Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Media harus peka perasaan artis, bukan hanya fikir ‘rating’

Bakat hiburan perlu ruang untuk elak diri dibuli netizen hingga diserang murung
Aug 9, 2025 | 5:30 AM
artis, respect, netizen, buli, Bella Astillah, Sophia Albarakbah
Bella Astillah (kanan) jadi serba tak kena apabila perlu menyampaikan Anugerah Selebriti Feminin Terhangat pada majlis ‘Anugerah Melodi Terhangat 2025’, anjuran TV3, kepada pelakon, Sophia Albarakbah. Sophia pernah didakwa mempunyai hubungan dengan bekas suami Bella, Aliff Aziz. - Foto TANGKAP LAYAR TV3

Setiap media, baik tradisional mahupun digital, pastinya ingin ‘memancing’ perhatian pembaca, pendengar atau penonton, atau menambah ‘rating’ dengan kisah-kisah sensasi.

Bagaimanapun, kadangkala dalam usaha nak jadi media paling berani yang mampu menyiarkan berita ‘hangat’ lebih dahulu berbanding rakan media lain, satu perkara dilupakan, iaitu menjaga perasaan artis atau bintang yang menjadi sasaran atau mampu menarik perhatian ramai kerana kekecohan kontroversi silam.

Inilah yang berlaku dalam siaran langsung program TV3, Anugerah Melodi Terhangat 2025, pada 3 Ogos lalu.

Seisi penonton di Dewan Putra, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Malaysia, mahupun yang menyaksikannya dari keselesaan rumah mereka terperanjat dek kejutan yang tiba-tiba dirancang TV3.

Pada saat-saat akhir, pelakon asal Singapura, Hisyam Hamid, dikatakan diminta untuk tidak menyampaikan Anugerah Selebriti Feminin Terhangat kepada pelakon, Sophia Albarakbah.

Sebaliknya, pasangan hangat buat masa ini, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pula diamanahkan bagi melakukan tugas berkenaan.

Di dalam hati ramai penonton seperti saya yang tahu kisah, sudah berdetik rasa tak senang dan berdebar-debar.

Bukankah Bella dan Sophia ada kes dahulu kerana Sophia pernah dikatakan mencetus kontroversi dan didakwa menjalin hubungan dengan bekas suami Bella, Aliff Aziz, sejak mereka terbabit dalam penggambaran drama berjudul, Ku Akad Kau Dengan Bismillah?

Kasihan pula lihat Bella yang nampak serba tak kena, lantas setelah membuka sampul nama pemenang, berkata: “Yang ini, saya kenal… Kenal sangat. Sophia!”

Sophia nampak tenang-tenang sahaja tetapi Tuhan sahaja yang tahu apa yang mengisi minda dan hatinya ketika perlu menerima sejambak bunga daripada Bella, yang pastinya bak lagu kumpulan Gersang, beranggapan, ‘Masih Aku Terasa’.

Sejak peristiwa itu, ramai netizen mula bersembang dan berbincang hangat tentang perkara ini.

Ada yang mengungkit kisah lama dan menyalahkan Sophia kerana tak pasal-pasal menggugat perasaan Bella yang nampaknya sudah menjalani hidup dengan tenang dan bahagia selepas berpisah daripada Aliff.

Ada pula yang menganggap Bella terlalu emosi kerana bukankah ini sudah jadi sejarah lama yang tak perlu bersarang di fikiran?

Tapi sebilangan netizen dan beberapa artis juga turut meluahkan pandangan dengan menyatakan TV3 tidak wajar mengapi-apikan suasana dengan buat cerita lama kembali menjadi topik perbincangan dan sorotan di media sosial.

Sepatutnya ada kepekaan untuk tidak meletakkan Bella sebagai penyampai anugerah kepada Sophia.

Kekalkan sahaja rancangan awal menampilkan Hisyam agar suasana tak jadi kekok, diam seribu bahasa atau kecoh.

Pelakon drama terkenal, Nur Kasih, Tiz Zaqyah, pula mengecam rancangan Melodi sebagai peneraju Anugerah Melodi Terhangat kerana tidak peka dengan perasaan Bella dan Sophia, seakan-akan membuli dua bakat ini, sepertimana yang pernah dilakukan kepada artis lain.

Dalam ruang Threads, Tiz berkata Melodi tidak serik-serik dengan tingkah laku lamanya.

“Kami ingat bagaimana Melodi terjah set sedang kami sedang menjalani penggambaran dan mewawancara seorang pelakon sehingga dia menangis dan terpaksa pulang ke rumah.

“Kami ditanya di depan kamera, tetapi jawapan kami disunting dan dipotong untuk siaran Melodi. Hentikan semua ini.

“Publisiti adalah publisiti, tetapi jangan meleretkan kisah peribadi orang. Bayangkan berita sampah yang anda siarkan kekal selama-lamanya? Ingat perkara itu. Ia kekal selama-lamanya!” tulis Tiz dengan lantang dan jujur.

Sebagai wartawan yang lebih 20 tahun membuat liputan hiburan, saya faham perkara yang bermain di fikiran artis yang terpalit dengan kontroversi, sama ada benar mahupun tidak.

Mereka kalau boleh dah tak nak pandang belakang lagi.

Sebagai media, bagaimana pun tugas kita adalah untuk mencungkil isi hati mereka, ada masa kita juga perlu tekankan soal peri kemanusiaan – apakah yang ingin dilakukan ini perlu?

Kita juga perlu menjaga hubungan dengan artis yang menjadi sumber berita kita.

Ada masa, merekalah inspirasi. Ada masa, mereka memang menimbulkan kontroversi.

Dalam kehidupan penuh mencabar khususnya dalam sektor hiburan, kita harus semai jiwa media yang peka dan berihsan, daripada dilabel sebagai ‘penjaja berita kay-poh’ atau tidak bermanfaat langsung.

Izinkan artis-artis ini ‘berehat’ daripada diburu. Sekurang-kurangnya, mereka boleh menghela nafas lega, diberi ruang untuk bebas daripada dibelenggu kontroversi lama.

Jangan sampai kerana media sibuk menjejak, jadi masalah mental pula buat artis yang kemudian disaluti kemurungan hingga terdesak meninggalkan industri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg