Anggota kumpulan Elite, Sasha Saidin, 49 tahun, bangga dan menyokong penuh bakat semula jadi anak saudaranya, Aaisyah Dhia Rana, 11 tahun, yang meminati bidang peragaan.
Sasha berkata beliau turut kagum melihat keyakinan diri ditunjukkan Aaisyah ketika bergambar, termasuk video dihasilkan anak perempuan pasangan pelakon Rozita Che Wan dan Zain Saidin itu di media sosial, lapor Harian Metro.
“Kalau tengok gaya Aaishah dalam penampilannya persis model. Malah, saya tahu ramai juga netizen mengaitkan gayanya itu mirip macam saya. Tapi, tidak apalah sudah minatnya.
“Saya tak kisah pun kalau dia (Aaishah) nak ikut jejak jadi artis, terpulang kepadanya. Saya juga baru-baru ini ada berikan banyak baju-baju lama saya kepadanya dan dia terima,” katanya.
Menurut Sasha, hubungannya dan Aaishah memang rapat dan beliau suka luangkan masa bersama, termasuk kanak-kanak itu banyak belajar mengenai fesyen daripadanya dan Rozita sendiri.
“Cuma, baru-baru ini ketika kami sekeluarga keluar makan bersama, saya tengok Aaishah siap buat ‘live’ di TikTok dengan gaya bersahaja dan dia ada bakat.
“Tapi, mungkin begitulah cara budak-budak sekarang, dah lain. Macam saya dulu pun, suka nak ‘explore’. Jadi, kalau ada masa memang saya suka keluar dengan Aaishah,” katanya.
Sasha berkata sebenarnya ramai yang mendakwa Aaishah lebih mengikut dirinya, manakala anak lelakinya, Adam Aryasenna Notosomarsono, pula dikatakan seiras adiknya, Zain.
Dalam perkembangan lain, Sasha dan Elite buat julung kali bakal menjayakan Konsert Elite Live ‘25 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 20 September ini.
Konsert berskala besar selepas 30 tahun penubuhan Elite itu dibawakan penganjur, Icon Entertainment, Iman Tang atas permintaan ramai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg