Keikhlasan sentiasa terpahat di hati dan minda pelakon, Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, dalam berkarya, untuk mencari rezeki mahupun menghiburkan pengikutnya.
Tidak pernah terdetik di hatinya untuk menerima anugerah darjah kebesaran dan pingat negeri Perlis sempena ulang tahun keputeraan ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Bagaimanapun, pada majlis penuh istiadat di Istana Arau, pada 22 Jun, Rita menerima Pingat Jasa Baik (PJB) bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian dalam bidang seni tanah air terutama lakonan serta usaha murninya dalam kegiatan kebajikan dan kemasyarakatan.
Rita, 49 tahun, yang berkecimpung dalam bidang seni hampir 28 tahun, menyifatkan pengiktirafan itu cukup bermakna buat dirinya serta dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin Mohd Aidil Zafuan, 16 tahun; dan Airit Qaqa Arjuna, 14 tahun.
“Saya amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Raja Perlis atas penganugerahan ini.
“Ini adalah penghormatan terbesar bukan hanya untuk diri saya, malah buat anak-anak serta semua pihak yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” katanya, dalam laporan Berita Harian Malaysia (BHM).
Rita berkata penghargaan itu menyuntik semangat untuknya terus berkarya dengan lebih tekun dan berwibawa.
“Ini juga menjadi peringatan bahawa setiap usaha yang ikhlas dan jujur akan ada nilainya, lambat atau cepat.
“Saya berharap pengiktirafan ini dapat menjadi inspirasi kepada anak seni lain untuk terus berkarya dengan penuh dedikasi dan menjaga maruah kerjaya mereka sebagai insan seni,” katanya.
Rita menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Perlis dan semua pihak yang banyak memberi sokongan sepanjang kerjayanya.
“Terima kasih kepada Exco kerajaan negeri yang terbabit atas pengiktirafan ini. Insya-Allah, akan ada banyak aktiviti bersama mereka nanti.
“Tidak terkecuali kepada semua pihak seperti penerbit, pengarah dan penggiat seni yang sentiasa menghargai bakat saya,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg