KUALA LUMPUR: Pelakon berkaliber, Sharnaaz Ahmad, 40 tahun, berkata dirinya berehat seketika daripada berlakon drama pada tahun ini (2025) kerana terikat dengan persediaan membintangi filem.
Menurut pemilik nama sebenar Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, persediaan dibuatnya sekarang sebagai Reza pernah dilakonkan dalam filem Polis Evo 3 pada 2023.
“Selain aktif berlakon filem, saya juga sibuk berniaga.
“Tapi, tahun ini saya kena selesaikan Reza (watak) yang memerlukan saya turun berat badan kepada 70 kilogram.
“Jadi, saya perlu ambil masa kira-kira enam bulan untuk mendapatkannya (berat badan ideal) dan untuk itu, saya memang tak boleh nak terima tawaran drama.
“Saya ‘prep’ (persediaan) memang lama.
“Sebab saya akan ambil masa enam bulan itu untuk ‘fit’ badan dan buat pelbagai aktiviti kecergasan kerana ia membabitkan aksi,” katanya kepada Harian Metro.
Ujar Sharnaaz yang melakonkan watak Ghaz dalam filem fenomena, Blood Brothers: Bara Naga, tahap kecergasan diri penting diutamakan sebagai pelakon filem aksi.
“Untuk nak buat filem aksi, kalau tak ada ‘fitness’ (kecergasan) memang bengkok.
“Jadi, saya perlu pastikan tahap kecergasan diri saya seperti orang muda.
“Sekarang pun umur saya dah 40 tahun.
“Oleh itu, kalau saya mampu dapatkan macam usia 32 tahun semula, itu dah sangat ‘best’,” jelasnya.
Selain Sharnaaz, filem Blood Brothers yang mengutip lebih RM76 juta ($23.08 juta) untuk tayangan di Malaysia dibintangi pelakon seperti Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Andy Teh dan ramai lagi.
Diarahkan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, filem Blood Brothers itu diterbitkan Skop Productions dan Primeworks Studios dengan kos pembikinan RM7 juta.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg