Pelakon dan usahawan Malaysia, Sherry Ibrahim, baru sahaja menjalani pembedahan kecil membuang ganglion cyst (bengkak berisi cecair) yang tumbuh di bahagian pergelangan tangan kirinya.
Menurut Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 42 tahun, ia merupakan pengalaman pertamanya menjejakkan kaki ke bilik pembedahan dan melalui prosedur perubatan sedemikian.
“Pada mulanya, saiz cyst itu kecil sahaja, tapi lama-kelamaan ia membesar dan menjadi semakin keras.
“Ia mula mengganggu pergerakan tangan saya, terutama apabila melakukan kegiatan harian seperti memandu,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah Sherry, doktor menjelaskan bahawa kemunculan cyst itu berpunca daripada penggunaan pergelangan tangan yang kerap dan berlebihan semasa bersenam.
“Saya memang aktif bersenam dan sering mengangkat berat. Gaya hidup lasak itu mungkin menjadi penyebab utama ketumbuhan itu muncul dan terus membesar,” katanya yang dikenali dengan drama Dunia Baru dan Teduhan Kasih.
Bagaimanapun, pelakon itu bersyukur kerana prosedur pembedahan berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi.
“Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja. Doktor dan jururawat menjaga saya dengan sangat baik sepanjang proses.
“Walaupun ini pengalaman pertama, saya langsung tidak rasa takut atau cemas,” katanya yang kini membintangi drama 20 episod Nikmat Hanya Sesaat di saluran TV3, Malaysia.
Sherry turut mengucapkan terima kasih atas doa dan sokongan daripada keluarga, rakan-rakan serta peminat yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dirinya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg