Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suara emas Mariah Carey memukau, hidupkan nostalgia era 90-an

Tawan ribuan peminat dalam konsert ‘The Celebration of Mimi’ meski cecah usia 56 tahun
Oct 10, 2025 | 5:30 AM
Mariah Carey, The Celebration of Mimi
Penyanyi pop, Mariah Carey, mendendangkan lagu nostalgia era 1990-an dan 2000-an melalui konsert, ‘The Celebration of Mimi’, pada 8 Oktober di Arena @ Expo. - Foto KRIS ROCHA

Walaupun melewati usia 56 tahun, namun kemampuan penyanyi bersuara emas kelahiran New York, Amerika Syarikat, Mariah Carey, menyanyikan untaian lagunya yang bernada tinggi, seolah-seolah tidak pudar dimamah oleh waktu.

Bagi saya, kesempatan menghadiri konsert, The Celebration of Mimi, anjuran Ovation Productions, pada 8 Oktober di Arena @ Expo, ibarat satu mimpi jadi nyata. 

Terakhir kali Carey mengadakan konsert di Singapura adalah pada 2018.

Konsert ini bukan sekadar konsert biasa-biasa, malah merupakan suatu pengalaman yang membawa saya melintasi kembara masa – yang diam-diam memainkan lagu Carey di makmal komputer sewaktu berada di bangku sekolah rendah.

Suaranya masih lagi menjulang tinggi dan gemersik bak embun di pagi hari yang menyejukkan hati.

Pendek kata, pesona dan keanggunan Carey begitu menyerlah, memancar indah aura bintangnya yang menyelimuti setiap pelosok dewan Arena @ Expo.

Namun, sebelum konsert itu bermula, lautan manusia yang berpusu-pusu menuju pintu dewan hampir meragut sedikit keterujaan saya. 

Dalam kesesakan ribuan peminat yang sama-sama tidak sabar, saya sempat terpinga-pinga mencari arah atau papan tanda.

Pada masa sama, ia agak sukar untuk mencari pintu masuk dalam keadaan penuh hiruk-pikuk. 

Akhirnya, konsert yang dijadual bermula pada 8 malam, terpaksa ditunda.

Namun, sebaik sahaja muzik latar mula bergema tepat pada 8.45 malam, segala penat dan resah seakan lenyap.

Carey tampil memukau dalam gaun pendek hitam berhias manik-manik, melangkah penuh keyakinan sambil mempersembahkan lagu terkininya, Type Dangerous, yang dilancarkan pada 6 Jun.

Saat itu, dewan seakan bergetar dengan lautan sorakan seramai 6,600 hadirin yang membanjiri dewan Arena @ Expo itu.

Nama ‘Mariah’ dilaungkan seirama dan penonton juga ikut berdiri, menari dan bernyanyi, seolah-olah dipukau oleh pesonanya.

Sepanjang sejam setengah persembahan itu, hampir 20 lagu dipersembahkan – termasuk rentetan karya popular seperti, Hero, Emotions, My All, Always Be My Baby, I Know What You Want dan Obsessed

Walaupun sedikit gangguan bunyi statik sempat mengganggu suasana pada awalnya, Carey tetap menggegarkan pentas dengan vokal penuh jiwa dan nostalgia, lantas menyalakan semula kenangan era 1990-an yang gemilang.

Salah satu detik paling menggembirakan bagi saya adalah ketika beliau menyanyikan, Touch My Body, single utama daripada album, E=MC² (2008), yang pernah tular di TikTok pada 2023, dengan tarian ikonik anak muda.

Naluri Gen Z (Generasi Z) dalam diri saya hampir sahaja mengikuti tarian ikonik itu semasa di tempat duduk, namun berhasil menahan diri ini dengan menikmati suasana sambil memberi sepenuh perhatian kepada persembahan Carey.

Apa yang saya kagumi tentang konsert artis antarabangsa seperti Carey adalah ketelitian mereka terhadap visual dan pengalaman pentas. 

Walaupun Carey tidak banyak menari (kerana suaranya sudah cukup memukau), penari latarnya mengisi ruang dengan tarian hip-hop serta breakdance penuh tenaga.

Kesan pencahayaan yang menari-nari mengikuti rentak lagu menambahkan lagi keindahan pentas dan membantu penonton lebih menjiwai dendangan Carey.

Salah satu detik yang paling saya ingati adalah apabila seorang penari melangkah ke pentas dengan gaya dramatik, hanya untuk meletakkan ‘microphone stand’ atau kaki mikrofon.

Selain itu, ketika Carey berehat seketika, pentas itu tetap bernyawa dengan alunan irama rancak serta tarian bertenaga yang membawa penonton seolah-olah berada di tengah-tengah kota New York.

Saya mengakui hati saya turut tersentuh apabila Carey mendendangkan lagu, My All – lagu ‘patah hati’ yang pernah menyentuh hati jutaan jiwa. 

Kali ini, saya tidak dapat menahan diri untuk menyanyikan bersama setiap bait itu dengan penuh emosi.

Bagaimanapun, versi lagu yang dinyanyikan di konsert itu kedengaran seperti rintihan seorang wanita yang telah berdamai dengan masa lalunya – biarpun masih berbekas luka, namun tenang dan penuh pasrah.

Carey turut menyanyikan lagu terbarunya, In Your Feelings, daripada album ke-16, Here For It All, yang dilancarkan pada September lalu.

Lagu itu masih lagi melekat di ingatan – terutama bait ‘rap’ yang berbunyi, “I think you might be getting a little bit too in your feelings”. 

Rasanya, lagu ini sesuai menjadi pendamping malam-malam sepi, ketika duduk bersendirian, sambil merenung perjalanan cinta yang pernah kian berpindah haluan.

Andai ada yang boleh diperbaiki, mungkin hanya daripada sudut susunan barisan penonton yang lebih teratur dan lebih interaksi antara Carey dengan peminat.

Bagaimanapun, sejujurnya, sebaik nota tinggi atau ‘whistle notebeliau mulai bergema, segala ‘cacat cela’ pada malam itu, terpadam begitu sahaja.

Saya meninggalkan dewan malam tersebut dengan langkah perlahan dan hati penuh takjub. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg