Sumbangan wanita Melayu dalam industri perfileman dan seni kreatif sering kali dipandang melalui peranan mereka di hadapan kamera, sedangkan ramai turut memainkan peranan penting sebagai penulis skrip, penerbit dan pengarah.

Namun, sejauh manakah sumbangan mereka diberikan pengiktirafan sewajarnya dan adakah wanita hari ini mempunyai ruang yang lebih luas untuk mengetengahkan kisah daripada lensa sendiri?

Persoalan itu antara yang bakal dikupas menerusi sesi perbincangan Bingkai demi Bingkai: Wanita Melayu dan Layar Singapura, sempena Pesta Penulis Singapura (SWF) 2026, pada 21 November.

Sesi yang berlangsung di Screening Room, The Arts House at the Old Parliament, dari 8 malam hingga 9 malam itu, akan disampaikan seniman pelbagai disiplin dan bekas wartawan, Mysara Aljaru, 33 tahun; penulis dan pelakon, Tysha Khan, 33 tahun; serta penulis skrip, Umie Isa, 45 tahun.

Mysara dan Tysha berkongsi pandangan tentang cabaran yang dihadapi wanita Melayu dalam industri kreatif serta kepentingan membuka ruang kepada kisah yang lebih pelbagai.

Soalan (S): Mengapakah penting untuk menelusuri semula sumbangan wanita Melayu dalam industri kreatif?

Mysara: Ketika memperkatakan zaman kegemilangan filem Melayu, nama seniman lelaki seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, atau Allahyarham Jins Shamsuddin sering menjadi tumpuan.

Namun, ramai seniwati pada era tersebut bukan sekadar pelakon atau penyanyi, malah turut berkecimpung dalam penerbitan, penulisan skrip dan pengarahan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Antaranya, seniwati Allahyarhamha Siput Sarawak, yang hampir pernah berpeluang mengarahkan filem, Mata Shaitan (1962). Namun, skripnya diolah semula dan diserahkan kepada Allahyarham Hussein Haniff.

Kita sering mengingati mereka (senimawati) sebagai pelakon atau penyanyi sahaja, sedangkan mereka mempunyai lebih banyak pengalaman dan kebolehan yang kurang diketengahkan.

Tysha: Ada wanita Melayu yang mempunyai kisah hidup cukup menarik.

Ketika saya menjalankan kajian mengenai Haliza Mohd Som untuk Taman Warisan Melayu (MHC), saya mendapati kehidupannya penuh dengan pencapaian.

Selain menjadi individu utama di sebalik majalah Fesyen, beliau pernah mencipta jenama Harmuni (jenama produk makanan di Singapura, yang terkenal dengan beras wangi, minyak masak dan gula), khususnya untuk pasaran masyarakat Melayu dan bertanding dalam pilihan raya.

Apabila kita memikirkan tokoh Melayu Singapura yang terkenal, kita sering teringatkan tokoh lelaki. Tetapi kisah wanita kita tidak cukup diperkatakan.

S: Apakah cabaran yang anda hadapi sebagai wanita Melayu dalam industri kreatif?

Mysara: Ketika berkhidmat sebagai wartawan, saya merasakan ada kalanya saya perlu berusaha dua kali ganda untuk memastikan pandangan saya diberi perhatian dan suara saya didengari.

Cabaran berbeza pula saya hadapi ketika mengarahkan filem pendek pertama saya di Kuala Lumpur, dengan kru produksi yang kebanyakannya terdiri daripada lelaki.

Walaupun saya mempunyai pasukan yang baik, pada awalnya agak sukar untuk mendapatkan kerjasama mereka kerana saya seorang wanita dari Singapura.

Sebagai pengarah, saya mempunyai kuasa untuk membuat keputusan akhir, namun saya dapat merasakan bahawa kedudukan itu menjadikan keadaan sedikit lebih mencabar.

Tysha: Saya tertanya-tanya sejauh mana keengganan saya untuk menjadi seorang ‘gadis ayu’ mempengaruhi pandangan orang terhadap kelayakan saya muncul di televisyen.

Saya bukan seseorang yang berambut panjang, pemalu, manja atau terlalu feminin.

Justeru, saya mempersoalkan sama ada perwatakan saya dianggap sesuai untuk diberi ruang di kaca televisyen tempatan.

S: Apakah perubahan yang anda harapkan dalam cara kisah wanita Melayu diketengahkan pada masa hadapan?

Mysara: Saya berharap perbincangan ini tidak hanya tertumpu pada cabaran, tetapi turut melihat apa yang boleh kita lakukan dan harapkan pada masa hadapan.

Kita perlu melihat lebih banyak kisah tentang wanita Melayu, bukannya terus meletakkan mereka dalam kerangka yang sudah ditetapkan masyarakat.

Tysha: Seperti kata Roswita Haji Ali, ‘Siapa yang lebih layak menceritakan kisah wanita, kalau bukan wanita sendiri?’

Jangan hanya ceritakan penderitaan wanita. Ceritakan juga kegembiraan dan keseronokan kami.

Jangan hanya ceritakan kisah wanita. Ceritakan kisah dunia. Ceritakan apa sahaja yang ingin disampaikan.