Rumah terbuka ‘Pesta Raya 2026’, saji temasya seni penuh warna
Rumah terbuka ‘Pesta Raya 2026’, saji temasya seni penuh warna
Naskhah filem ‘La Luna’ dibawa ke pentas, Datuk Zainal Abidin rai 50 tahun dalam industri muzik
Rumah terbuka ‘Pesta Raya 2026’, saji temasya seni penuh warna
Siapa sangka hanya dengan sehelai pakaian dalam, suasana sunyi sebuah kampung boleh bertukar menjadi riuh-rendah?
Bayangkan keberanian serta kekecohan yang pernah dipaparkan dalam filem, La Luna (2023), arahan M Raihan Halim, di layar lebar itu kini diterjemahkan ke pentas teater, dengan setiap pergolakan emosi dan konflik dapat disaksikan secara langsung di depan mata.
Dengan tambahan koreografi yang memukau serta kesan bunyi yang spontan, setiap babak pasti akan rasa lebih hidup dan membuatkan penonton tidak senang duduk.
Sempena Pesta Raya 2026, anjuran pusat seni Esplanade yang kembali bagi edisi ke-25, kumpulan teater berpengalaman, Teater Ekamatra, telah ditugaskan oleh Esplanade untuk membawakan adaptasi naskhah, La Luna, ke pentas buat julung-julung kalinya.
Bagi pengamat seni dan pencinta dunia perfileman tempatan, naskhah La Luna, terbitan Papahan Films dan Clover Films, pastinya sudah melekat di hati.
Bagaimanapun, hadirin pastinya bakal menantikan kejutan kerana pementasan itu bukanlah salinan bulat-bulat sebagaimana versi di layar perak.
Jika versi filem memberi tumpuan kepada watak utama sekali gus pemilik kedai pakaian dalam kaum Hawa iaitu, Hanie Abdullah, versi teater pula akan menyelami perspektif Azura, anak kepada ketua polis kampung Bras Basah, yang dilakonkan oleh bakat muda, Haziqah Hashir.
Haziqah, yang merupakan anak kepada pelakon berpengalaman, Siti Hajar Gani, sudah tidak asing lagi dalam dunia lakonan.
Beliau pernah membintangi drama Aduh… Bibikku! Musim 2 (2018) dan telefilem Hari Ibu, Maafkan Mak (2021).
Bahkan, beliau turut terlibat dalam pementasan Salina, yang ditugaskan Teater Kami oleh Esplanade bagi Pesta Raya 2025, sebagai perempuan joget.
Menurut Penerbit Pesta Raya, Cik Hanie Nadia Hamzah, format pementasan teater itu sebenarnya sudah mula dibincangkan sejak 2024.
Beliau menjelaskan bagi versi teater, watak Azura menjadi penggerak utama yang berdepan dengan pertembungan antara tradisi dengan perubahan, serta kebebasan peribadi.
“Sudut pandang ini sengaja diambil supaya ia tampil berbeza, memandangkan saya yakin ramai penonton sudah sangat akrab dengan jalan cerita filem, La Luna.
“Ketika berbincang dengan Raihan, beliau berkongsi kisah La Luna tidak tertakluk pada mana-mana tempat atau asal usul tertentu.
“Nilai sejagat yang diketengahkan dalam filem tersebut, pastinya akan menarik jika diolah dalam bentuk teater yang lebih bebas,” ujar Cik Hanie, ketika ditemui Berita Harian (BH) di pejabat SPH Media pada 10 Februari.
Pementasan itu bakal digerakkan oleh barisan kreatif termasuk penulis skrip, Ridhwan Saidi; serta pengarah, Mohd Fared Zainal, selain pelakon pentas berkaliber seperti Munah Bagharib, Fir Rahman, Farhana M Noor, Fauzie Laily, Sani Hussin, Rizman Putra, Ali Mazrin dan Siti Khalijah Zainal.
Antara 16 dengan 19 April, pementasan La Luna bakal dipersembahkan dalam lima set persembahan – bermula 3 petang, dan 8 malam – di Teater Singtel Waterfront, Esplanade.
Namun begitu, kemeriahan Pesta Raya 2026 tidak terhad pada dunia teater sahaja.
Bagi mereka yang merindui irama menyentuh jiwa, penyanyi legenda Malaysia era 1980-an, Datuk Zainal Abidin Mohamed, 66 tahun, yang juga vokalis kumpulan Headwind, bakal hadir meraikan 50 tahun penglibatannya dalam industri muzik.
Siapa yang tidak kenal dengan lagu ikonik beliau seperti Hijau, Kau Di Hatiku dan Puteri?
Dengan lirik yang penuh kesedaran sosial dan gabungan muzik tradisional Melayu serta bunyi kontemporari Afro-Asia, persembahan beliau yang akan diiringi maestro muzik, Michael Veerapen, pada 17 April ini, pasti akan menjadi malam yang sukar dilupakan.
Konsert yang bakal berlangsung selama sejam setengah itu, diadakan di Dewan Konsert, Esplanade.
Tiket konsert tersebut boleh didapatkan pada harga antara $40 dengan $120.
Bagi peminat setia, tiket VIP berharga $120 menawarkan peluang keemasan untuk mendapatkan poster dengan tandatangan Zainal Abidin serta sesi kenal suai bersama beliau selepas konsert itu.
Kepelbagaian genre muzik turut diteruskan dengan penampilan sulung bintang R&B Indonesia, Adrian Khalif, serta kemunculan semula band alternatif, The Trees & The Wild, yang kali terakhir membuat persembahan di Singapura sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Sebelum ini, kumpulan The Trees & The Wild pernah membuat persembahan di Teater Luar DBS Foundation di Esplanade, bagi program, Rocking The Region, pada 2010.
Cik Hanie menegaskan pihak penganjur sentiasa peka dengan minat golongan muda, namun tetap menghargai artis mapan.
“Kami sentiasa memantau apa yang diminati oleh golongan muda, namun pada masa yang sama, kami tidak melupakan artis mapan seperti Datuk Zainal Abidin.
“Ini supaya setiap lapisan masyarakat dapat menikmati seni persembahan yang rencam, dan memastikan pengalaman yang kaya bagi semua,” tambahnya.
Menyentuh tentang sambutan Pesta Raya kali ini, Cik Hanie menyifatkannya sebagai satu pertemuan semula yang bermakna dengan barisan artis yang pernah bekerjasama dengan mereka sebelum ini.
“Setiap karya dan penampilan artis bagi kami ibarat sebuah perayaan yang mengujakan.
“Apabila dapat menampilkan kembali artis yang pernah bekerjasama dengan kami, ia membuka peluang untuk mencipta karya baru yang cukup bermakna,” kata Cik Hanie.
Selain itu, seisi keluarga juga boleh menghayati persembahan boneka, PUNO: Sewing Memories, oleh Papermoon Puppet Theatre dari Indonesia, yang menyelami tema kasih sayang, kekeluargaan dan kedukaan melalui seni boneka yang sangat puitis.
Bagaimana pula jika kisah tragedi klasik Shakespeare, Macbeth, dipersembahkan dalam balutan tarian Randai asal masyarakat Minangkabau, Indonesia?
Bagi pencinta tarian dan teater tradisional, Randai Macbeth, oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dari Malaysia, pasti akan menjadi antara persembahan yang dinanti-nantikan.
Persembahan ini turut menandakan persembahan teater luar negara pertama yang ditampilkan dalam Pesta Raya, sejak 2013.
Tidak ketinggalan, suasana di sekitar Esplanade akan dipenuhi dengan pelbagai persembahan percuma serta kegiatan interaktif, termasuk bengkel jamu tradisional yang akan dikendalikan oleh pengasas Dapur Cahaya, Cik Suria Insyirah, dan tukang cerita, Encik Hafiz Rashid.
Antara program percuma yang akan berlangsung sebagai sebahagian daripada pesta ini ialah persembahan oleh artis tempatan, Nana Karia; Aswara; Persatuan Pemuzik Tradisional Melayu Singapura; serta kumpulan tarian kontemporari tempatan, P7:1SMA.
Tiket bagi kesemua acara dan persembahan di Pesta Raya 2026 boleh ditempah melalui laman web Esplanade dan Sistic, mulai 12 Februari.

