Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemangat juang peserta bertanding tidak luntur hingga ke malam kemuncak ‘Anugerah 2026’
Semangat juang peserta bertanding tidak luntur hingga ke malam kemuncak ‘Anugerah 2026’
Semangat juang peserta bertanding tidak luntur hingga ke malam kemuncak ‘Anugerah 2026’
Meskipun tidak berjaya merangkul gelaran juara, tiga finalis Anugerah 2026, Banie, Izzan Adlan dan Alfan Ryan, tetap meninggalkan kesan tersendiri menerusi persembahan masing-masing pada malam kemuncak pertandingan itu, 27 Oktober.
Pertandingan tersebut disiarkan secara langsung menerusi saluran Mediacorp Suria.
Bagi penyanyi muda, Izzan, 24 tahun, keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan menyebabkan beliau tidak dapat memberikan persembahan terbaik, tetapi tetap berpuas hati dengan usaha yang dicurahkan.
Izzan dilaporkan mengalami demam panas sejak peringkat separuh akhir pertandingan pada 13 Oktober.
Pada pentas akhir, Izzan menyanyikan lagu, Lagu Untukmu, nyanyian asal kumpulan Meet Uncle Hussain, diiringi pemain gitar, Romey Helven.
Bagi pusingan duet pula, Izzan bergandingan dengan naib juara Anugerah 2001 dan juara Gegar Vaganza 12 (GV12), Iskandar Ismail, untuk menyampaikan lagu Mahakarya Cinta yang dipopularkan Faizal Tahir.
Meskipun berdepan keterbatasan vokal ketika itu, Izzan tetap menyampaikan lagu cinta tersebut dengan penuh penghayatan dan emosi.
Namun, begitulah lumrah bergelar penyanyi, biarpun diuji dengan keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan, komitmen untuk memberikan persembahan terbaik dan menghiburkan peminat tetap menjadi keutamaan.
Sebagaimana yang dikomen juri undangan khas, Aina Abdul:
“Sebagai penyanyi, memang biasa kalau tiba-tiba jatuh sakit pada hari persembahan.
“Tapi, tanggungjawab kita adalah untuk tidak tunjukkan yang kita sedang sakit, dan anda berjaya lakukannya dengan sangat baik.”
Lebih menyentuh hati, ibunya, Juzana Rahiman, yang menghidap angin ahmar hadir buat kali pertama untuk menyaksikan persembahannya secara langsung.
Juzana, 53 tahun, dipapah teman Izzan, yang juga penyanyi, Faiz Zikry, 26 tahun, seminit sebelum siaran secara langsung dimulakan.
Suasana malam kemuncak turut dimeriahkan dengan kehadiran bekas peserta Anugerah 2026 yang hadir memberikan sokongan kepada finalis sekali gus rakan seperjuangan mereka.
Selain Izzan, finalis lain, Banie, atau nama sebenarnya, Nur Hanani Nordin, 22 tahun; dan Alfan, 20 tahun.
Pada malam kemuncak itu, Nada Fitri, 25 tahun, dinobatkan sebagai juara Anugerah 2026, manakala Farras Qushayyi, 28 tahun, meraih tempat kedua selaku naib juara.
Bekas peserta Anugerah 2026 yang hadir termasuk Chariska Diva Anugerah, 22 tahun; Falisha Mustafa, 22 tahun; Hirza Haizal, 25 tahun; Syafiqah Aziz, 29 tahun; Firdaus Senin, 30 tahun; dan Halqi, 30 tahun.
Kehadiran mereka sekali gus mencerminkan semangat setiakawan dan hubungan erat yang terjalin sepanjang 10 minggu pertandingan anjuran Mediacorp Suria itu.
Artis tempatan seperti Awi Rafael, Hetty Sarlene, Yanni Bakri, Nurul Aini dan Rahila Rashun, turut menyerikan malam kemuncak itu.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story, Rahila, 29 tahun, meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan juara Anugerah 2026, Nada, selepas melalui pelbagai suka duka bersama sejak sesi uji bakat hingga ke pentas akhir.
Kededuanya sudah saling mengenali sejak peraduan serantau, D’Academy Asia 3, pada 2017.
“Nada, jauh sudah perjalanan kau. Kau dah buat yang terbaik sepanjang Anugerah.
“Jadi, jangan sia-siakan setiap peluang yang datang selepas ini,” tulisnya.