Udara malam terasa berat dan sunyi di kawasan perkuburan Bukit Brown yang gelap dan dipenuhi pepohon rendang.
Hanya sesekali kedengaran bunyi cengkerik yang menemani selebriti Roslan Shah dan Aliff Aziz dalam satu ‘night walk’ atau jelajah malam ‘berhantu’ anjuran MBK Film Studio pada 13 September.
Walaupun seolah-olah hanya berdua, hakikatnya ribuan penonton di YouTube sedang memerhati setiap langkah mereka, menanti detik-detik seram yang mungkin menjelma.
Bagi yang menonton di skrin, pengalaman itu ibarat berada di sisi mereka – terperanjat apabila tiba-tiba kedengaran bunyi misteri dari celah pokok, dan terhibur melihat reaksi ketakutan tapi lucu wajah selebriti.
Sejak kebelakangan ini, kandungan sedemikian semakin mendapat sambutan hangat di alam maya.
Daripada video pendek TikTok hingga siaran langsung berjam-jam di YouTube, masyarakat Melayu/Islam di Singapura dan Malaysia bak semakin ‘ketagih’ dengan kisah dan pengalaman seram yang disaji secara kreatif.
Bagaimanapun, asatizah dan pakar menggesa peminat ‘kandungan seram’ supaya peka dalam menikmati kandungan yang mereka minati itu, dan menekankan agar mereka tidak terlalu ‘terbawa-bawa’ sehingga boleh menyebabkan kemudaratan.
Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) baru-baru ini menekankan kandungan sedemikian perlu ditonton dengan berhati-hati, dan tidak wajar dijadikan bahan hiburan atau bagi tujuan meraih perhatian, atas sebab ia “berpotensi menjerumuskan kepada syirik”.
Menurut Ustazah Kalthom Muhammad Isa, yang juga kaunselor dan pendidik bebas, umat Islam perlu bijak mengawal diri ketika menonton kandungan seram.
“Islam tidak melarang hiburan selagi ia tidak bercanggah dengan akidah, syariat dan akhlak. Kandungan seram boleh ditonton dengan syarat ia tidak sampai menjerumuskan kepada syirik, menimbulkan ketakutan melampau, atau melalaikan daripada tanggungjawab agama,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan agar penonton tidak terlalu terbawa-bawa sehingga menjejaskan kehidupan harian, misalnya enggan solat sendirian, hilang tidur, atau menanam rasa waswas berlebihan.
Koresponden Berita Minggu (BM), Cik Rubiah Mohd, berpeluang meninjau secara dekat bagaimana penstriman langsung dari Bukit Brown itu dijalankan kru MBK Film Studio.
Walaupun produksinya ringkas dengan hanya menggunakan telefon bimbit untuk merakam, tripod dan lampu, ia berjaya menarik ribuan penonton setiap kali penstriman langsung diadakan.
Menurut pengasas MBK Film Studio, Encik Mohamad Hussin Said, atau lebih dikenali sebagai Mangobossku, semua ‘hantu’ yang muncul malam itu hanya lakonan kru penerbitan.
“Tujuannya jelas, untuk menghiburkan penonton dan pada masa sama, membuka peluang pemasaran kepada penaja perniagaan yang menyokong setiap episod,” jelasnya.
Episod pada 13 September ditaja agensi pembantu rumah, Bibik2Go, yang diasas pasangan suami isteri, Encik Aliff Zainal dan Cik Ikah Jamil.
Mereka menaja lebih $10,000 sebagai sebahagian daripada satu pakej yang merangkumi beberapa episod kerana percaya kandungan seram dapat menarik perhatian ramai.
“Alhamdulillah, kami menerima pertanyaan daripada bakal pelanggan semasa dan selepas penstriman langsung, dan kami juga mempunyai lebih ramai pengikut di akaun media sosial kami,” kongsinya.
Menurut Pensyarah Bahagian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE) – Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Roszalina Rawi, kandungan seram berfungsi sebagai bentuk eskapisme, membantu orang ramai melepaskan tekanan serta mengurus keresahan dengan cara terkawal.
Namun para pakar tetap menasihati penonton agar beringat-ingat apabila menonton kandungan sedemikian.
Eskapisme bermakna kecenderungan atau tindakan untuk melarikan diri daripada kenyataan yang tidak menyenangkan dengan mencari hiburan atau pengalihan fikiran, seringkali melalui kegiatan berimaginasi atau rekaan.
“Dari sudut psikologi dan sosiologi, kandungan seram dan paranormal mendapat tempat kerana ia memberi orang ramai rasa saspens dan pengalaman takut dalam keadaan selamat, seumpama rasa gerun ketika menaiki ‘roller coaster’,” jelasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg