‘Raya di Kampung’ Mell Sakura kongsi detik Aidilfitri sebagai mualaf
‘Raya di Kampung’ Mell Sakura kongsi detik Aidilfitri sebagai mualaf
Vokalis kumpulan Sakura sibuk siapkan album baru, ubati rindu peminat setia
‘Raya di Kampung’ Mell Sakura kongsi detik Aidilfitri sebagai mualaf
Penantian panjang peminat kumpulan Sakura akhirnya terubat apabila vokalis kumpulan Sakura dan pemenang tempat kelima Gegar Vaganza 12 (GV12), Mell Sakura, buat kali pertama tampil dengan lagu Raya terbaharu berjudul, Raya Di Kampung, ciptaan dan lirik hasil sentuhan beliau sendiri.
Mell, atau nama sebenarnya, Melly Matius, 37 tahun, menyifatkan lagu tersebut sebagai hadiah istimewa buat peminat setianya yang tidak pernah jemu memberikan sokongan, bahkan selepas program GV12 melabuhkan tirainya pada 18 Januari.
Sehingga akhbar ini diterbitkan, video lirik rasmi bagi lagu Raya itu telah pun meraih sekitar 6,000 tontonan di laman YouTube, setelah dilancarkan pada 2 Mac.
Bagaimanapun, video muzik bagi lagu Raya Di Kampung masih lagi dalam perancangan.
“Bagi lagu Raya ini, kami mengambil konsep daripada lagu Polaroid (karya kumpulan Sakura).
“Ia juga diinspirasikan daripada pengalaman peribadi saya sendiri sewaktu menyambut Aidilfitri dan selepas menjadi mualaf.
“Apa yang Mell rasai ialah pengalaman yang ‘happy’ (gembira) ketika pulang ke kampung pada waktu Raya.
“Sementara itu, video muzik bagi lagu ini, insya-Allah, dijangka akan dirakamkan pada bulan puasa ini,” ujarnya dalam satu wawancara pada 28 Februari, ketika mengadakan majlis berbuka puasa bersama peminatnya yang bergelar ‘Mellverse’, di Malaysia.
Dengan semangat serta harapan baharu selepas penyertaannya dalam GV12, Mell bersama kumpulan Sakura tidak berhasrat untuk sekadar berhenti pada lagu Raya sahaja, malah turut merancang menghasilkan album terkini selepas sekian lama.
Dalam album itu, lima lagu adalah hasil ciptaan asal kumpulan Sakura, manakala dua lagi lagu digubah oleh komposer lain.
“Memang kumpulan Sakura ada merancang untuk mengeluarkan album baharu tahun ini (2026).
“Sejauh ini, saya sudah pun rakam sekitar lima lagu. Kini, tinggal dua lagu lagi untuk disiapkan.
“Insya-Allah, album ini akan dikeluarkan selepas Hari Raya,” kata Mell, ketika ditemui Berita Minggu (BM) pada sidang media akhir GV12 di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), baru baru ini.
Di samping itu, sejak mengambil keputusan berhijrah dan tampil dengan imej berhijab sekitar 2024, Mell mengakui kehidupannya kini terasa lebih damai dan membahagiakan.
Dalam satu wawancara media sebelum ini, penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu, berkata penghijrahan ini telah meninggalkan kesan positif dalam dirinya, sekali gus menebalkan semangat untuk mendalami ajaran agama Islam.
Malah, Mell yang memeluk agama Islam pada 2017, kini lebih cermat dalam memilih busana demi memastikan penampilannya sentiasa terjaga.
“Kalau hendak dibandingkan antara dahulu dan sekarang, perubahan paling jelas tentunya daripada segi penampilan serta cara Mell beraksi atas pentas.
“Dulu, Mell lebih bebas dan lincah ketika membuat persembahan. Dari sudut fesyen pula, kerana tidak bertudung, pilihan gaya lebih pelbagai.
“Namun selepas berhijrah, Mell lebih selesa memilih busana yang sopan dan menutup aurat.
“Persembahan di atas pentas juga perlu lebih terkawal supaya tidak kelihatan terlalu aktif atau berlebihan,” ceritanya.
Keputusan mengenakan tudung bagi Mell yang bersuamikan pemain dram kumpulan 6ixth Sense dan Akim & The Majistret, Mohd Safwan Hasnan, datang secara semula jadi selepas melihat anggota keluarga suaminya itu kesemuanya bertudung.
“Mungkin, faktor persekitaran yang mendorong saya untuk berubah.
“Ketika melihat ahli keluarga perempuan daripada pihak suami semuanya berhijab, saya pun terfikir ingin cuba.
“Awalnya, saya bertudung hanya ketika acara tertentu sahaja.
“Namun, lama-kelamaan rasa makin selesa dan senang... jadi saya teruskan.
“Memang mulanya rasa sedikit janggal, tetapi lama-kelamaan sudah menjadi kebiasaan,” kongsi penyanyi lagu Melepaskanmu, yang merupakan runut bunyi bagi drama Bidadari pada 2015.
Hasil perkahwinannya bersama Safwan, atau lebih mesra disapa Wan, pada 2017, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Marissa Sofea, tujuh tahun.
Apabila ditanya lanjut mengenai kecenderungan Marissa dalam bidang seni, Mell akur bakat itu seakan-akan diwarisi daripadanya.
“Marissa mewarisi bakat saya. Kalau di rumah, dialah yang selalu ‘buat konsert’.
“Rasanya, saya kalah dengan dia. Anak muda zaman sekarang memang jenis cepat ‘tangkap’ (menguasai sesuatu ilmu).
“Saya dan Wan ada juga bertanya tentang minatnya dalam bidang seni. Kami memang dapat melihat kecenderungannya ke arah itu.
“Tetapi kami berpesan, kalau benar mahu menceburi bidang ini, lakukan dan belajar dengan bersungguh-sungguh, serta perlu pertingkatkan diri bukan sahaja sebagai penyanyi, malah sebagai penulis lirik dan pencipta lagu,” kata Mell.

