Selepas lebih empat dekad berkecimpung dalam dunia seni, pelawak dan pelakon veteran Singapura, Sahfuddin Mahfudz, menegaskan bahawa beliau tidak pernah meninggalkan dunia lakonan.

Sebaliknya, hampir dua tahun tanpa tawaran berlakon daripada stesen televisyen membuatkan wajahnya semakin jarang muncul di kaca televisyen.

Namun, bagi pelakon yang sudah membina kerjaya sejak usia belasan tahun itu, ketiadaan tawaran bukan bermakna beliau sudah bersara.

Beliau cuma tidak mahu memaksa diri untuk mendapatkan pekerjaan.

“Saya bukan jenis yang suka mengoyok-ngoyokkan diri.

Kalau tak panggil saya berlakon, saya tak akan kata, ‘Panggillah saya berlakon’. Itu bukan cara saya,” katanya yang berusia 61 tahun.

Malah, apabila bertemu peminat yang bertanya mengapa sudah lama tidak melihatnya berlakon, beliau terpaksa menjelaskan keadaan sebenar.

“Kadang-kadang saya terpaksa beritahu mereka yang saya sudah lama tidak dipanggil berlakon.

“Saya beri alasan mungkin mereka mahu memberi peluang kepada orang baharu atau bakat-bakat baharu.

“Tetapi sebenarnya saya sendiri tidak tahu sebabnya,” ujarnya.

Mula sebagai pelakon serius

Perjalanan Sahfuddin dalam dunia seni bermula selepas beliau tamat sekolah, sekitar usia 17 tahun, apabila beliau menyertai bengkel drama oleh kumpulan seni, Sriwana.

Ketika itu, sifatnya yang pemalu membuatkan beliau mengajak kakaknya, Mahyunis Mahfudz, untuk menemaninya.

Di bengkel tersebut, Sahfuddin mempelajari asas lakonan, termasuk cara membawakan pelbagai emosi dan karakter.

Latihan yang diterimanya lebih tertumpu pada watak serius, manakala komedi pula tidak termasuk dalam modul yang dipelajarinya.

Namun, selepas latihan, pergaulannya dengan rakan-rakan seperjuangan secara tidak langsung membuka jalan ke dunia komedi.

Mereka sering berkumpul, bergurau dan saling mengenakan antara satu sama lain sehingga terbentuk Kumpulan Seloka, yang turut dianggotai pelawak seperti Ariff Esa dan Allahyarham Zainal Ihim.

Malah, Sahfuddin sendiri tidak pernah merancang untuk menjadi pelawak.

Dalam salah satu persembahan awalnya di balai rakyat, beliau diberikan watak seorang samseng yang sepatutnya dibawakan secara serius.

Apabila digandingkan dengan rakan-rakan yang kelakar, lakonannya pun turut mengundang tawa.

“Watak gangster itu sebenarnya lakonan serius. Tetapi apabila dicampur dengan kawan-kawan yang kelakar, cara saya bawa watak itu nampak kelakar kepada orang yang menonton,” katanya.

Daripada situ, beliau mula mendapat peluang dalam persembahan komedi.

Bukan pelawak semula jadi

Walaupun dikenali sebagai pelawak, Sahfuddin tidak melihat dirinya sebagai pelawak yang secara semula jadi mampu membuat orang ketawa.

Sebaliknya, beliau lebih selesa memainkan peranan sebagai feeder, individu yang menyediakan peluang untuk pelawak lain menyampaikan punchline (bahagian yang melucukan).

Malah, beliau menyifatkan gaya itu berbeza daripada Allahyarham Alias Kadir dan Allahyarham Zainal Ihim yang menurutnya, mempunyai kebolehan semula jadi untuk mencuit hati menerusi keletah, kata-kata dan gerak-geri.

“Saya pula kena lakonkan. Bagi saya, melawak itu satu bentuk lakonan,” katanya.

Pengalaman itu turut menjelaskan mengapa beliau tidak melihat dirinya sesuai untuk berdiri sendirian sebagai pelawak stand-up.

Sebelum ini Sahfuddin pernah menyertai program Raja Lawak di Malaysia bersama Allahyarham Zainal Ihim dan mereka berjaya melepasi beberapa peringkat pemilihan sebelum perjalanan terhenti apabila arwah menarik diri selepas pulang ke Singapura atas faktor tanggungjawab keluarga dan komitmen lain.

Disebabkan itu, pelakon bagi drama, Aduh... Bibikku! itu berkata beliau tidak mampu untuk teruskan secara sendirian.

Enggan lalui uji bakat

Walaupun sudah lama tidak menerima tawaran, Sahfuddin berkata beliau masih terbuka kepada apa sahaja watak, sama ada komedi atau serius.

Baginya, pengalaman dalam bidang lakonan sudah membolehkannya membawa pelbagai karakter.

Namun, satu perkara yang masih membuatnya kurang selesa ialah proses uji bakat.

“Bukan saya hendak sombong.

“Tetapi kalau selepas lebih 40 tahun berlakon, saya masih perlu pergi uji bakat untuk menunjukkan saya boleh berlakon atau tidak, saya tertanya-tanya juga,” katanya.

Beliau berkata, pihak produksi boleh menilai kemampuannya melalui ratusan drama yang pernah dilakonkannya.

Daripada watak hero ketika muda sehingga watak orang tua dan bapa pada usia sekarang, semuanya pernah dibawanya.

“Kalau nak panggil saya berlakon, beritahu sahaja wataknya.

“Berikan skrip, kita bincang dan kita jalan.

“Kalau mahu tengok karakter saya, tengoklah drama-drama yang saya pernah buat,” tambah Sahfuddin.

Sementara menunggu peluang kembali ke layar, beliau kini mengisi masa dengan mengajar kelas drama dan pertuturan di sekolah rendah dan sesekali di sekolah menengah.

Pengalaman veteran tiada ganti

Namun, Sahfuddin percaya perubahan zaman tidak bermakna pengalaman generasi lama sudah tidak bernilai.

Ketika masih muda, beliau banyak menimba ilmu daripada pelakon dan pelawak veteran yang lebih berpengalaman, malah hubungan antara orang lama dengan bakat baharu ketika itu juga cukup rapat.

“Hubungan seperti itu turut membantu kami menghasilkan persembahan yang lebih lancar, walaupun kadangkala berlakunya perdebatan di belakang pentas,” ujarnya.

Menurut Sahfuddin, pendekatan itu berbeza dengan apa yang dilihatnya dalam sebahagian generasi baharu.

Namun beliau menegaskan ia tidak semestinya bermaksud generasi baharu tidak berbakat.

Sebaliknya, mereka membesar dalam persekitaran yang berbeza dan perlu melalui pengalaman yang berbeza.

Lawak jenaka juga perlu berubah mengikut zaman

Dalam pada itu, Sahfuddin turut mengakui bahawa selera lawak masyarakat Singapura sudah berubah.

Baginya, pelawak tidak boleh terus menggunakan bahan lama tanpa mengambil kira apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Namun, perubahan itu tidak bermakna identiti lama perlu dibuang sepenuhnya.

Beliau percaya generasi veteran perlu mencari keseimbangan antara pengalaman lama dan perkembangan baharu.

“Bila kita bersama orang muda, kita kena ikut cara mereka. Tetapi cara lama kita tidak boleh hilang,”ujarnya.

Apabila ditanya apakah yang membezakan komedi Melayu Singapura, Sahfuddin menyifatkannya sebagai lawak yang bersahaja dan tidak dibuat-buat.

Baginya, pelawak tidak sepatutnya perlu menjatuhkan rakan sendiri semata-mata untuk mendapatkan ketawa.

“Kita membuat lawak sebab mahu masyarakat gembira. Bukan untuk mengutuk kawan atau menunjukkan kita lebih hebat,” tambahnya.

Belum selesai

Sahfuddin sedar dirinya tidak lagi seperti ketika muda kerana tenaga tidak sama dan gerakan mungkin tidak selincah dahulu.

Ada kalanya dialog pun boleh terlupa.

Baginya, semua itu adalah sebahagian daripada perjalanan hidup.

Namun, beliau tidak mahu pelawak veteran dinilai hanya berdasarkan kemampuan mereka ketika berada di kemuncak kerjaya.

Apa yang penting, katanya, ialah karakter seorang pelawak itu masih terserlah dan penonton masih dapat merasakan keikhlasan yang sama dalam persembahan mereka.

Malah, beliau masih terbuka untuk kembali ke pentas dan televisyen jika diberi peluang – bukan untuk mengulangi apa yang pernah dilakukannya dahulu, tetapi untuk membawa pengalamannya ke dalam dunia yang sudah berubah.

Bukan itu sahaja, beliau berharap generasi veteran terus diberikan ruang untuk berkarya, bukan kerana mereka mahu mengulangi kejayaan masa lalu, tetapi kerana mereka masih mempunyai cerita, pengalaman dan karakter yang boleh dikongsi.