Topik diikuti
Pergi ke BHkuShila Amzah rancang konsert mega di KL pada Ogos
Shila Amzah rancang konsert mega di KL pada Ogos
Shila Amzah rancang konsert mega di KL pada Ogos
Selepas kejayaan menganjurkan konsert solo Resonance: Shila Amzah In Harmony – 25 Years of Music & Memories di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur pada 9 Mei, penyanyi Malaysia, Shila Amzah ingin membuka lembaran baharu dengan melangkah ke pentas lebih besar.
Selepas enam hingga tujuh bulan melakukan persiapan, penyanyi berusia 36 tahun itu mengakui berasa lega apabila konsert berkenaan berjaya dilaksanakan selain menerima sambutan luar biasa daripada peminat.
Lebih menyentuh hati, konsert itu turut menarik kehadiran peminat dari luar negara termasuk China, Singapura dan Australia yang sanggup terbang ke Malaysia semata-mata mahu menyaksikan persembahannya.
Menurut Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah, beliau terharu apabila kira-kira 30 peratus penonton yang hadir pada malam konsert adalah peminat dari luar negara, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Alhamdulillah, saya juga dapat menyanyikan keseluruhan lagu daripada album terbaharu saya, SA25.
“Apa yang lebih menggembirakan, peminat dari China turut datang ke Malaysia untuk menyaksikan konsert itu.
“Saya juga menerima kehadiran peminat dari Singapura dan Australia.
“Saya sangat terharu apabila mereka sanggup membeli tiket dan hadir khas untuk konsert di DFP,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran strategik, jenama beg tangan Iseigur 2026 di Pusat Perdagangan Mines 2 di Kuala Lumpur.
Menurut anak kepada penyanyi dan pelakon terkenal era 1980-an, Datuk ND Lala, konsert berkenaan cukup istimewa kerana buat pertama kali beliau membawakan lebih banyak lagu Melayu berbanding karya Mandarin.
Katanya, beliau mempersembahkan sebanyak 31 lagu termasuk segmen medley yang disampaikan dalam versi hampir penuh.
“Kalau tidak silap, persembahan berlangsung sekitar dua jam 15 minit hingga dua jam setengah termasuk segmen medley.
“Tetapi medley itu tidak terasa seperti yang biasa sebab kami tidak buat secara ringkas. Kami benar-benar membawakan lagu yang hampir penuh,” katanya.
Shila berkata, konsert di DFP mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana ia direalisasikan sepenuhnya menerusi usaha bersama pengurusnya.
Katanya, konsert berkenaan menjadi projek solo pertama yang menggunakan idea, tenaga dan dana mereka sendiri.
“DFP ini umpama ‘baby concert’ saya. Saya dan pengurus memang menempah ruang itu kerana ia adalah konsert pertama yang benar-benar menggunakan usaha dan wang kami sendiri sepenuhnya.
“Jadi untuk konsert seterusnya, sudah tentu kami akan melihat apa yang boleh diperbaiki daripada pengalaman di DFP,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Patah Seribu dan Masih Aku Cinta itu turut memberi bayangan bakal mengadakan satu lagi konsert solo di Malaysia dengan kapasiti penonton lebih besar.
“Insya-Allah sedikit masa lagi saya akan umumkan konsert solo kedua di Malaysia.
“Konsert itu juga berskala lebih besar. Saya tidak terus melompat ke stadium, tetapi ruang kali ini memang lebih besar berbanding DFP.
“Insya-Allah konsert itu akan diadakan pada Ogos sempena bulan kelahiran saya dan pengumuman rasmi dijangka dibuat pada 22 Mei ini,” katanya.
Menurut Shila, jika dibandingkan dengan kapasiti DFP yang memuatkan kira-kira 1,000 penonton, konsert akan datang dijangka tiga hingga empat kali ganda lebih besar.
Sementara itu, mengulas penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri muzik, Shila berpandangan teknologi itu seharusnya dijadikan alat bantuan dan bukannya menggantikan sentuhan manusia dalam sesebuah karya.
“Bagi saya, apa sahaja teknologi yang wujud sepatutnya digunakan untuk mengiringi bakat sebenar manusia.
“Ia seharusnya membantu memperhalusi dan memperkemaskan karya, bukannya digunakan sepenuhnya sehingga semuanya bergantung kepada AI.
“Sejujurnya saya kurang bersetuju jika AI digunakan 100 peratus kerana robot tidak akan mampu menggantikan manusia,” katanya.
Menurut Shila, walau secanggih mana teknologi cuba meniru manusia, nilai kemanusiaan tetap tidak mampu digantikan mesin.
