Pelakon Malaysia berpengalaman, Che Puan Sarimah Ibrahim, 47 tahun, mengakui wujud salah faham mengenai kadar bayaran yang ditetapkannya bagi membintangi sesuatu naskhah berikutan statusnya sebagai isteri kerabat diraja.
Bagaimanapun, beliau menafikan perkara itu dan meminta semua pihak penerbitan agar bertanya terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang andaian.
“Bila nak panggil berlakon selalunya persepsi lebih kuat berbanding realiti.
“Saya harap mungkin orang luar boleh berkenalan dan bertanya dulu sebelum buat tanggapan sendiri.
“Saya masih seorang pelakon yang berkarya. Mungkin orang keliru. Kelas boleh menjadi konotasi negatif bila kita mahu menjadi kreatif.
“Status sebagai kerabat membuatkan orang ingat bayaran saya mahal sampai satu episod kena bayar RM10,000 ($3,032).
“Benda ini tak betul dan mereka pun tak pernah tanya,” jelasnya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Isteri kepada cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar itu, menegaskan beliau tidak pernah meminta bayaran terlalu tinggi.
“Sebelum ini, ada tanggapan salah. Jadi, duduklah dengan saya sebagai seorang anak seni.
“Saya tak pernah minta bayaran mahal, mungkin ada orang lain yang minta bagi pihak saya, bukan saya,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Sarimah berkongsi beliau kini mula aktif sebagai penerbit demi menghasilkan naskhah yang berteraskan pemerkasaan wanita menerusi syarikatnya, Sarimah Sendirian Berhad.
“Sasaran saya mahu menjalin kerjasama dengan penerbit lain.
“Saya bersedia bermula dari bawah dan belajar dengan penerbit hebat lain.
“Produk pertama yang ingin saya hasilkan adalah filem dokumentari berkenaan penggiat seni wanita. Idea sudah saya bentangkan,” ujar Sarimah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg