Pelakon dan usahawan, Datuk Rosyam Nor, 59 tahun, menganggap populariti semata-mata tidak mencukupi untuk memastikan seseorang itu dapat bertahan lama dalam industri seni.

Sebaliknya, ia perlu digandingkan seiring mutu kerja yang cemerlang.

Menurut Rosyam, meskipun populariti seseorang anak seni itu penting bagi memperkenalkan diri kepada generasi peminat baharu, elemen itu tidak akan menjamin perjalanan kerjaya yang panjang tanpa disiplin kerja yang baik.

“Bagi seorang anak seni tak kira bidang apa, dia pelakon ke, penyanyi ke, populariti itu penting. Kalau tidak ada populariti, orang tak dapat mengikuti perkembangan mereka.

“Tetapi populariti sahaja tidak boleh menjamin perjalanan yang jauh.

“Kita nampak ramai orang popular, lepas itu hilang. Ini kerana populariti memerlukan kerja yang baik juga.

“Ringkasnya, populariti dan kerja yang baik harus digabungkan, barulah seseorang itu akan kekal,” katanya dalam laman web, Harian Metro.

Dalam pada itu, Rosyam turut menolak dakwaan segelintir pihak yang menganggap populariti tidak diperlukan dalam bidang seni.

Menurut pelakon yang membintangi drama ‘Keluarga Itu’, beliau mengakui populariti masih diperlukan bagi mendekati kelompok peminat daripada generasi muda.

“Saya sangkal (dakwaan) kalau orang kata mereka tidak perlukan populariti. Saya perlukan populariti sebab generasi peminat ini sentiasa bertukar dari semasa ke semasa.

“Jadi, kalau kita ada kualiti dari segi kerja, peminat akan simpan kita di dalam hati mereka, bukan dalam pemikiran.

“Di hati adalah tempat yang paling istimewa.

“Kalau kita sebagai artis dapat letakkan branding atau ‘jenama’ dan nama kita di hati peminat, mereka akan kekal lebih lama.

“Namun, untuk generasi peminat baharu, saya memerlukan populariti bagi memperkenalkan diri saya kepada mereka,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti