Diuji dengan kehilangan ibu dan bapa dalam tempoh dua minggu berturut-turut, kumpulan Mendua tetap kuat meneruskan perjuangan dalam program realiti anjuran Astro, Gegar Vaganza Musim 12 (GV12).
Kumpulan tersebut dianggotai Hendra Purnanto (Pungky), Diana Puspitasari (Diana) dan Marisha Friska Halauwet (Sasha).
Mereka awalnya dikenali sebagai naib juara peraduan realiti, Gang Starz, pada 2007. Mendua kemudian disifatkan sebagai kumpulan ‘one hit wonder’ (satu lagu popular sebelum menghilangkan diri), dengan terhasilnya lagu runut bunyi filem Duyung, Hampir Ke Situ, pada 2008.
Bertubi-tubi berdepan kematian insan tersayang dalam kehidupan, Pungky kehilangan ibunda tercintanya sekitar dua minggu lalu.
Manakala, Diana pula berduka atas pemergian bapanya pada 27 November.
Atas faktor itu, hanya Sasha dan Pungky berdua sahaja yang membuat persembahan di konsert minggu kelima GV12 yang diadakan pada 30 November dan bersiaran langsung dari dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia.
Menurut Sasha, sudah dua kali beliau terpaksa membuat persembahan secara berdua dan perkara itu membuatkan dirinya menghadapi ‘anxiety’ atau keresahan melampau dek sering ditimpa ujian berat.
“Sejujurnya, ujian ini berlaku sangat pantas.
“Selepas Pungky, kemudian Diana pula.
“Belum sempat habis berduka atas kehilangan ibu Pungky, bapa Diana pula meninggal dunia.
“Tetapi saya harus kuat dan teruskan perjuangan di GV12, biarpun tanpa salah seorang anggota. Inilah tugas saya.
“Jika dua minggu lalu saya beritahu Diana, ‘Tak apa, walaupun kita berdua, kita akan baik-baik sahaja’, minggu ini saya beritahu hal yang sama kepada Pungky pula,” katanya kepada laman web Kosmo! Online.
Ditanya bagaimana mereka melihat perjalanan Mendua dalam GV12, Sasha, seorang pakar bedah, berkata perjalanan mereka boleh diibaratkan ‘gado-gado’ (makanan khas Indonesia), kerana penuh dengan pancaroba.
“Minggu pertama kami semua bergembira kerana dapat bersatu kembali (selepas 18 tahun terpisah).
“Kemudian, minggu ketiga Pungky berduka atas kematian ibunya.
“Minggu keempat kembali bahagia dapat berduet bersama Kaer Azami.
“Namun, minggu ini kembali berduka.
“Pelbagai rasa dan perasaan yang kami lalui bersama-sama. Ada manis, masam, masin – semuanya berlaku dalam masa satu bulan,” jelas Sasha.
Masih terasa kehilangan ibu tercinta, Pungky sempat memberikan kata-kata semangat buat Diana.
“Saya beritahu dia supaya dia kuat kerana kedua orang tua kami kini berada di tempat yang lebih baik. Mereka tidak menanggung kesakitan lagi.
“Tetapi, dia ada beritahu saya, air matanya sudah kering. Dia minta kami menghiburkan dia,” kongsi Pungky.
Biarpun hanya berdua, Mendua tetap berjaya menawan hati juri dan mendapat tempat kedua dengan menyampaikan lagu P.U.S.P.A, dendangan asal kumpulan ST12.
Mendua meraih markah sebanyak 67.25 peratus, yang juga sama dengan Nubhan di tempat ketiga.
Pada minggu seterusnya (7 Disember), Mendua akan kembali bertiga sekali gus membuat persembahan menerusi lagu Seindah Biasa, nyanyian asal Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg