Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuara ‘mahal’ Mahalini bakal bergema di S’pura
‘Ratu Galau’ sahut cabaran baru, temui peminat Kota Singa dengan untaian lagu menyayat hati di Teater The Star pada 10 Okt
Suara ‘mahal’ Mahalini bakal bergema di S’pura
Membesar dalam keluarga seni, muzik sudah pun mendarah daging dalam diri penyanyi asal Bali, Indonesia, Mahalini Raharja, atau nama sebenarnya, Ni Luh Ketut Mahalini Ayu Raharja, sejak kecil.
Namun begitu, demi memenuhi hasrat arwah ibunya, mendiang Ni Nyoman Serini Raharja, Mahalini, 26 tahun, memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pergigian di Universiti Mahasaraswati Denpasar.
Ibunya meninggal dunia pada 2021 akibat jangkitan Covid-19.
“Ibu (saya) itu dulunya seorang penari Bali. Sementara itu, ayah saya minat mengumpulkan pembesar suara.
“Di rumah, beliau bikin seperti studio karaoke. Jadi, kami adik-beradik pun turut terikut-ikut meminati muzik.
“Sebenarnya, saya memang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang muzik dan ayah juga menyokong hasrat itu.
“Namun, ibu sangat berharap saya menjadi doktor. Jadi, saya memilih bidang perubatan demi memenuhi hasratnya.
“Ketika itu, saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian sehingga tidak lagi aktif menyanyi,” katanya ketika ditemui Berita Minggu (BM) di hotel voco Orchard Singapore, di Orchard Road baru-baru ini.
Wawancara itu diadakan di ambang konsert sulung Mahalini, Mahalini – Live In Concert (Singapore), di Singapura, anjuran penganjur konsert, SAH Entertainment.
Ia bakal diadakan di Teater The Star pada 10 Oktober.
Perjalanan seni penyanyi bersuara emas itu membuka lembaran baru apabila beliau berpeluang menyertai pertandingan realiti terkenal Indonesia, Indonesian Idol (Musim 10), pada 2019.
“Ketika uji bakat Indonesian Idol dibuka, saya mengambil keputusan untuk mencuba tanpa memberitahu orang tua saya.
“Selepas berjaya melepasi uji bakat itu barulah saya memberitahu mereka.
“Dari situ, saya berangkat ke Jakarta dan tidak menyangka perjalanan itu akhirnya membawa saya sampai peringkat lima peserta terbaik,” katanya lagi.
Perjalanan Mahalini dalam pertandingan itu kemudian terhenti selepas memperoleh undian lebih rendah ketika berada di kedudukan dua terbawah bersama rakan seperjuangannya, Ziva Magnolya.
Bagaimanapun, sejak itu, nama Mahalini terus mencuri perhatian dalam industri muzik Indonesia, dengan deretan lagu ‘hit’ mencatat kejayaan di carta muzik.
Pada 2022, Mahalini mencatat kejayaan sebagai penyanyi wanita Indonesia pertama yang mencatat lebih 100 juta penstriman di Spotify bagi dua lagu dendangannya, Melawan Restu dan Sisa Rasa.
Album sulungnya, Fabula, yang dilancarkan pada 2023, turut mencatat lebih satu bilion penstriman di Spotify pada tahun sama.
Album itu turut meraih Album Pop Terbaik di Anugerah Musik Indonesia (AMI) 2023.
Pada Indonesian Music Awards (IMA) 2023 pula, album Fabula dinobatkan Album Terbaik Tahunan, manakala lagu Sial meraih anugerah Lagu Terbaik Tahunan.
Pencapaian Mahalini terus mendapat pengiktirafan apabila beliau dinobatkan sebagai Artis Wanita Terbaik Tahunan di Spotify Wrapped Live Indonesia 2023.
Selain bergelar penyanyi, anak bongsu dalam keluarga empat beradik itu turut aktif menghasilkan dan menulis lagu sendiri.
Antaranya termasuk lagu duet Percuma yang dinyanyikan penyanyi senegara, Betrand Putra Onsu dan Anggis Devaki.
Sehingga akhbar ini diterbitkan, video muzik bagi lagu yang dilancarkan pada 27 Jun 2025 itu, telah meraih sebanyak 9.6 juta tontonan di laman YouTube.
Lagu itu turut mencatat sebanyak 29.4 juta penstriman di Spotify.
Mahalini kemudian merakam versinya sendiri dan menerbitkannya pada 28 Ogos.
Meskipun cukup sinonim dengan lagu ‘galau’ (sedih, kecewa dan patah hati), Mahalini mengakui identiti muzik tersebut mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri.
Ia tidak menghairankan memandangkan deretan lagunya mencatat kejayaan besar.
Namun, identiti yang begitu kuat dengan lagu ‘galau’ turut menjadi cabaran apabila beliau cuba meneroka genre muzik lain.
“Bagi saya, ada baik dan buruknya apabila orang sudah mengenali Mahalini dengan lagu ‘galau’.
“Baiknya, ia sudah menjadi identiti atau ‘trademark’ (ciri utama) Mahalini.
“Tapi, kekurangannya ialah apabila saya mahu mencuba genre lain, ia menjadi agak sukar walaupun saya sangat ingin melakukannya.
“Kadang-kadang saya pun rasa bosan kalau asyik menyanyikan lagu seperti itu,” ujarnya, yang pernah mencuba genre berbeza menerusi lagu bernuansa R&B, Seketika.
Lagu yang dilancarkan Mei lalu itu merupakan hasil kerjasamanya bersama adik iparnya, Rizwan Fadilah, dan kumpulan RnBoyz.
Berbalik kepada konsert sulungnya di Singapura, Mahalini, yang bersuamikan penyanyi Rizky Febian, 28 tahun, mengakui pada awalnya berasa gusar untuk menerima tawaran tersebut.
Sebelum ini, ibu kepada seorang anak perempuan berusia setahun itu pernah menjadi tetamu undangan dalam konsert Datuk Seri Rossa, Another Journey: The Beginning ‘Live’ In Singapore, di Teater The Star pada 2023.
“Singapura biasanya menjadi tempat saya datang untuk membeli-belah. Jadi, apabila ditawarkan mengadakan konsert di sini, saya sedikit takut dan risau.
“Kalau di Malaysia, ketika saya keluar membeli-belah, biasanya ada yang mengenali saya.
“Tetapi di Singapura, saya tertanya-tanya sama ada orang benar-benar akan datang ke konsert saya?
“Tetapi akhirnya saya terima kerana mahu mencabar diri sendiri.
“Alhamdulillah, saya juga mempunyai suami yang sentiasa menyokong dan menggalakkan saya untuk mencuba peluang baru seperti ini,” katanya.
Bagi memastikan suasana konsert kekal bertenaga, Mahalini bakal memberi perhatian khusus kepada susunan lagu dan konsep bagi setiap segmen persembahan.
“Saya biasanya tidak meletakkan semua lagu yang sudah diketahui ramai dalam satu bahagian. Saya akan mencampurkannya dengan lagu lain.
“Setiap segmen juga diberikan ‘treatment’ atau konsep tersendiri supaya ada elemen kejutan buat penonton.
“Misalnya, lagu yang mungkin kurang dikenali akan dipersembahkan dengan cara berbeza supaya penonton tetap teruja dan mendapat sesuatu yang tidak dijangka,” ujar Mahalini.
Tiket konsert Mahalini yang berharga antara $58 dengan $198 boleh didapatkan menerusi laman Sistic di https://www.sistic.com.sg/events/mahalini1026
“
Bagi saya, ada baik dan buruknya apabila orang sudah mengenali Mahalini dengan lagu ‘galau’. Baiknya, ia sudah menjadi identiti atau ‘trademark’ (ciri utama) Mahalini. Tapi, kekurangannya ialah apabila saya mahu mencuba genre lain, ia menjadi agak sukar walaupun saya sangat ingin melakukannya. Kadang-kadang saya pun rasa bosan kalau asyik menyanyikan lagu seperti itu.“
Singapura biasanya menjadi tempat saya datang untuk membeli-belah. Jadi, apabila ditawarkan mengadakan konsert di sini, saya sedikit takut dan risau. Kalau di Malaysia, ketika saya keluar membeli-belah, biasanya ada yang mengenali saya. Tetapi di Singapura, saya tertanya-tanya sama ada orang benar-benar akan datang ke konsert saya? Tetapi akhirnya saya terima kerana mahu mencabar diri sendiri. Alhamdulillah, saya juga mempunyai suami yang sentiasa menyokong dan menggalakkan saya untuk mencuba peluang baru seperti ini.