Melakonkan watak Aminah, seorang penjaja hidangan mi yang tegas dan tidak mesra pelanggan dalam drama bersiri Makan INC merupakan satu cabaran bagi pelakon Singapura, Rosita Hussin.
Ini disebabkan beliau merupakan mantan pramugari yang sudah terbiasa dengan memberi layanan terbaik kepada para pelanggan.
“Watak Aminah sangat berbeza dengan diri saya yang sebenar. Namun saya menyahut cabaran ini dengan cuba memahami keadaan dan perasaan watak itu.
“Dia sebenarnya tidak berminat untuk berniaga dan terpaksa meneruskan perniagaan keluarga untuk menyara hidup.
“Namun saya boleh bersimpati dengan Aminah kerana sebagai seorang usahawan juga, saya faham cabaran menguruskan perniagaan bukan mudah. Ia perlukan semangat kuat,” ujar Rosita yang mempunyai butik busana wanita di City Plaza, Geylang Road.
Rosita, 50-an tahun, mendapat pencalonan dalam dua kategori iaitu, Pelakon Wanita Terbaik – Drama Bersiri bagi Makan INC dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Telefilem/Antologi bagi telefilem Hari Bapa, Belaian, dalam Pesta Perdana 2025.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH) melalui Zoom, Rosita terkejut apabila mendapat tahu tentang dua pencalonan tersebut.
“Pada 2024, saya hanya terlibat dalam dua penerbitan dan saya mendapat pencalonan bagi kededuanya. Saya berbesar hati pihak juri dapat melihat bakat saya,” kongsinya yang telah memenangi sebanyak lima kali di Pesta Perdana.
Bagi telefilem Belainan pula, Rosita memainkan watak Ratna, seorang ibu yang baru kehilangan anak perempuannya dan berasa ragu-ragu untuk meninggalkan cucu bersama menantu yang mempunyai masalah mental.
“Sebagai seorang ibu, saya faham perasaan Ratna yang kehilangan satu-satu anaknya dan melihat cucu itu sebagai pengganti. Beliau turut rasa bertanggungjawab untuk menjaga bayi yang baru lahir.
“Melihat menantu yang tidak stabil dan harus mengasuh bayi itu, pasti seorang ibu atau nenek akan rasa kurang yakin dengan situasi tersebut.
“Jadi saya cuba selami pemikiran Ratna apabila dia meletakkan beberapa kamera litar tertutup (CCTV) di rumah menantunya demi keselamatan bayi itu,” cerita Rosita.
Beliau turut berharap penonton dapat menilai dan memahami kededua watak ibu yang dibawanya.
“Mungkin bagi Aminah dalam Makan INC, ramai penonton tertanya-tanya kenapa dia berperilaku kasar dan seperti tidak ada empati pada anaknya.
“Dia tidak mahu anaknya melalui kehidupan sukar sepertinya sebagai penjaja. Aminah sebenarnya sayangkan anaknya dan mahukan dia berjaya hingga ke menara gading,” tambah Rosita.
Menyingkap bagaimana beliau mula terbabit dalam dunia hiburan tempatan, Rosita berkata dirinya bermula dengan pementasan teater semasa berusia 15 tahun.
Beliau turut mendapat galakan daripada rakan sekolahnya ketika itu, pelakon Ariati Tyeb Papar dan Siti Hajar Gani, yang lebih dulu berkecimpung dalam industri seni.
“Saya bersyukur bermula dengan bidang teater kerana ia mengajar saya ilmu asas untuk menjadi pelakon. Terdapat pelbagai bengkel ketika itu yang membuka minda saya untuk berfikir secara kritikal perwatakan watak yang dimainkan dan jalan ceritanya,” ujar Rosita yang merupakan adik kepada pelakon mapan, Sani Hussin.
Ditanya jikalau abangnya merupakan faktor dirinya berkecimpung dalam dunia seni, Rosita berkongsi bahawa Sani bermula berlakon disebabkannya.
“Mungkin orang tidak tahu, saya yang tarik abang saya ke dalam bidang lakonan. Ketika itu mereka perlukan pelakon bagi pesta teater belia.
“Siti Hajar beri cadangan untuk tarik Sani dalam projek itu. Dia kata kalau abang saya terlibat sekali, bolehlah saya balik lambat dan orang tua tidak risau sangat,” katanya sambil tertawa.
Rosita tidak sangka abangnya akan memilih untuk menjadikan dunia lakonan sebagai kerjaya tetap sehingga meraih diploma dalam bidang drama dari Kolej Seni Lasalle dan sarjana muda dalam bidang teater dari Universiti Teknologi Queensland.
Sani turut tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik – Drama Bersiri bagi drama Mencari Marina di Pesta Perdana 2025.
Rosita yang kali terakhir berlakon dalam pementasan monolog, Kenang-Kenangan Seorang Wanita Pemalu, pada 2019 terbuka untuk kembali beraksi dalam dunia teater jikalau ia sesuai dengan jadualnya.
“Insya-Allah kalau masa mengizinkan dan ada orang untuk jaga butik, saya okey untuk berlakon dalam teater.
“Namun, saya tahu latihan dan persiapan untuk satu pementasan itu sangat berat dan mengambil masa yang lama,” katanya.
Bergerak ke hadapan, Rosita berharap dapat membawa watak yang lebih mencabar atau rumit, sekalipun ianya peranan ibu dalam karya televisyen.
“Walaupun watak ibu, ia boleh memberi kesan, bermain dengan emosi dan memerlukan pelakon itu mendalami watak dengan bersungguh-sungguh,” tambahnya.
“
“Watak Aminah sangat berbeza dengan diri saya yang sebenar. Namun saya menyahut cabaran ini dengan cuba memahami keadaan dan perasaan watak itu... saya boleh bersimpati dengannya kerana sebagai seorang usahawan juga, saya faham cabaran menguruskan perniagaan bukan mudah.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg