Sekali pandang, reruai ini kelihatan seperti mesin reruai foto klasik atau lebih dikenali sebagai ‘photobooth’.
Ada langsir kecil, dan ruang di bahagian bawah untuk mengambil gambar yang telah ‘dicetak’ dan juga slot ‘masukkan duit’ syiling.
Tetapi, apabila menjenguk sebalik permukaan itu, pelanggan tidak akan menemui kamera yang memetik gambar, malah mereka akan mendapati senyuman lebar Faizal A Bakar, 58 tahun, yang bersedia dengan pena untuk melukis karikatur pelanggannya.
Dengan hanya $5, pelanggan akan menerima saiz separuh A4 memanjang, dengan tiga gaya karikatur pelanggan.
Mereka akan duduk di kerusi yang disediakan, kemudian Faizal akan membuka tirai dan memperkenalkan diri dengan ‘helo’ dan senyuman.
Tirai itu akan menjadi ruang segi empat yang juga menjadi bingkai dari perspektif Faizal untuk melukis.
“Saya baru sahaja meneroka konsep ini sekitar dua bulan lalu dan pelanggan suka dengan konsep ini.
“Saya inginkan sesuatu yang menyeronokkan, tapi juga kreatif dan ada gaya tersendiri,” ujar bapa seorang anak berusia 28 tahun itu.
Setelah siap dilukis, Faizal akan tutup kembali tirainya dan beliau akan keluarkan gambar yang telah dilukis itu dengan perlahan menerusi ruang di bawah, kononnya, sudah selesai ‘dicetak’.
Faizal memasang sendiri permukaan reruai foto itu dengan menggunakan kadbod dan disandarkan di atas kekuda lukisan berharga $70.
Ia membolehkan beliau mudah membawa peralatan dan perkakasnya ke mana-mana sahaja kerana ia mudah dialih.
Dalam masa kurang lima minit, Faizal boleh melakarkan tiga wajah karikatur itu dan siap dengan warna untuk pelanggannya.
Faizal bukan orang baru dalam dunia seni.
Sebelum pandemik Covid-19, beliau pernah berkhidmat sebagai pelukis akhbar, menghasilkan kartun dan ilustrasi untuk penerbitan seperti The Straits Times dan Today.
“Masa itu, saya tak tahu siapa penonton atau pembaca saya. Saya menerima arahan dan melukis,” imbasnya.
“Sekarang, saya lukis terus untuk pelanggan, dan saya dapat berinteraksi dan lihat senyuman mereka,” ujarnya.
Perjalanan karikatur Faizal bermula selepas pandemik Covid-19, apabila beliau mula membuat lakaran secara langsung sebagai vendor di acara dan majlis perkahwinan.
Dahulu, harga lukisan karikatur $10, bersaiz A4, di kawasan Orchard Road
“Kadang-kadang, sehari dapat $100 saja kadang-kadang tiada pendapatan,” katanya sambil ketawa.
“Sekarang dengan konsep photobooth ini, dan dengan harga $5 nampak lebih menarik. Orang lebih minat dan suka. Yang bayar lebih pun ada!” kongsinya.
Konsep karikaturnya telah dirakam oleh seorang pelanggan, AmeliaNor, apabila beliau mendapatkan khidmat Faizal di Haji Lane, dan beliau telah memuat naik proses itu di media sosial.
Video itu menjadi tular dan ia menerima lebih 300,000 tontonan dan hampir 50,000 tanda suka atau ‘Like’.
Ramai netizen terkejut dengan harga $5 yang Faizal kenakan sebagai bayaran.
Malah mereka menggalakkan beliau agar menaikkan harga.
“Anak saya sendiri pun suruh naikkan harga, tapi bagi saya, $5 harga yang baik.
“Ia menarik pelanggan, mereka gembira, saya lagi gembira,” jawab Faizal tentang komen yang telah ditujukan di video tersebut.
Mengulas tentang video tular itu juga, Faizal akur beliau telah menerima banyak pertanyaan untuk yang berminat mendapatkan khidmatnya.
Menurut Faizal, beliau sudah menerima tempahan untuk majlis perkahwinan sehingga Januari 2026.
“Saya sangat berterima kasih atas sokongan orang ramai dan gembira lebih ramai hargai seni.
“Jika anda antara pelanggan yang beratur untuk khidmat saya, saya harap anda sabar menunggu giliran,” kata Faizal sambil berkongsi hasrat menaik taraf reruainya, mungkin dengan binaan kayu yang lebih kukuh.
Orang ramai boleh menemui Faizal di Haji Lane, bertentangan kedai Li’l Habibi, pada petang setiap Khamis hingga Sabtu, atau ikutinya di akaun media sosial @faizalcaricatures untuk mendapatkan maklumat terkini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg