Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemua artis pembuka tirai konsert Ed Sheeran tarik diri
Semua artis pembuka tirai konsert Ed Sheeran tarik diri
Kesemua artis pembuka tirai yang dijadualkan membuat persembahan bagi baki konsert jelajah Ed Sheeran di Amerika Syarikat telah menarik diri selepas penyanyi rap Macklemore digugurkan daripada barisan persembahan susulan kenyataan pro-Palestin yang dibuatnya di atas pentas.
Antaranya termasuk Finneas, abang kepada bintang pop Billie Eilish, yang menyatakan dalam satu kenyataan: “Artis tidak sepatutnya dibungkam apabila mereka bersuara demi pihak yang ditindas.”
Penyanyi dan penulis lagu dari Ireland, Aaron Rowe, serta kumpulan dari Denmark, Lukas Graham, turut mengumumkan pengunduran mereka.
Kumpulan muzik rakyat atau ‘folk’ dari Ireland, Beoga, yang membuat persembahan bersama Sheeran di pentas pada setiap malam semasa konsert jelajah itu, turut membuat keputusan untuk menarik diri.
Pengumuman tersebut dibuat beberapa jam selepas Sheeran menyatakan beliau tidak mahu diheret ke dalam perdebatan awam mengenai Gaza.
Beliau juga menegaskan tidak bertanggungjawab atas pengguguran Macklemore daripada siri jelajah berkenaan.
“Keputusan untuk mengeluarkan Macklemore daripada siri jelajah ini dibuat oleh pihak penganjur, bukannya saya,” kata Sheeran dalam hantaran di Instagram beliau.
“Saya tidak akan sesekali mengecewakan peminat yang telah membuat perancangan, mahupun mengabaikan kru jelajah serta artis pembuka tirai dan pemuzik lain yang bergantung kepada saya untuk bekerja dan mencari rezeki,” tambah beliau.
Macklemore, atau nama sebenarnya Benjamin Haggerty, menyeru agar Palestin dibebaskan sambil memaparkan imej kemusnahan di Gaza ketika membuka tirai dua konsert Ed Sheeran dalam siri jelajah Loop Tour di Stadium MetLife, New Jersey, pada 4 dan 5 September.
Kenyataan beliau menarik kritikan, yang kemudian menyebabkan beberapa lokasi konsert mendesak pihak penganjur siri jelajah itu agar menggugurkan beliau daripada barisan persembahan.
Dalam kenyataannya, Sheeran memberitahu beliau telah berbincang dengan pihak pengurusan lokasi secara terperinci sepanjang minggu untuk cuba mencapai jalan penyelesaian.
Namun, pihak penganjur, Messina Touring Group, akhirnya membuat keputusan untuk membatalkannya.
Walaupun mengakui terkesan dengan tragedi kemanusiaan di Palestin dan Israel, bintang itu tetap mempertahankan keputusannya untuk tidak masuk campur dalam isu politik.
“Saya tidak bersubahat. Saya mempunyai pandangan peribadi mengenai konflik yang memusnahkan ini.
“Meskipun saya memilih untuk tidak bersuara secara terbuka, itu tidak bermakna saya tidak mempunyai pandangan tersendiri, dan tidak bermakna saya tidak ambil peduli,” kata Sheeran.
“Ia juga tidak bermakna saya tidak menyokong usaha murni menerusi cara peribadi saya sendiri.
“Ada sebab mengapa saya tidak menggunakan platform profesional saya untuk hal-hal politik.
“Penonton saya terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan muda dan kanak-kanak.
“Mereka yang hadir ke konsert saya tidak menganggapnya sebagai forum politik.
“Saya menghormati ketegasan Macklemore untuk bangkit dan menyuarakan apa yang dipercayainya.
“Bagaimanapun, terdapat pelbagai pendekatan lain untuk mencapai keamanan.
“Saya memilih untuk menggunakan populariti dan wadah saya sebagai ruang yang selamat dan selesa untuk diplomasi.
“Jika kita hanya memberi tumpuan untuk menjadi pihak yang paling lantang bersuara, tiada apa yang akan berubah.
“Terdapat pelbagai pendekatan berbeza untuk kita menjadi ejen yang membawa perubahan.” – Agensi berita.
