Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelongan barang Che Ta untuk lunas hutang Mara RM1j, ditunda

Dec 24, 2024 | 12:59 PM
Walaupun gagal melunaskan hutang pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara), pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan dan suaminya, Zain Saidin tetap menyambut ulang tahun perkahwinan ke-11 mereka pada 11 Disember.
Walaupun gagal melunaskan hutang pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara), pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan dan suaminya, Zain Saidin tetap menyambut ulang tahun perkahwinan ke-11 mereka pada 11 Disember. - Foto INSTAGRAM ROZITA CHE WAN

KUALA LUMPUR: Acara lelongan barangan peribadi milik pelakon Rozita Che Wan, yang gagal melunaskan hutang pinjaman dengan agensi kerajaan, Majlis Amanah Rakyat (Mara), ditunda ke satu tarikh baru.

Lelongan itu sepatutnya berlangsung pada 24 Disember di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, namun ditunda selepas Rozita selaku defendan membuat permohonan penundaan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Penundaan itu dimaklumkan wakil peguam Mara yang enggan dikenali kepada pihak media.

“Assalamualaikum, mahkamah sudah menangguhkan tarikh lelongan awam pada hari esok (24 Disember).

“Tarikh lanjut akan ditetapkan pada masa akan datang dan bergantung pada arahan mahkamah,” katanya, lapor portal berita MalaysiaGazette.

Media Malaysia pada 23 Disember memaklumkan acara lelongan barangan itu membabitkan 34 barangan yang berjumlah RM902,012.46 ($272,727).

Antara barangan Che Ta, 51 tahun, yang bakal dilelong ialah sebuah kereta SUV jenama Haval, peti sejuk, pendingin udara, sofa, kerusi urut, televisyen, meja makan dan banyak lagi.

Perintah lelongan barangan milik Che Ta dikeluarkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang akan dijalankan oleh Auctrade Auctions Solution.

Lelongan itu dibuat selepas Mara memperoleh perintah mahkamah susulan kegagalan Che Ta melunaskan hutang pinjaman bernilai hampir RM1 juta sejak 2017.

Mara bersama peguam telah menyerbu kediaman pelakon wanita itu pada 10 Disember lalu dan menyita pelbagai barangan bernilai RM100,000.

Laporan mengenai kegagalan usahawan itu melunaskan hutang pinjaman menggemparkan Malaysia dan mendapat kecaman ramai berikutan Che Ta sering dilihat mempamer gaya hidup mewah, malah ligat berniaga di media sosial.

Sehingga kini, Che Ta tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kontroversi yang menimpa dirinya.

Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, sebelum ini dilaporkan berkata prosedur memfailkan muflis terhadap Che Ta berikutan kegagalan pelakon berkenaan melunaskan hutang dalam tempoh tujuh tahun sejak 2017, bukan tindakan kali pertama.

Beliau membidas tindakan sesetengah peminjam institusi itu termasuk Che Ta yang dilihat sengaja tidak mahu membayar pinjaman tetapi memperagakan kemewahan.

“Hutang wajib dibayar. Usah merayu kepada saya kerana bukan hak saya untuk melupuskan hutang.

Saya menjaga amanah wang rakyat di bawah Mara, bakal dipersoalkan Allah kelak!” kata Datuk Asyraf dalam hantarannya di Facebook susulan kes Che Ta itu.

Datuk Asyraf berkata membawa kes seperti itu ke peringkat perundangan dan mahkamah adalah tindakan terakhir yang akan diambil Mara bagi memastikan setiap sen wang rakyat dipulangkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg