Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sarimah Ibrahim teroka bidang pembikinan filem

Jun 4, 2025 | 10:13 AM
sarimah ibrahim, filem, penerbit
Sarimah Ibrahim teroka bidang pembikinan dan pengedaran filem menerusi syarikat miliknya, Sarimah Sdn Bhd. - Foto INSTAGRAM SARIMAHIBRAHIM

Pelakon dan pengacara terkenal, Che Puan Sarimah Ibrahim, 47 tahun, melangkah setapak lagi dalam kerjayanya dengan bergelar penerbit pula.

Sarimah berkata sudah sampai masanya untuk beliau meneroka bidang lain seperti pembikinan dan pengedaran filem menerusi syarikat miliknya, Sarimah Sdn Bhd, lapor Harian Metro.

“Alhamdulillah, saya sudah bergelar penerbit dan baru sahaja mendapat lesen dari pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), baru-baru ini.

“Sebagai artis kita tidak boleh berlakon sahaja kerana kita juga perlu buat dua kerja dalam satu masa,” katanya ketika ditemui pada malam tayangan perdana filem Mencari Ramlee yang berlangsung di pawagam GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jika nak diikutkan, Sarimah sudah lama mengimpikan untuk menjadi pembikin filem sejak 10 tahun lalu, tetapi baru sekarang terfikir untuk merealisasikannya.

“Bila saya kembali berlakon pada tahun lalu (2024), secara kebetulan, saya bekerjasama dengan Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Zahrin Aris yang melakonkan watak peguam Qaidah dalam drama bersiri Lelaki Itu.

“Zahrin juga bertanya kenapa saya tidak sertai PFM dan menjadi penerbit kerana saya sudah lama dalam industri dan kenal rakan dalam industri seperti penulis dan pengarah serta ada latar belakang dalam industri juga.

“Selain itu, saya juga mendalami bidang lakonan di luar negara dan tahu mengenai kerja pembikinan filem ini,” katanya.

Mengenai bidang penerbitan lagi, kata Sarimah untuk menjadi penerbit, kita perlu memohon lesen dari pihak Finas dan menghadiri peperiksaan secara dalam talian.

“Kalau nak jadi penerbit sekarang, kita perlu mendengar taklimat selama tiga jam dan kemudiannya kena jawab soalan secara dalam talian.

“Anda perlu dapat markah sebanyak 75 peratus dalam peperiksaan itu untuk mendapatkan lesen berkenaan,” katanya.

Berkongsi projek pula, kata Sarimah, beliau akan bermula dari bawah termasuk bekerjasama dengan penerbit lain.

“Suami saya juga akan menjadi penerbit bersama.

“Insya-Allah, setakat ini, saya sudah merancang beberapa projek filem dan ‘show’ (program) yang akan diterbitkan di bawah syarikat saya.

“Produk pertama yang akan dihasilkan dengan kerjasama Red Communications ialah filem dokumentari mengenai penggiat seni wanita dan cabaran yang dihadapi hari ini,” kata isteri kepada Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar iaitu cucunda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-10, Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman itu.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau mahu memperlahankan karier lakonan selepas bergelar penerbit pula, kata Sarimah, beliau masih lagi terbabit dalam bidang lakonan.

“Bila saya masuk dalam bilik mesyuarat bersama penerbit baru-baru ini, hanya saya seorang sahaja pelakon dan ada yang bertanya sama ada saya sudah bersara daripada bidang lakonan?

“Sebenarnya, saya masih mahu berlakon dan mahu menjadi seperti pelakon di luar negara, contohnya, Dian Sastrowardoyo yang masih lagi berlakon dan pada masa sama beliau juga penerbit filem,” katanya.

Dalam masa sama, kata Sarimah lagi, watak yang ditawarkan pada pelakon juga agak terbatas di negara ini.

“Takkanlah saya nak tunggu watak saja dan jadi ‘datin’ buat selama-lamanya atau lakonkan watak sama ada disondol atau menyondol?

“Untuk dapat watak yang bagus dan mencabar, kita kena buat sendiri dan hasilkan watak yang mengangkat martabat kaum wanita.

“Walaupun sudah bergelar penerbit, saya akan berlakon kalau watak itu bersesuaian sebab tidak mahu syok sendiri,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg