Dalam era-pasca Covid-19 yang penuh dengan ketidaktentuan di merata dunia, lagu pop rok elektronik, Celaru, hasil ciptaan anak Singapura, Faizal Sapuan, menggambarkan kehidupan yang diselubungi tekanan, kekeliruan dan kesungguhan mencari arah tuju.

Yang menariknya, kisah pasang surut kehidupan itu dinyanyikan dengan penuh bermakna oleh empat penyanyi tempatan, Sha’ Heezran, 26 tahun; Izhar Hidayat, 31 tahun; Amir Mansor, 34 tahun; dan Danial Baharin, 38 tahun.

Apakah formula menyatukan empat suara ini dirasakan berkesan? Apakah pula pengertian lagu ini buat empat jejaka yang mendendangkannya?

Berita Harian (BH) menghubungi Faizal, 43 tahun, dan empat penyanyi lagu ini bagi mendapatkan jawapannya.

Sebelum ini, Faizal pernah mencipta lirik bagi lagu duet juara SG Mania 2, Nana Karia, dan juara Gegar Vaganza 3 (GV3) dari Malaysia, Azharina Azhar, berjudul Biar Gambar Bicara.

Soalan (S): Apakah cetusan idea atau peristiwa sebenar yang beri inspirasi buat Faizal untuk tulis lirik lagu ‘Celaru’?

Faizal: Lagu ini lahir daripada pemerhatian terhadap realiti kehidupan hari ini. Ramai yang bergelut dengan stres, kekeliruan dan pencarian arah hidup. Saya mahu menterjemahkan perjalanan emosi itu ke dalam sebuah karya yang dekat dengan pendengar.

Dengan suasana muzik yang mendalam dan seakan-akan membawa pendengar membayangkan perjalanan sinematik persis dalam sebuah filem, ia menggambarkan hati yang tidak menentu, namun tetap mencari jalan pulang kepada ketenangan.

S: Mengapa genre pop rok elektronik dipilih bagi papar kekeliruan jiwa?

Faizal: Genre ini memberi keseimbangan antara emosi dengan tenaga. Unsur elektronik menggambarkan kekacauan fikiran, manakala rok membawa pada begitu mendalamnya emosi yang melengkapkan pesanan lagu.

Unsur elektronik mencipta suasana yang tidak menentu, sementara rok menambah ledakan emosi. Gabungan kedua-duanya menjadikan perjalanan emosi lagu terasa lebih hidup.

S: Anda bayangkan sebuah filem atau visual tertentu semasa gubah lagu ini?

Faizal: Ya, ketika saya terbayangkan idea bagi lagu ini, secara tidak langsung saya sedang menonton sebuah dokumentari Jepun tentang pengasingan sosial yang ekstrem, Hikikomori.

S: Lagu ini dinyanyikan empat vokalis lelaki. Bagaimanakah proses pembahagian rangkap?

Faizal: Pembahagian dibuat mengikut perwatakan dan warna vokal setiap penyanyi supaya setiap bahagian membawa emosi berbeza tetapi saling melengkapi.

Korus terakhir merupakan kemuncak lagu ini. Di situlah segala konflik dan pencarian mencapai kemuncaknya sebelum membawa pesanan tentang harapan.

Beberapa lapisan bunyi dan tekstur elektronik digunakan bagi mewujudkan suasana yang mencerminkan kekeliruan dan pergolakan emosi.

S: Apakah kekuatan setiap penyanyi?

Faizal: Amir Mansor mempunyai penyampaian yang penuh rasa dan mampu membawa emosi dengan begitu semula jadi. Danial Bahrin mempunyai kekuatan dari segi kawalan vokal dan mampu menyampaikan bahagian yang lebih dramatik dengan baik.

Izhar Hidayat memiliki intonasi suara yang unik dan memberi warna tersendiri pada keseluruhan lagu.
Heezran pula membawa tenaga dan perwatakan yang melengkapkan dinamik lagu, terutama pada bahagian yang memerlukan kesan lebih besar.

S: Mengapa pilih konsep kumpulan berbanding solo?

Faizal: Jika di Malaysia, lagu Isabella ‘98 disampaikan empat ikon seni suara terbesar, Datuk Amy Search, Datuk Jamal Abdillah, Allahyarham Saleem Iklim dan Zamani, saya terpanggil dan mendapat inspirasi menyatukan empat pemuda Singapura untuk menambah lagi khazanah lagu Melayu Singapura.

S: Apakah takrif ‘jalan pulang’ yang ingin disampaikan kepada pendengar?

Faizal: Bagi saya, ‘jalan pulang’ melambangkan kembali kepada ketenangan hati, mengenali diri sendiri dan mendekatkan diri kepada yang Maha Esa.

S: Bagaimanakah anda mengaitkan perasaan celaru dalam lagu ini?

Danial: Secara peribadi, lagu Celaru ini membawa makna yang cukup dekat dengan perjalanan hidup saya sendiri. Ia merupakan salah satu single saya selepas saya berehat agak lama daripada bidang muzik atas faktor kesihatan.

Pada awalnya, memang agak sukar untuk saya kembali mengimbangi masa dan tenaga antara proses pemulihan dengan komitmen dalam muzik. Namun begitu, saya amat bersyukur kerana mendapat restu dan pemahaman daripada semua pihak yang terlibat, terutama Abang Faizal, yang banyak memberi ruang dan sokongan kepada saya untuk kembali secara perlahan tanpa sebarang tekanan.

Saya mengambil masa saya sendiri untuk benar-benar bersedia, dan proses itu secara tidak langsung, membantu saya menyampaikan emosi lagu ini dengan lebih jujur dan tulus, kerana apa yang saya nyanyikan datang daripada pengalaman sebenar saya sendiri.

Soalan: Apakah cabaran terbesar pastikan vokal tidak tenggelam dalam susunan muzik padat dan bertenaga?

Amir: Cabaran terbesar saya adalah menyesuaikan suara dengan ‘feel’ lagu dan suara vokalis yang lain. Saya lebih pada R&B, pop dan balada tetapi saya memilih bergandingan dengan Heezran, seorang penyanyi rok yang unik vokalnya.

Di bahagian korus, saya harus menyesuaikan suara saya ikut konsep rok. Penukaran gaya suara itu yang sangat mencabar bagi saya dari segi emosi dan juga suara.

S: Apakah keunikan utama gabungan suara anda berempat dalam lagu ‘Celaru’?

Heezran: Lagu ini sangat unik kerana ia gabungan antara empat penyanyi berbeza genre rok, pop, R&B dan balada. Dari sudut muzik pula, ia merupakan satu eksperimen irama rok dengan unsur moden dan elektronik.

S: Pesanan buat pendengar?

Izhar: Saya berharap mereka yang mendengar lagu ini terhibur dengan suara kami dan juga lagu ini. Selain itu, harapan kami adalah agar mesej lagu ini sampai kepada mereka di luar sana yang sedang kecelaruan dalam hidup, agar teruskan hidup dan tidak putus asa.

Kerana setiap kecelaruan itu pasti ada jalan keluarnya. Percayalah, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah yang terbaik buat kita semua.