas merakam Khayalan.

“Sungguhpun begitu, kami tidak abaikan perihal hak cipta.

“Sebab kami berada dalam label rakaman antarabangsa EMI, maka kami pun menulis kepada label di Amerika Syarikat, misalnya, bagi mendapatkan keizinan merakam lagu popular itu dalam bahasa Melayu.”

Era 1970-an turut menyaksikan satu keistimewaan tersendiri dalam dunia muzik, apabila lagu-lagu saduran menjadi jambatan yang membawa nama-nama artis tempatan ke puncak populariti.

Lalu, saya mula tertanya-tanya berapa banyak lagi lagu Melayu sebenarnya merupakan versi saduran? 

Pencarian secara rambang yang bermula daripada rasa ingin tahu, mendedahkan lebih banyak contoh daripada yang saya sangka. 

Antara yang menyerlah ialah lagu Allahyarhamha Datuk Sharifah Aini, Sayangku dan Manis-Manis, yang diadaptasikan daripada karya popular kumpulan Sweden, Abba, iaitu I Do, I Do, I Do, I Do, I Do dan Honey, Honey

Menariknya, dua lagu itu dicipta di sebuah kabin kecil di pulau Viggso, Stockholm.

Pada awalnya, lagu Honey, Honey dianggap remeh oleh Abba kerana ia ibarat luahan cinta monyet.

Bagaimanapun, lagu itu akhirnya menguasai carta dunia sebelum ia dinyanyikan semula dalam lenggok suara lunak Sharifah Aini.

Tidak ketinggalan, Sanisah Huri turut tampil dengan, Namamu Nyanyian Hidupku, adaptasi daripada lagu instrumental Kyoto Doll oleh kugiran Amerika, The Ventures, yang asalnya berjudul Kyoto Love

Apabila diamati liriknya dan diperdengarkan melalui vokal merdu penyanyi Jepun, Yuko Nagisa, lagu itu menemukan nafas baru lalu dipopularkan melalui kehalusan vokal Sanisah.

Pendek kata, zaman 1970-an boleh digambarkan sebagai era kegemilangan lagu saduran yang meriah dan berwarna-warni dalam industri muzik rantau ini.

Tindakan menyadur lagu bukanlah sesuatu yang negatif. 

Malah, ia juga boleh dianggap sebagai cara memberi penghormatan kepada penyanyi asal lagu tersebut.

Namun begitu, dalam konteks kini, isu hak cipta juga semakin ketat.

Apatah lagi ramai penyanyi kini menulis lagu mereka sendiri, lantas menjadikan karya masing-masing lebih terlindung dan sukar diadaptasikan.

Saya akui lagu saduran juga mampu membuka jalan kepada artis baru dalam berkarya, namun, sikap terlalu bergantung pada karya saduran tidak menjamin kelangsungan dalam persada seni.

Jika seorang penyanyi hanya dikenali dengan lagu saduran, maka terdapat risiko kehilangan ruang untuk membina jati diri sendiri dalam kerja seni mahupun industri hiburan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg