Shamsul Ghau Ghau makin pulih, mula jalani rawatan fisioterapi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shamsul Ghau Ghau makin pulih, mula jalani rawatan fisioterapi

Jan 27, 2026 | 2:53 PM

Shamsul Ghau Ghau makin pulih, mula jalani rawatan fisioterapi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
shamsul ghau ghau, pembedahan, darah beku otak, fisioterapi
Pelakon veteran, Shamsul Ghau Ghau, menunjukkan perkembangan positif setelah menjalani pembedahan membuang darah beku di bahagian otak pada 24 Januari lalu. - Foto HARIAN METRO

KUALA LUMPUR: Isteri kepada pelakon veteran, Shamsul Ghau Ghau, 57 tahun, iaitu Sharifah Azrinah Syed Ibrahim, memaklumkan keadaan suaminya menunjukkan perkembangan yang sangat positif dan memberangsangkan selepas selamat menjalani pembedahan membuang darah beku di bahagian otak, di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang, Malaysia, pada 24 Januari.

Menurut Sharifah Azrinah, hampir semua wayar serta peralatan perubatan yang sebelum ini dipasang pada tubuh Shamsul telah ditanggalkan.

Kini, suaminya itu sudah mula menggerakkan anggota badan secara bertahap-tahap, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Alhamdulillah, perkembangan Abang Shamsul (panggilan buat Shamsul) sangat positif dan memberangsangkan. Saya rasa sangat lega.

“Doktor juga memaklumkan keputusan ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di bahagian otak kiri yang dibuat pada 25 Januari, menunjukkan keputusan yang baik.

“Wayar-wayar di badannya sudah dicabut dan pada 27 Jan, beliau sudah mula menjalani fisioterapi serta boleh menggerakkan tangan dan kakinya dengan bantuan,” katanya.

Sharifah Azrinah menambah pihak doktor kini sedang mencuba untuk memberikan makanan melalui mulut, selepas Shamsul yang sebelum ini diberi susu menerusi tiub.

“Pada 25 Januari, doktor cuba berinya minum susu melalui tiub dan diteruskan pad 6 pagi serta 9 pagi.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada sebarang tindak balas negatif seperti muntah. Seterusnya, doktor akan cuba memberi Abang Shamsul makan bubur melalui mulut,” katanya lagi.

Mengulas perkembangan kognitif suaminya, Sharifah Azrinah berkata Shamsul kini mampu menjawab soalan dengan baik walaupun kadangkala memerlukan sedikit masa untuk memahami soalan.

“Beliau sudah boleh bercakap dengan jelas, cuma responnya kadang-kadang sedikit perlahan dan ada kalanya nampak keliru.

“Apabila doktor bertanya mengenai dirinya dan orang sekeliling, Alhamdulillah beliau dapat menjawab semua soalan dengan betul.

“Saya sangat bersyukur melihat perkembangan itu,” ujar Sharifah Azrinah.

Dalam pada itu, Shamsul juga sudah mampu duduk di atas atau di tepi katil, namun masih belum cukup kuat untuk berjalan tanpa bantuan.

Bagaimanapun, tempoh rawatan Shamsul di hospital masih bergantung kepada perkembangan semasa.

“Doktor maklumkan buat masa ini, kemungkinan Abang Shamsul perlu dirawat di hospital sekitar tiga hingga empat hari lagi, bergantung kepada perkembangan hariannya,” kongsi Sharifah Azrinah.

Menurutnya lagi, rawatan fisioterapi perlu diteruskan sama ada di hospital atau di rumah, bergantung kepada keputusan doktor.

“Doktor beri pilihan sama ada beliau balik dan jalani fisioterapi di rumah atau terus ditahan di hospital sekitar seminggu untuk mengikuti program yang telah disusun supaya keadaannya lebih stabil sebelum dibenarkan pulang,” jelasnya.

Ditanya BHM sama ada Shamsul ada meluahkan perasaan kepadanya, Sharifah Azrinah berkata suaminya lebih banyak berdiam diri dan memikirkan komitmen penggambaran yang sedang dijalani.

“Beliau risau tentang penggambaran.

“Saya beritahu semuanya sudah diuruskan dan pihak penerbitan memahami keadaannya.

“Apabila saya cuba yakinkan beliau, responnya hanya berdiam, termenung dan air matanya mengalir.

“Beliau angguk faham. Saya minta dirinya kekal kuat dan positif supaya cepat sembuh,” kata Sharifah Azrinah.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan dan memberi sokongan kepada keluarganya.

Sharifah Azrinah turut menzahirkan penghargaan kepada pelakon, Sheila Mambo yang banyak membantu sejak awal kejadian berlaku.

Sementara itu, Sheila menjelaskan usaha menggerakkan kutipan sumbangan dilakukan secara bersama dengan rakan artis lain.

“Ini bukan usaha saya seorang.

“Ramai rakan artis seperti Ebby Yus, Ellie Suriaty dan yang lain turut membantu.

“Ada yang sebarkan maklumat dan ada yang hubungi pihak berkaitan termasuk zakat.

“Apabila dilakukan dengan cara yang betul, semuanya bergerak dengan cepat. Ini urusan Allah, kita hanya perantara sahaja,” kata Sheila.

Sheila turut menyifatkan Shamsul sebagai seorang yang baik hati dan disenangi ramai.

“Pak Su (panggilan untuk Shamsul) orang baik.

“Apabila kita mudahkan urusan orang, Allah mudahkan urusan kita. Ini bukti kuasa Allah dan kebaikan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Shamsul dilaporkan mengalami pendarahan beku dalam otak dan selamat menjalani pembedahan di HSAAS, Serdang.

Difahamkan kos pembedahan berjumlah sekitar RM25,000 ($7,991) diperlukan sebagai wang pendahuluan dan pelbagai pihak telah tampil menghulurkan sumbangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg