Empat dekad bukanlah tempoh singkat. Bagi Ratu Rock, Ella, kecintaan dan komitmen terhadap dunia muzik menyaksikan figura ini menjulang satu persatu kejayaan.
Lebih penting, 40 tahun berkelana dalam belantara muzik membuktikan keteguhan dan penakatan insan seni yang tidak pernah kenal erti lelah.
Seperkara yang harus diakui, status Ella sebagai penyanyi rok wanita unggul terus utuh, meskipun zaman berubah dan generasi pendengar bertukar.
Namun, dalam kamus hidup Ella, tiada istilah ‘cukup’ atau ‘puas’. Sebaliknya, penyanyi Sembilu ini sentiasa mencari ruang dan kaedah untuk ‘memulangkan’ semula khidmat bakti kepada masyarakat khususnya generasi muda yang mencintai muzik.
Justeru, hasil perbincangan bersama pasukannya, tercetuslah idea mewujudkan pusat sehenti diberi nama Galeri Rockqueen yang menyediakan ruang jualan, pameran dan studio muzik, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Ella, atau nama penuhnya, Nor Zila Aminuddin, 59 tahun, berkata galeri itu bukan sekadar medan niaga, sebaliknya, ruang warisan seni dan pendidikan.
“Galeri ini baru sahaja beroperasi. Bahagian depan adalah ruang untuk mempamerkan koleksi pakaian yang dijual, manakala bahagian dalam ditempatkan galeri pameran dan studio latihan.
“Galeri ini adalah premis untuk saya berkongsi pengalaman dan ilmu dengan pelajar dari sekolah seni yang kami jalin kerjasama. Tidak ketinggalan, anak-anak muda yang berminat dengan bidang muzik juga mendapat manfaat,” katanya.
Ella berkata sebelum ini, beliau berkunjung ke sekolah terpilih untuk melihat potensi pelajar yang mahu mendalami dunia muzik.
“Ada lepasan sekolah yang kami ambil untuk bekerja sebagai pemuzik undangan. Selain itu, ada penuntut yang menjalani latihan industri bersama kami.
“Mereka belajar mengenai pengurusan acara dalam penganjuran konsert Ella sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Galeri Rockqueen di Denai Alam, baru-baru ini.
Turut hadir suami Ella, Azhar Ghazali, yang terbabit secara langsung dalam pengurusan dan pentadbiran Galeri Rockqueen.
Acara itu turut diserikan dengan persembahan istimewa Ella bersama dua penyanyi undangan iaitu adiknya, Korie dan anak saudara, Kaka Azraff.
Bagi menambah nilai kepada galeri yang mula diusahakan sejak 2016 itu, Ella turut mempamerkan pelbagai koleksi eksklusif seperti trofi dan plak yang menyimpan sejarah panjang pembabitannya dalam seni muzik.
“Ruang pameran masih dalam proses siap. Antara koleksi yang dipamerkan termasuk trofi, plak kemenangan, barangan ketika bersama kumpulan The Boys dan busana konsert yang pernah digayakan,” katanya sambil menambah ada beberapa busana dipinjam daripada pelbagai sumber untuk dipamerkan di premis berkenaan.
Menyedari potensi besar yang dimiliki jenama Rockqueen, Ella tidak menolak kemungkinan mengembangkan jenama itu sebagai label seni yang mampu melahirkan bakat baru dalam industri muzik tempatan.
“Dengan pengalaman yang saya miliki, mungkin suatu hari nanti, Rockqueen boleh berkembang menjadi sebuah label yang melatih dan menaungi artis-artis baru,” katanya optimis.
Meskipun sudah berhijab, Ella masih mengekalkan gaya tersendiri yang menjadi identiti pentas Ratu Rok ini.
Antara yang paling mencuri perhatian adalah cara Ella menggayakan anak tudung yang sering dilihat ketika beliau membuat persembahan.
“Saya tahu ada yang pelik atau kecam kerana saya hanya mengenakan anak tudung. Tetapi, bagi saya, ia lebih praktikal sebab selesa, tidak panas, mudah dibawa, kena dengan bentuk muka dan paling penting, masih patuh syariah.
“Setakat ini , saya sudah ada 10 koleksi anak tudung yang saya ambil sebelum dilancarkan lagi.” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg