Topik diikuti
Pergi ke BHkuRezeki Zaki Yamani tak putus hingga cecah ke Korea
Rezeki Zaki Yamani tak putus hingga cecah ke Korea
Filem pertama ‘Tiket Sehala’ satukan pelakon M’sia, Indo, Thai dan Korea
Rezeki Zaki Yamani tak putus hingga cecah ke Korea
Dengan susuk tubuhnya yang tinggi lampai dan kulit putih bersihnya, Ahmad Zaki Yamani disifatkan ramai memiliki penampilan persis bapanya, Datuk Jamal Abdillah, ketika zaman muda.
Ditambah suara maskulin beliau ketika menyanyikan lagu, Gadis Melayu dan Sandarkan Pada Kenangan, yang pernah dipopularkan Jamal, kerap kedengaran komen netizen yang spontan menyatakan: “Eh...eh...suara Zaki salin tak tumpah dengan suara bapanya, Jamal!”
Bagaimanapun, Zaki yang bakal mencecah usia 20 tahun pada 5 Disember 2026, memberitahu Berita Minggu (BM) dalam satu pertemuan di Kampung Admiralty Community Plaza sekitar Woodlands Drive 71:
“Saya sebenarnya enggan dibayangi kata-kata saya menumpang populariti ayah saya, Jamal Abdillah.
“Saya tak pernah mengaku suara saya sama macam beliau. Ia lebih pada orang yang selalu cakap suara kami serupa dan akan-akan.
“Tapi anehnya, orang yang cakap sebegitu...mereka juga yang kecam seakan-akan saya terikut-ikut dengan cara penyampaian dan penampilan ayah saya.
“Sebenarnya, banyak lagu saya yang lain rentak dan genrenya daripada lagu ayah. Ada irama regeton, ada yang rancak...sesuatu yang ayah sendiri tak bawa. Beliau Raja Balada Pop.
“Kalau ayah saya menyanyi menegak sahaja, sedangkan saya kalau boleh nak lompat-lompat atas pentas!”
Zaki, anak tunggal daripada perkahwinan ketiga Jamal bersama Fatimatuzahra Abdul Samad, ditemui ketika menjayakan Majlis Rumah Terbuka Raya, Gema Syawal 2026, bagi penduduk GRC Sembawang dan SMC Sembawang West pada 12 April lalu.
“Saya tahu orang Singapura ni pemurah. Semasa saya buat persembahan sempena bulan puasa, saya seronok menyanyi sambil tutup mata.
“Tiba-tiba, saya terasa ada orang datang dan pegang saya. Apabila saya buka mata, ada lelaki ni beri saya wang tetapi dalam Ringgit Malaysia.
“Saya berseloroh tanya, ‘Mengapa beri Ringgit Malaysia, tak beri Dolar Singapura?’. Saya nyanyi satu lagi lagu...eh eh...macam terkabul doa saya. Dapat wang pemberian peminat...Dolar Singapura!” tambahnya seraya tertawa.
Baginya, rezeki bak durian runtuh yang diterima kini melalui persembahan bertali arus di Malaysia dan Singapura sepanjang musim perayaan yang baru berlalu memang tidak diduga.
Zaki tidak impikan kerjaya sebagai penyanyi, hanya untuk mengikut jejak ayahnya, meskipun mula pandai menyanyi pada usia empat tahun.
Seperti ramai budak lelaki lain, beliau pernah nak jadi jurutera.
“Tapi Allah letak rezeki saya dalam bidang seni. Saya menyanyi dan orang terima dengan baik, maka saya teruskan.
“Tambahan pula, ada teman-teman seperti anak Datuk Awie, Putra Ahmad Merrah. Kami dah kenal lama tetapi tak begitu rapat...kawan-kawan biasa.
“Hanya tahun ini (2026), kami buat lagu Raya, Raya Tak Nak Single, bersama dan jana kandungan media sosial dengan bermacam gurau senda. Itulah tempoh kami lebih akrab.
“Saya anggap Merrah macam gasolin. Saya pula pemetik api. Saya membakar semangat Merrah yang dah lama terpendam. Dia pun memang tak nak jadi penyanyi dan mahu jadi usahawan.
“Saya kacau-kacaulah dia, kita ‘bakar-bakar’ sedikit. Lama-lama, dia pun suka nak ceburi bidang seni,” tambah Zaki lagi.
Semua yang jadi tular di media sosial datang secara semula jadi.
Meneruskan legasi Jamal, Zaki berduet pula dengan anak Allahyarhamha Siti Sarah Raisuddin (rakan duet Jamal bagi lagu Sandarkan Pada Kenangan), Thalita Shuib, bagi program Anugerah Gempak Most Wanted.
Video nyanyian duet mereka di TikTok sudah mencecah hampir dua juta tontonan dalam masa dua bulan.
Kerana sambutan yang sangat menggalakkan bagi duet tersebut, Zaki berkata rancangan merakam lagu Sandarkan Pada Kenangan (Versi 3.0) bersama Talita diharap dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Versi asal pada 1984 dinyanyikan Jamal bersama Fauziah Ahmad Daud sebagai runut bunyi rasmi (OST) filem Azura.
Ini disusuli dengan versi 2.0, nyanyian Jamal dan Siti Sarah, pada 2003. Ia dimuatkan sebagai sebahagian keratan lagu dalam album kompilasi Jamal, Raja Pop.
Zaki juga begitu teruja dengan filem sulung, Tiket Sehala, yang dilakonkan di Korea Selatan, sekitar November 2025. Penggambaran filem aksi terbitan Key Billions Sdn. Bhd. dan arahan Rahila Ali itu, berlangsung selama dua minggu dan dijangka ditayangkan sekitar Julai ini.
Meskipun membawa watak pembantu sebagai adik kepada watak utama filem itu, yang Zaki rahsiakan, ia merupakan pengalaman membuka mata dan menyeronokkan untuk bersama barisan pelakon dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan.
Difahamkan daripada sumber berita seberang, antara pelakon filem tersebut ialah Hyunjun Sun dari Korea, Ninja dari boyband SuperThai (Thailand) serta Naufal Samudra (Indonesia).
Pelakon Malaysia lain pula termasuk Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Sharifah Sakinah, Hasnul Rahmat (asal Singapura), Sheila Mambo, Ardell Aryana dan Shaharudin Jamaludin
“Orang selalu menilai saya hanya pada paras rupa. Ada yang kata kalau muka ‘handsome’ tapi tak berbakat, buat apa?
“Jadi saya nak buktikan saya berminat dan boleh berlakon dan ingin mengembangkan bakat saya dalam bidang ini.
“Saya dah banyak jayakan projek drama. Jadi ini merupakan filem pertama saya walaupun bawa watak kecil. Ada babak lasak dan aksi yang perlu saya lakukan. Ia pengalaman baharu.
“Saya juga nyanyikan dua lagu OST bagi filem ini,” tambahnya, yang meminati pelakon Johnny Depp dan Jessica Alba.
Pelajar Diploma Teknologi Muzik di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) di Shah Alam ini ingin belajar tentang perniagaan muzik.
“Saya pilih cabang perniagaan muzik dan bukan persembahan muzik sebab saya sudah ada pengalaman dalam perihal persembahan seni.
“Sekurang-kurangnya, saya tahu tentang urus niaga dalam bidang muzik. Kalau ada orang nak tipu kita, saya boleh pastikan saya tahu apa yang tertakluk dalam urusan seni.
“Dalam perihal sistem bunyian dan mikrofon pun, saya boleh belajar agar dari aspek teknikal persembahan, saya tetap dapat jaga mutu persembahan,” katanya lagi.
