Setiap kali menerima tawaran untuk terlibat dalam sesebuah drama televisyen, pelakon Malaysia, Redza Rosli, 33 tahun, akan menilai dan meneliti skrip yang diberikan kepadanya.
Ini disebabkan beliau ingin sentiasa mempertingkat kebolehan diri dalam bidang lakonan dan ingin keluar dari zon selesanya.
“Saya akan menilai tawaran itu berdasarkan jalan cerita dan watak.
“Saya sukakan cabaran baru dan cuba untuk tidak mengambil watak serupa dengan lakonan saya sebelum ini,” ujar Redza.
Mengimbau kembali pengalaman membawa watak, Amar Ilhami, dalam drama popular mengenai konflik rumah tangga, Wanita Syurga, Redza, atau nama sebenarnya, Ahmad Redza Rosli, berkata watak tersebut memang agak mencabar buat dirinya.
“Apabila saya melihat perjalanan watak itu, ia memang agak berat untuk saya lakonkan kerana terdapat beberapa perubahan ketara pada diri Amar.
“Kita mula melihat Amar belajar di universiti dan bertukar menjadi seorang suami dan kemudiannya menjadi bapa dua anak.
“Saya turut membuat kajian dan berbincang dengan pengarah, Riza Baharudin, cara untuk menghidupkan setiap babak.
“Saya cuba untuk meletakkan diri saya dalam diri Amar yang menghadapi pelbagai masalah,” kongsi Redza kepada Berita Harian (BH), semasa hadir di acara Pesta Perdana 2025 di Teater Mediacorp sebagai penyampai anugerah pada 24 Mei lalu.
Selain memahami emosi dan cabaran dilalui setiap watak yang beliau lakonkan, Redza turut gemar mendapatkan pandangan daripada isterinya, pelakon baru, Bella Hanna, 28 tahun.
Ini demi memastikan penyampaian dialog dan imej setiap watak yang Redza bawa kelihatan berbeza apabila di kaca televisyen.
“Tidak kira pelakon berpengalaman atau baru, apabila masuk ke set penggambaran pada hari pertama bagi drama baru, kami semua bermula daripada bawah atau ‘zero’.
“Saya suka dapatkan pandangan isteri saya. Beliau sering tonton filem dan ada banyak idea.
“Bagi projek saya yang terbaru, beliau mencadangkan saya untuk mengambil rujukan daripada hero filem Bollywood kerana penghayatan emosinya lebih mendalam,” cerita Redza yang berkahwin dengan Bella pada Jun 2024 selepas bergandingan buat kali pertama dalam drama, Luruhnya Bunga Cinta.
Redza turut menyifatkan Bella sebagai tulang belakang yang mendorongnya untuk terus bergiat aktif dan melakukan yang terbaik dalam bidang seni.
“Beliau banyak memberi saya sokongan kerana tuntutan tugas sebagai pelakon memang tidak mudah. Saya banyak berkongsi apa jua masalah dengannya,” tambahnya.
Walaupun sering muncul dalam drama televisyen genre romantik, beliau bersyukur mendapat sambutan yang positif daripada para penonton.
“Alhamdulillah, para penonton tidak jemu menonton lakonan saya. Memang kadangkala saya risau kerana drama-drama saya disiarkan berturut-turut tanpa henti.
“Ia juga tidak mudah untuk membuat penonton meminati lakonan saya.
“Namun saya percaya jika kita melakukan kerja itu dengan ikhlas, tidak kira dalam bidang apa sekali pun, insya-Allah ia akan dipermudahkan,” tambahnya.
Antara 2023 dengan 2024, Redza telah membintangi lapan drama bersiri dan dua telefilem berbeza.
Ini termasuk Kerasnya Takdir, Di Hatimu Ada Kamu, Aku Yang Kau Sakiti dan Dedaun Hijau Di Angin Lalu yang merupakan adaptasi daripada novel tulisan penulis Singapura, Manaf Hamzah.
Pada Mac 2025, Redza muncul dalam drama 55 episod di Astro Ria, Dendam Seorang Madu, membawa watak Faris Alfian yang berdepan dengan konflik antara kededua isterinya.
Redza, yang mula terlibat dalam dunia lakonan pada 2009 melalui drama Kamelia Katrina, tidak menyangka bakal kekal dalam industri tersebut hingga kini.
Beliau pernah memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Popular pada program Tonton Anugerah Drama Sangat 2023 bagi drama Kekasih Hati Mr Bodyguard, yang mengetengahkan beliau bergandingan dengan pempengaruh, Sharifah Rose.
Bergerak ke hadapan, Redza berharap dapat menebarkan sayap ke layar perak dan diberi peluang membawa watak yang lebih mencabar.
“Saya berharap dapat berlakon dalam filem. Tentu sekali saya juga ingin membintangi karya yang melibatkan babak-babak aksi,” ceritanya.
Ditanya BH mengenai perkembangan terkini, Redza berkongsi dirinya sedang sibuk berlakon bagi drama terbarunya arahan Jamal Khan, yang bakal ditayangkan di Malaysia pada 9 Julai menerusi saluran TV3.
“Saya kini terlibat dengan drama, Setia Itu Mahal, yang turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Anna Jobling, Zahiril Adzim, Rita Nadira dan Aida Khalida.
“Saya harap penonton dapat memberi sokongan bagi drama ini,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg