Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sentuhan magis komposer Indonesia, Ade Govinda, perluas kerjasama serantau

Cipta lagu terbaru, ‘Semoga Saja’, dendangan bakat muda M’sia, Aisha Retno
Nov 2, 2025 | 5:30 AM
Ade Govinda, artis indonesia
Anggota kumpulan pop Indonesia dan komposer, Ade Govinda, aktif memperluas kerjasama dengan bakat serantau, khususnya di Malaysia dan Singapura, sejak 2020. - Foto INSTAGRAM ADE GOVINDA

Sejak 2020, komposer ternama Indonesia, Ade Govinda, atau nama sebenarnya, Ade Nurulianto, 41 tahun, telah memperluaskan kerjayanya ke Malaysia dan Singapura melalui pelbagai kerjasama rentas sempadan.

Antara penyanyi yang pernah menikmati keistimewaan dan daya tarikan lagu ciptaan Ade termasuk Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, melalui lagu Menamakanmu Cinta, serta Ernie Zakri dengan lagu hit serantau, Masing-Masing.

Bahkan, lagu Masing-Masing membawa penangan yang berbekas di hati peminat sehingga meraih pengiktirafan di Malaysia dan Indonesia. 

Pada November 2024, lagu hit tersebut yang dijadikan lagu tema sinetron Luka Cinta, meraih Anugerah Runut Bunyi Rasmi (OST) Sinetron Paling Ngetop pada Anugerah SCTV di Indonesia.

Lagu itu turut diumumkan sebagai Lagu Paling Boom Popular dalam kategori Ekstra Tonton Paling Popular sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36, pada 2024.

Sehingga akhbar ini diterbitkan, lagu Masing-Masing telah distrimkan lebih 219.5 juta kali di wadah penstriman digital, Spotify.

Manakala di YouTube, video muzik lagu tersebut telah ditonton sebanyak 51.8 juta kali.

Ade tidak juga ketinggalan untuk bekerjasama dengan bakat Singapura serta ejen hartanah iaitu, Roziana Cindy, menerusi lagu berjudul, Paling Sejati, pada 2024.

Di sebalik kejayaan Ade kini, beliau sebenarnya merupakan ahli kumpulan pop Indonesia, Govinda, yang telah mewarnai industri hiburan sejak 2010.

Kumpulan itu turut dianggotai oleh Ifan Hadari (vokalis); Yosafat Luki Marendra (pemain bes), dan Ritchie Ismail, atau lebih mesra disapa, Jeje (pemain dram).

Selama 15 tahun bergiat dalam seni, kumpulan Govinda kekal sebagai salah satu band Indonesia yang tidak pernah berganti anggota.

Apabila ditanya Berita Minggu (BM) melalui Zoom baru-baru ini, mengenai tanggapan Ade terhadap kejayaan yang diraih, khususnya menerusi lagu ciptaannya, Masing-Masing, beliau berkata:

“Pastinya, Alhamdulillah. Tetapi pada masa sama, tidak mudah untuk meraih kejayaan itu.

“Saya sudah berkecimpung dalam dunia hiburan bersama kumpulan Govinda sejak 2010. 

“Manakala saya mula mencipta dan menerbitkan lagu sejak 2014, serta memulakan kerjasama dengan artis serantau pada 2020.

“Apabila bekerjasama dengan artis ternama daripada rantau ini, saya selalu mementingkan untuk membuat lagu dengan baik, serta memikirkan lirik dan nada (melodi) yang matang.”

Bagaimanapun, Ade akur kejayaan sesuatu lagu menjadi hit atau popular bukan sahaja bergantung pada bakat dan usaha, malah juga bergantung kepada nasib. 

Walaupun lagu itu mempunyai melodi merdu, lirik padu, dan persembahan mantap, keberhasilan menambat perhatian pendengar kadang-kadang memerlukan peluang dan rezeki yang tepat.

“Sebenarnya, saya juga mengharap kesemua lagu yang saya ciptakan menjadi hit.

“Namun begitu, ada kalanya lagu yang saya kira bagus, tidak pula meraih sambutan. Sementara, yang saya anggap kurang bagus, menjadi tular di media sosial.

“Bagaimanapun, selagi kami telah memberikan yang terbaik dalam mempromosikan lagu tersebut, apapun hasilnya tetap akan terasa memuaskan,” tambahnya lagi.

Melanjutkan senarai kerjasama dengan nama-nama besar di industri hiburan, Ade menghadiahkan lagu terbaru berjudul, Semoga Saja, bagi peminat setia penyanyi serta komposer muda lagi berbakat, Aisha Retno, 25 tahun.

Lagu Semoga Saja yang dilancarkan pada 19 September, membawa kelainan dari segi nuansa berbanding karya Ade sebelum ini yang banyak bernada pop-balada.

Kali ini, susunan lagu bernada sederhana, namun tetap penuh perasaan, mencipta ruang untuk vokal Aisha menyerlah dengan kelembutan yang menyentuh jiwa.

Ia turut mengisahkan tentang harapan dalam sebuah hubungan, yang mana seseorang berjuang mempertahankan rasa cinta meskipun diselubungi keraguan dan ketidakpastian.

Menurut Ade, lagu Semoga Saja mengambil inspirasi daripada kisah benar Aisha, dan dihasilkan dalam masa 45 minit. 

“Bagi saya, Aisha seorang penyanyi yang berkebolehan tinggi. Dalam lagu Semoga Saja, beliau turut membantu saya dalam pembikinan lirik lagu.

“Darah seni Aisha mengalir begitu kental dalam dirinya – beliau bukan sahaja berbakat menyanyi, malah mahir bermain alat muzik dan menulis lagu, memberikan pelbagai ruang kreatif untuk diterokai bersama,” kata Ade.

Selain itu, Ade mendedahkan lagu terpantas yang pernah beliau cipta dihasilkan dalam tempoh 15 minit.

Namun, bagi bapa seorang anak itu, rahsia sebuah lagu yang indah bukan pada seberapa pantas ia dihasilkan.

Sebaliknya, ia terletak pada melodi dan lirik lagu yang mampu menyentuh hati pendengar.

Apabila ditanya oleh BM mengenai langkah yang perlu diambil oleh bakat seni untuk menembusi pasaran muzik Indonesia, Ade menyingkap:

“Kalau dilihat bakat-bakat dari Malaysia yang sudah menembusi pasaran Indonesia termasuk Masdo, Ernie Zakri, Dolla dan Siti Nurhaliza.

“Industri hiburan dan muzik Indonesia memang besar, maka pesaingnya pun banyak sekali.

“Nasihat saya untuk menembusi pasaran Indonesia, seseorang itu harus bijak menyusun strategi pemasaran lagunya.

“Seperti contoh, masyarakat Indonesia mengenali Ernie Zakri ketika lagu Masing-Masing dijadikan runut bunyi (OST) bagi sinetron (drama bersiri), Luka Cinta, yang mendapat sambutan ramai.

“Begitu juga dengan Siti Nurhaliza, yang hangat diperkatakan ramai telah membuat kemunculan semula di Indonesia, khususnya ketika lagu Menamakanmu Cinta dijadikan OST bagi sinetron Cinta Sepenuh Jiwa.

“Jadi, bakat seni harus tahu apa yang sedang ‘hangat’ di Indonesia. Salah satunya ialah sinetron.”

Buat masa ini, Ade dikatakan sibuk dengan persembahan di Indonesia bersama kumpulan Govinda.

Sementara itu, lagu Semoga Saja kini boleh didengarkan di wadah penstriman digital. – AININ ALFIYAH JAILANI

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg