Membesar di kampung pada era 1980-an di Sarawak, jauh daripada hiruk-pikuk bandar, Tony Eusoff, 48 tahun, mendapatkan hiburan dan inspirasi melalui buku dan filem termasuk yang diarah dan dijayakan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Dunia imaginasi dan fantasi itulah yang memupuk minat mendalamnya terhadap seni.
Baru-baru ini, penulis berpeluang bertemu empat mata dengan pelakon kacak dan berkarisma itu di Pulau Pinang, sempena pelancaran filem terbarunya, Mencari Ramlee.
Sebagaimana di pentas, P. Ramlee The Musical, pada 2014, Tony sekali lagi diberi peranan yang memerlukannya menyelami jiwa seniman agung itu.
Kali ini, dalam Mencari Ramlee, Tony adalah Zakaria, pemuda yang meniru gaya P. Ramlee bagi meraih pendapatan yang dapat membebaskannya daripada buruan tailong.
Meski dikenali sebagai pelakon serba boleh yang menguasai pentas teater, televisyen dan layar perak, perjalanan hidup Tony tidak selalu indah.
Anak seni dengan nama sebenar, Anthony Joseph Hermas Rajiman, memiliki Ijazah Sarjana Muda Seni Bina dari Universiti Malaya (UM).
Namun, beliau akhirnya menyedari bidang itu bukanlah laluan hidup yang diingininya.
Selepas meninggalkan dunia seni bina, Tony menceburi bidang peragaan, sebelum menyertai khidmat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) sebagai pramugara selama hampir setahun.
Tidak lama kemudian, beliau membuat keputusan berhenti dan berkecimpung dalam bidang pentas kreatif.
Kini, setelah 21 tahun menempa nama dalam industri hiburan, Tony masih teguh berdiri.
Keupayaannya mengimbangi komitmen dalam teater, televisyen dan filem menjadikannya antara pelakon serba boleh yang disegani dan fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Namanya harum bukan sahaja di Malaysia bahkan juga di Singapura.
Penglibatan seninya pernah menarik perhatian penonton tempatan menerusi muzikal, La Cage Aux Folles, terbitan Wild Rice Singapore, di Esplanade pada 2012.
“Singapura kecil, tetapi pentas teaternya lebih rancak dan profesional. Berlakon di sini sentiasa memberikan saya pengalaman yang istimewa,” katanya ramah.
Beliau juga pernah menjayakan drama ‘thriller’ perubatan, Chiron, yang diterbitkan syarikat penerbitan Singapura, Papahan Films, dan teruja dengan arahan M. Raihan Halim.
Di sebalik pelangi yang menyinari kerjayanya, Tony pernah melalui detik kelam yang menguji ketabahan dirinya.
Lima bulan hidupnya pernah terperuk dan meringkuk di balik jeriji besi penjara di Singapura, suatu pengalaman yang dianggap paling gelap dalam perjalanan hidupnya.
Pada April 2016, beliau dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh mahkamah Singapura selepas didapati bersalah memiliki ganja.
Namun, kerana berkelakuan baik, beliau dibebaskan selepas menjalani hukuman selama lima bulan 10 hari.
“Saya melihat pengalaman itu sebagai sejarah hitam dalam diri saya.
“Namun ia mengajar erti kekuatan dan membuatkan saya untuk terus berusaha dan memperbaiki diri.
“Kesilapan terjadi, dan kita perlu mengambil iktibar daripadanya.
“Kehidupan saya benar-benar berubah ketika berada di Penjara Changi di Singapura.
“Kuncinya adalah fokus untuk terus meningkatkan diri.
“Sebenarnya, warga Malaysia dan Singapura ini penyayang dan pemaaf, jika kita tunjukkan usaha yang jujur untuk berubah,” tambahnya.
Namun begitu, sehingga kini Tony masih berasa amat terkilan, kerana sejak 2017 beliau tidak lagi dibenarkan menjejakkan kaki ke Singapura.
Pada 2025, ia merupakan detik kemunculan semula Tony di layar perak melalui filem, Mencari Ramlee, arahan sulung, Megat Sharizal Mohamed Yusoff, dan terbitan Playground Productions.
Filem bergenre drama komedi itu menggandingkannya dengan Datin Sofia Jane dan Megat Sharizal, serta mengangkat semula legasi seni lakon Nusantara untuk generasi baru.
Filem, Mencari Ramle , mengisahkan perjuangan seorang pemuda yang mencari identiti dan warisan budaya melalui jejak seni silam, khususnya karya P. Ramlee, ikon unggul di rantau ini.
Dengan gabungan ciri komedi yang santai dan drama yang menyentuh jiwa, filem itu bukan sahaja menghiburkan bahkan juga menyuntik rasa cinta dan kebanggaan terhadap seni tradisional dan warisan budaya yang semakin dilupakan.
“Filem ini satu penghormatan untuk seni dan legasi yang kami ingin hidupkan kembali untuk generasi seterusnya.
“Projek ini memberi peluang kepada pelakon muda untuk memahami dan menghargai keunikan serta nilai seni warisan yang menjadi tunjang kepada perkembangan industri hiburan hari ini,’’ ujar Tony penuh harapan.
Dengan sokongan kuat daripada pasukan penerbitan serta penonton, Mencari Ramlee, diharapkan mampu membuka lembaran baru dalam dunia perfileman tempatan dan menjadi inspirasi kepada pencinta seni di seluruh Nusantara.
Di sebalik kerjaya seni yang sibuk, Tony menyimpan satu impian peribadi, untuk membina keluarga sendiri. Tetapi, masa dan keadaan seolah-olah belum mengizinkannya.
“Sejujurnya, saya ingin memiliki keluarga sendiri. Keinginan itu memang ada. Tetapi, dengan keadaan yang tidak menentu dan masa yang seperti tidak menyebelahi saya, impian itu terpaksa ditangguhkan dahulu,” katanya dengan jujur.
Lebih daripada itu, keutamaan Tony kini adalah ibunya, Cik Christina, 78 tahun.
Lebih dua bulan lalu, ibunya terjatuh sehingga mengalami keretakan pada tulang belakang dan perlu menjalani rawatan seperti sesi fisioterapi.
Sejak itu, kesihatan ibunya memerlukan perhatian penuh daripadanya dan anggota keluarga lain.
“Fokus utama saya sekarang adalah memastikan ibu segera pulih dan kembali sihat seperti sediakala,” tambahnya yang gemar kegiatan lasak seperti menyelam dan menunggang motosikal.
Buat masa ini, Tony mengaku masih lagi belum berpunya dan tidak terikat dengan sesiapa, namun senyumannya memancarkan keyakinan terhadap masa depan.
“Banyak perkara boleh berlaku di masa hadapan… the possibilities are endless (kemungkinannya tidak berkesudahan),” katanya sambil ketawa kecil.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg