Bermula sekadar hobi, pakar teknologi maklumat (IT) dalam bidang pemetaan digital, Shabir Amdan, tidak pernah menyangka minatnya dalam menulis lirik lagu membuka peluang untuk bekerjasama dengan Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah.

Meskipun tanpa pendidikan formal dalam bidang muzik, Shabir, 47 tahun, mengambil pendekatan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi melengkapkan melodi lagu ciptaannya berjudul, Pembuka.

Lagu yang dihasilkan pada Mac itu dihantar kepada penyanyi lagu, Gadis Melayu, kerana Shabir percaya lagu ciptaannya cukup serasi dengan kekuatan dan tona vokal Jamal, 67 tahun.

Keberaniannya ‘melamar’ penyanyi legenda itu akhirnya membuahkan hasil apabila Jamal bersetuju membawakan lagu berkenaan.

“Sebenarnya, saya langsung tidak berniat untuk menghasilkan lagu buat Datuk Jamal Abdillah.

“Saya sekadar mahu menghidupkan semula hobi lama menulis lirik lagu selepas ternampak semula hantaran lama saya di Facebook.

“Ketika di bangku sekolah, saya pernah memenangi Anugerah Lirik Terbaik dalam pertandingan dikir barat peringkat sekolah menengah pada 1997.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah mengikuti pendidikan formal dalam bidang muzik.

“Jadi, untuk menghasilkan lagu Pembuka, saya memanfaatkan AI, khususnya aplikasi Suno, bagi menggubah melodi lagu itu berdasarkan apa yang saya nyanyikan,” kata Shabir, ketika dihubungi Berita Minggu (BM), baru-baru ini.

Meskipun muzik sudah sebati dalam keluarganya, Shabir akur tidak pernah diberi peluang mendalami bidang itu sejak kecil.

“Muzik bukanlah sesuatu yang asing buat saya kerana ia sudah sebati dalam keluarga.

“Arwah datuk saya ialah seorang pemuzik, manakala ayah pula mahir memainkan pelbagai alat tiupan seperti seruling, trompet dan trombon.

“Ayah juga pernah mengetuai sebuah kumpulan muzik yang membuat persembahan di kelab malam dan pernah mengadakan persembahan di beberapa negara, seperti Jerman dan Sweden.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah dibenarkan mempelajari muzik. Dulu, kalau saya pegang trompetnya, memang akan kena marah.

“Mungkin, ayah bimbang saya mengikut jejak langkahnya dalam dunia hiburan malam,” kongsinya lagi.

Menurut Shabir, lagu Pembuka, yang bergenre muzik dunia itu, diilhamkan daripada Surah Al-Fatihah, sebagai usaha mengajak pendengar mendekati serta menghayati makna surah berkenaan.

Ditanya mengenai respons Jamal Abdillah terhadap lagu itu, Shabir teruja apabila karya tersebut bukan sahaja menerima maklum balas positif, malah membuka peluang untuk bekerjasama dengan dua nama besar industri muzik Malaysia, iaitu vokalis kumpulan Gersang, Man Bai, dan pemain papan nada kumpulan Slam, Eddie.

Kehadiran dua tokoh ini membantu memperhalus lagi lagu, Pembuka.

“Pada mulanya, saya hanya menghantar demo lagu itu kepada pembantu peribadi Datuk Jamal iaitu Rahman, sebelum diperdengarkan kepada isterinya, Datin Zai Izzati.

“Selepas Datuk Jamal mendengarnya dan mendapatkan pandangan daripada isteri, pembantu peribadi serta jurutera bunyinya, beliau memberikan persetujuan untuk merakamkan lagu itu.

“Disebabkan ini pengalaman pertama saya menghasilkan lagu, saya kemudian diperkenalkan kepada Man Bai, yang bertindak sebagai penasihat selama proses pembikinan lagu ini.

“Sebaik mendengar demo, beliau menyifatkan lagu tersebut mempunyai potensi, tetapi memerlukan sentuhan manusia kerana melodi yang dihasilkan AI kedengaran kaku.

“Man Bai kemudian memperkenalkan saya kepada Eddie Slam.

“Di studio muzik Man Bai, mereka bersama-sama memperkemas susunan muzik dengan sentuhan pemuzik profesional agar lagu itu tampil lebih bernyawa,” cerita Shabir, yang kini menetap sementara di seberang Tambak atas urusan kerja.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Jamal sudah memulakan sesi rakaman lagu, Pembuka, pada 1 Julai lalu, di studio muzik Man Bai, sekitar Ampang Jaya, Selangor.

Karya itu bakal diterbitkan di bawah syarikat rakaman terkemuka di Malaysia, Luncai Emas Sdn Bhd, milik Datuk M. Nasir.

Di samping itu, peminat tempatan berpeluang mendengarkan lagu itu dipersembahkan secara langsung oleh Jamal pada 11 Julai, bermula 6 petang, sempena majlis pelancaran lagu berkenaan, “Pembuka” Bersama Jamal Abdillah, di dewan acara De Hall, sekitar Tai Seng Centre, 3 Irving Road.

Selain Jamal, acara anjuran syarikat pengurusan acara milik Shabir, UAiMai Pte Ltd, itu turut dimeriahkan dengan penampilan artis tempatan seperti Rifaah Ridzuwanulhakim, Rayhul Firdaus, Rico Setiabudi, Zazleen Zulkafli dan Bo Jenggo.

Sebelum mengakhiri bicara, Shabir menekankan teknologi AI wajar dimanfaatkan secara hemah dalam penciptaan lagu.

Namun begitu, sentuhan insan yang lebih berpengalaman tetap memainkan peranan penting dalam memperhalus hasil akhir sesebuah karya.

“Jangan takut memanfaatkan AI sebagai alat bantu dalam proses menghasilkan lagu.

“Pada masa sama, dapatkanlah pandangan daripada orang terdekat atau mereka yang lebih berpengalaman supaya karya itu dapat diperhalusi dan ditambah baik.

“Paling penting, kita perlu jelas mengapa dan untuk siapa sesuatu karya itu dihasilkan. Jika niatnya baik dan ikhlas, insya-Allah segala urusan akan dipermudahkan,” kata Shabir.

Tiket bagi “Pembuka” Bersama Jamal Abdillah, berharga antara $150 dengan $250, boleh didapati di laman Sistic menerusi https://www.sistic.com.sg/events/jamal0726