Menjelang ulang tahunnya yang ke-10 pada September, Amanda Nurimani Abdul Mannan telah meminta hadiah seekor hamster.
Namun, ibunya, Cik Nurul Fathiah Ramli, 29 tahun, mengingatkan Amanda bahawa dia juga mempunyai seekor kucing yang juga telah menjadi hadiah hari jadinya yang kelima.
“Tanggungjawab jaga kucing sekarang Bibik yang jaga. Nanti kalau ada hamster, siapa nak uruskan?” tanya pegawai perkhidmatan pesakit itu kepada anak keduanya dan kemudian berbual panjang lebar tentang tanggungjawab menjaga haiwan peliharaan.
Tanpa memberi kata putus, Cik Fathiah hanya tangguhkan permintaan anaknya itu pada awal Julai, singkap ibu empat anak berusia antara lima hingga 11 tahun itu, kepada Berita Harian.
Pada 22 Ogos, dalam perjalanan pulang dari kerja, Cik Fathiah berjalan lalu di hadapan kedai haiwan peliharaan – teringat akan permintaan anaknya itu – langsung membeli dua ekor hamster sebagai hadiah kejutan untuk Amanda dan juga anak-anaknya yang lain.
Pada petang itu, beliau merakam reaksi anak-anaknya ketika mereka pulang dari sekolah dan terkejut melihat hamster.
Anak ketiganya dan yang bongsu pulang ke rumah dahulu dan mereka terkejut apabila menoleh dan mendapati sesuatu yang baru di rumah. Dengan segera mereka bergegas ke arah sangkar hamster tersebut.
Abang dan kakak mereka pula pulang dan pada mulanya anak sulung itu tidak perasan sangkar hamster sehingga Amanda menuding jari kepadanya dan melonjak gembira.
Video gelagat mereka itu kemudian dimuat naik ke media sosial pada 23 Ogos dan menjadi tular.
Setakat ini, video yang dimuat naik ke TikTok pada 23 Ogos itu telah menerima lebih 110,000 tontonan dan hampir 6,000 ‘like’.
Apa yang mencuit hati ramai netizen adalah dalam penuh kegembiraan dan keghairahan empat beradik itu, mereka telah meraikan detik tersebut dengan dakapan mesra di dapur.
Terdapat netizan yang tertanya, “Mengapa mereka (dari halaman pintu masuk) ke dapur untuk berpeluk?”
Menjawab pertanyaan itu, Cik Fathiah menjelaskan:
“Selepas balik sekolah, budak-budak akan masukkan setokin ke dalam mesin basuh. Jadi kakak terus masuk ke dapur, disusuli abang dan sebab terlalu gembira dan ghairah, mereka melonjak gembira dan berdakap di dapur.
“Yang saya tak sangka, adik-adik juga ikut masuk ke dapur dan menyertai dakapan tersebut.”
Seorang pengguna TikTok, ‘nana supernova’ berkata: “Saya tak sangka pula saya menangis tengok video ni. Suka sangat dengan dakapan beramai-ramai tu! Masya-Allah, semoga mereka sekeluarga sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah swt.”
Pengguna ‘justazryn’ juga turut tumpang gembira melihat empat beradik itu gembira.
Tujuan sebenar Cik Fathiah mengongsi detik itu adalah kerana beliau menghargai melihat detik anak-anaknya gembira bersama.
“Saya hidup bila ada suasana gembira dan gelak ketawa ini,” kata Cik Fathiah dalam kapsyen videonya.
“Ini bukan kali pertama mereka berdakapan beramai-ramai. Tapi, ia hanya berlaku bila mereka betul-betul gembira dan tak bergaduh, dan saya boleh kira dengan jari,” seloroh Cik Fathiah yang telah membelanjakan sekitar $200 untuk dua ekor hamster serta peralatan dan barangan keperluan haiwan tersebut.
“Hari-hari biasa, anak-anak saya selalu bergaduh dan bertengkar antara satu dengan lain. Sebab itu saya menghargai saat-saat mereka bergembira dan berbaik,” katanya lagi dengan senyuman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg