Sinar baru Cik Lan berkat kerja keras, hati ikhlas
Dalam usia 55 tahun penyanyi, pengacara Roslan Shah kini muncul sebagai fenomena yang jaya curi tumpuan ribuan anak muda
Dalam dunia hiburan yang cepat berubah, kisah Roslan Shah atau mesra disapa Cik Lan, mengingatkan kita, sinar boleh kembali menyala apabila tiba waktunya.
Kadang-kadang ia terbit bukan hanya kerana bakat, tetapi kerana hati yang ikhlas, jiwa yang sabar, dan rezeki yang datang ketika kita paling tidak menyangkanya.
Dalam perjalanan seni yang penuh liku dan cabaran, Roslan Shah, kembali bersinar terang di usia 55 tahun.
Setelah bertahun-tahun mengemudi kerjaya sebagai penyanyi dan pengacara di Singapura dan Malaysia dengan penerimaan yang sederhana, siapa menduga kini beliau muncul sebagai fenomena yang berjaya mencuri tumpuan ribuan peminat muda?
Fenomena Yang Tak Disangka
“Saya sendiri tidak menyangka perlu diiringi pengawal peribadi di beberapa persembahan di Malaysia baru-baru ini,” ujar Cik Lan, melahirkan rasa terkejut namun bersyukur atas perhatian mendadak itu.
Kehadirannya di beberapa konsert konvokesyen universiti, termasuk di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), di Tanjong Malim, Perak, dan sebuah lagi di Kedah, telah menyebabkan ribuan mahasiswa bersorak menyambutnya laksana seorang bintang arus perdana.
Selain itu, beliau juga tidak menang tangan menerima permintaan untuk mempromosi pelbagai produk daripada pelbagai jenama Malaysia dan Brunei.
Perubahan itu bermula tanpa gembar-gembur.
“Saya hanya memiliki 60,000 pengikut di TikTok sebelum muncul dalam video, Night Walk, bersama MBK Film Studio,” jelasnya.
Namun, segalanya berubah dalam sekelip mata.
“Alhamdulillah, jumlah pengikut saya melonjak melebihi 236,000 selepas beberapa video saya tular.
“Ramai juga yang menonton Night Walk, termasuk yang menampilkan artis jemputan,” kata beliau ketika ditemui Berita Harian baru-baru ini.
Cik Lan mengakui lonjakan populariti itu turut didorong oleh rakannya yang dikenali ramai, usahawan dan pempengaruh, Mangobossku, yang merupakan tunjang utama program di saluran YouTube MBK Film Studio.
Antara 15,000 dengan 30,000 penonton mengikuti video, Night Walk, secara ‘live’ di YouTube pada setiap Isnin, dengan angka tontonan melonjak melebihi 200,000 dari hari ke sehari.
“Nama saya mula dikenali ramai selepas bekerjasama dengan Mangobossku. Ramai mula mengikuti dan memberikan komen positif setiap kali saya bersiaran langsung di TikTok,” ujarnya.
Antara Peminat dengan Pembenci
Di sebalik sorakan dan pujian yang diterima, hadir juga suara-suara sumbang.
“Ada satu dua ‘haters’ yang membuat saya tertanya-tanya… betul ke orang suka tengok saya?” katanya sambil tersenyum nipis.
Namun, mesej daripada peminat sejati menyuntik semangat baharu.
“Saya terkejut bila mereka berkata suka melihat gelagat saya yang kelakar dan spontan. Ada yang menghantar mesej mengatakan hilang stres bila menonton video saya. Saya rasa sangat dihargai dan bersyukur,” tambahnya.
Hasilnya, tawaran mengacara, undangan menyanyi, serta kerjasama jenama semakin bertambah.
“Mungkin ini adalah keberkatan kerana saya menjaga arwah ibu sebelum ini,” ujarnya perlahan, mengingatkan kembali akan kesetiaan dan baktinya menjaga ibu yang sakit terlantar, sifat mulia yang telah lama membuatnya disayangi oleh rakan-rakan artis di Malaysia dan Singapura.
Ibunya, Allahyarhamha Mariam Kari, meninggal dunia kerana barah perut pada Disember 2019.
Lagu ‘Hantu Hantu Hantu’ Buah Tangan Terkini
Di tengah-tengah gelombang populariti yang diraih, Cik Lan turut meraikan kejayaan lagu terbarunya, Hantu Hantu Hantu, ciptaan Adi 6ixth Sense dengan lirik oleh Emma Rockers.
“Saya bersyukur lagu ini diterima ramai. Ramai yang mengatakan ia sering dimainkan di radio tempatan dan luar negara,” kata beliau.
Antara mesej paling menyentuh hatinya datang dari Brunei.
“Ada peminat dari Brunei menghantar mesej kepada saya, katanya lagu saya selalu dimainkan di sana. Alhamdulillah… semuanya rezeki daripada Allah.”
Walaupun populariti baru itu membawa beliau ke bawah sorotan lampu yang lebih terang, Roslan tidak pernah melupakan identiti dirinya yang asal.
Beliau tetap dikenali dalam kalangan artis Malaysia sebagai individu yang ringan tulang, seorang yang sentiasa bersedia membantu rakan artis yang ingin menembusi pasaran Singapura, terutama dalam mempromosikan produk di ekspo dan acara dagangan.
Keikhlasannya dalam membantu, disulami ketekunan menjaga ibunya hingga ke akhir hayat, telah membina sisi kemanusiaan yang menjadikannya lebih dihormati.
“Saya berterima kasih kepada semua yang telah membantu perjalanan seni saya selama ini, rakan kerjasama, para peminat, semua yang tidak putus memberikan semangat,” tambahnya.

