Shamsul Ghau Ghau jalani bedah buang darah beku dalam otak
Shamsul Ghau Ghau jalani bedah buang darah beku dalam otak
Isteri awalnya terkejut dengan kos bedah cecah RM25,000 sebab hanya ada RM6,000 dalam simpanan, syukur sahabat seni banyak bantu
KUALA LUMPUR: Mengaku terduduk dan hampir berputus asa sebaik dimaklumkan kos pembedahan suaminya, Shamsul Ghau Ghau, Sharifah Azrinah Syed Ibrahim, tersentuh ramai sahabat dan insan prihatin tampil menghulur sumbangan.
Beliau juga bersyukur pihak pengurusan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang, memberi pengecualian RM10,000 ($3,197) bagi kos pembedahan membuang darah beku dalam otak Shamsul.
Lantas, kos yang mencecah RM25,000 menjadi RM15,000.
Justeru, Sharifah Azrinah lega pembedahan berjaya dilaksanakan di hospital itu pada 24 Januari.
“Pada mulanya, saya dimaklumkan deposit sebanyak RM25,000 diperlukan dan jika berlaku apa-apa dalam prosedur pembedahan itu, mungkin kos akan cecah RM35,000 hingga RM40,000.
“Saya terduduk dan hampir putus asa. Apatah lagi, hujung minggu, bagaimana hendak keluarkan simpanan? Sheila Mambo kemudian beritahu mahu tolong dan hendak ‘viralkan’ keadaan suami yang perlu dibedah.
“Sheila banyak bagi semangat kepada saya. Kemudian, seorang demi seorang hamba Allah hulur bantuan seperti Pencetus Ummah (PU) Salman, Imam Muda Ashraf dan sebagainya.
“Mungkin sebab mereka pandang kebaikan Pak Su (panggilan untuk Shamsul), jadi ramai yang hulurkan bantuan supaya pembedahan dapat dilakukan semalam,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM) pada 25 Januari.
Sharifah Azrinah bersyukur pengurusan HSAAS memberi pengecualian RM10,000, lalu hasrat memindahkan Shamsul ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), tidak diteruskan.
“Hospital ada peruntukan untuk kebajikan pesakit. Selepas saya ditemubual, pengurusan bersetuju menanggung RM10,000 daripada kos pembedahan. Jadi, saya perlu cari kos RM15,000 sahaja,” katanya, yang mengaku ketika itu, beliau hanya mempunyai wang simpanan sebanyak RM6,000.
Sharifah Azrinah bersyukur sumbangan teman-teman dan individu prihatin membolehkan pembedahan membuang darah beku dalam otak suami dilaksanakan.
“Tolonglah sampaikan terima kasih saya daripada anak-anak dan Pak Su kepada semua orang, tidak kisahlah siapa. Terutama Imam Muda Ashraf, Sheila yang selalu bersama dan telefon.
“Alhamdulillah dari semalam saudara-mara dan kawan-kawan Pak Su ramai datang melawat. Sampai tengah malam tadi, tidak putus-putus orang datang ziarah biarpun tidak dibenarkan masuk ke wad,” katanya.
Berkongsi keadaan kesihatan Shamsul, Sharifah Azrinah berkata, suaminya kini stabil dan perlu dipantau rapi selama 48 jam selepas pembedahan.
“Doktor cakap dalam tempoh 90 hari yang pertama, kena pantau Pak Su. Suami perlu ikuti sesi fisioterapi. Jadi, saya minta doa semua orang. Kita pun tidak tahu bagaimana kedaaan Pak Su selepas ini,” katanya.
Shamsul atau nama sebenar, Shamsul Azahar Aliddin, 58 tahun, dilapor dirawat di HSAAS, Serdang selepas dipercayai mengalami pendarahan beku pada otak.
Ketika ditemui mStar pula di hospital, tersenyum sambil menunjukkan isyarat ‘mini love’ dan memberitahu keadaannya kini baik.
“Saya okay,” jawab bapa tiga anak itu ringkas.
Shamsul membangun kerjaya sebagai pelawak, pelakon, penyanyi dan pengacara dan mula mencipta nama dalam rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan (Musim Pertama).
Bekas pegawai polis itu juga pernah menyertai kumpulan lawak terkenal, Senario, dan menjayakan filem Senario The Movie.

