Topik diikuti
Pergi ke BHkuSurat ‘tawaran emas’ buat Fadli Kamsani jatuh cinta pada bidang penyiaran
Kini galas tanggungjawab sebagai Ketua Ria 897, ingin ubah tanggapan terhadap radio
Surat ‘tawaran emas’ buat Fadli Kamsani jatuh cinta pada bidang penyiaran
Siapa sangka satu surat ‘tawaran emas’ bakal mengubah perjalanan kerjaya penyiar radio Mediacorp Ria 897, Fadli Kamsani dalam bidang hiburan tempatan.
Selepas menyertai pertandingan adu bakat, Anugerah Skrin 2016, Fadli diberikan kepercayaan untuk membintangi beberapa drama bersiri termasuk Dara Zara dan Mamaku Sayang serta menjadi pengacara bagi beberapa rancangan maklumat seperti Jasa Aktivis dan Misi Wira Bahasa.
Namun, peluang yang diberikan merupakan kerja bebas (freelance) dan beliau perlu mencari pekerjaan lain untuk mendapatkan gaji yang stabil.
Ketika sedang sibuk memikirkan kerjaya apakah yang ingin diteroka selepas penat melakukan beberapa kerja tambahan, Fadli tidak menyangka bakal menerima surat tawaran kerja daripada stesen radio Mediacorp Warna 942 melalui e-mel.
Surat yang beliau gelarkan sebagai ‘tawaran emas’ itu membuat dirinya terkejut sehingga beliau berasa dirinya tidak sesuai untuk menjadi seorang penyiar radio ketika itu.
“Saya hampir menolak tawaran itu tiga kali. Pada mulanya, saya berpendapat saya terlalu muda untuk dikaitkan dengan stesen radio yang mempunyai ramai pendengar berusia.
“Apabila saya hadir untuk temu duga, saya beritahu mereka yang saya perlu mendapatkan pendapat ibu saya dahulu.
“Kali kedua apabila saya dipanggil semula untuk menandatangani dokumen, saya beritahu bahawa saya ingin bawa pulang dokumen itu dahulu.
“Akhir sekali, ibu saya memberikan restu dan beliau turut memberikan kesedaran untuk mencari kerjaya yang stabil,” kongsi Fadli, 33 tahun, kepada Berita Minggu (BM) semasa satu sesi temu bual melalui Zoom.
Apabila memulakan kerjaya di Warna 942 pada 2019, Fadli tidak mempunyai pengalaman langsung dalam bidang penyiaran dan tidak menjangkakan persiapan dan kajian yang perlu dilakukan untuk menjadi seorang penyiar radio.
“Pengalaman saya menjadi pengacara di televisyen amat berbeza dengan apa yang dilakukan oleh seorang penyiar radio.
“Mantan penyiar radio veteran, Suharti Ali, merupakan guru pertama saya. Pada mulanya, beliau meminta saya melakukan penterjemahan berita daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu selama tiga bulan.
“Saya tertanya-tanya kepada diri saya mengapa saya harus lakukan tugasan itu kerana ia amat mencabar namun saya mula mendapat maklum balas daripada beberapa individu yang mengatakan penguasaan bahasa saya semakin baik,” cerita Fadli.
Selain Suharti, Fadli turut bersyukur mendapat panduan dan sokongan daripada dua individu yang rapat dengannya iaitu penyanyi dan penulis skrip, Hyrul Anuar, serta pelakon dan pengacara, Farhana M Noor.
Mereka berdua yang mempunyai pengalaman dalam bidang hiburan membantunya untuk membina asas kukuh dalam bahasa Melayu dan bidang penyampaian.
Galas tanggungjawab baharu
Fadli berpindah ke Ria 897 pada 2021 dan kini diberi kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai ketua bagi stesen radio tersebut sejak 3 Ogos lalu.
Beliau menggantikan penyiar radio mapan, Azlin Ali yang telah berpindah semula ke Warna 942.
Mengimbau kembali, beliau tidak terfikir bakal jatuh cinta dengan bidang penyiaran dan membina kerjaya di radio.
Ditanya apakah visi dan harapannya selepas memikul tanggungjawab baharu itu, Fadli berkata beliau mahu mengubah tanggapan orang ramai terhadap radio.
“Saya ingin menjadikan Ria 897 satu wadah yang dapat mengetengahkan semua perkara yang ‘hip’ (menarik) dan baharu.
“Mungkin ada yang katakan ‘siapa yang masih dengar radio?’ dan saya mahu mengubah tanggapan mereka.
“Justeru saya jadikan itu sebagai satu cabaran dan saya ingin memberi mereka ‘sebab’ untuk mendengar atau menonton kandungan kami.
“Kami kini berada di semua wadah media sosial dan turut mengadakan acara di luar konti,” ujar Fadli.
Menjadi seorang ketua turut bermakna beliau harus memahami keprihatinan penyiar radio yang lain.
Justeru, Fadli berpendapat adalah penting untuk memastikan suasana kerja yang positif dan memastikan segalanya berjalan lancar.
Ia turut bermaksud dirinya dapat dihubungi pada bila-bila masa sahaja.
“Mungkin pendengar tidak tahu tetapi jika ada masalah yang berlaku semasa program awal pagi hingga ke lewat malam, penyiar radio yang bertugas akan menghubungi saya.
“Saya sering bertanya kepada mereka (penyiar radio lain) apakah bantuan yang mereka perlukan. Saya mahu berada di situ untuk mereka kerana mereka seperti ‘anggota tentera’ saya yang mengendalikan segmen berbeza,” ujarnya.
Sokongan keluarga
Ditanya mengenai cabaran melaksanakan tugas sebagai ketua di samping turut mengendalikan segmen Ria Kruz dan Locals Only, Fadli berkata beliau cuba untuk membahagikan masanya dalam sehari dengan baik.
Selain itu, beliau turut bersyukur mendapat sokongan daripada isterinya, Ainin Sofiya, 28 tahun, yang merupakan pengurus syarikat bagi kumpulan tarian, Artistari Gentari.
“Kami berdua saling memahami tugasan masing-masing dan berkongsi jadual agar kami dapat membuat persiapan awal.
“Jika Ainin perlu keluar ke acara tariannya, saya harus berada di rumah bersama anak-anak. Begitu juga apabila saya bertugas, beliau akan berada di rumah,” jelas Fadli yang mempunyai tiga anak berusia antara empat dengan satu tahun.
Ruang bagi pemuzik tempatan
Menyentuh mengenai kejayaan acara Locals Only yang bersiaran secara langsung hampir setiap minggu di kedai minuman Rumifolks yang terletak di 28 Bali Lane, Fadli bersyukur dengan sambutan yang amat memberangsangkan.
“Pada mulanya, Locals Only bermula sebagai satu rancangan yang dilakukan di dalam konti menerusi siaran langsung di TikTok Live.
“Namun, saya terfikir untuk membawanya ke tempat awam agar kami dapat mendekati pendengar.
“Saya bertemu dengan Harris Osman atau lebih dikenali sebagai The Street Therapist di Rumifolks untuk membincangkan tentang idea acara di luar.
“Semasa berbual, saya melihat suasana di Bali Lane itu agak menarik dan ketika itu ada beberapa pelanggan memetik gitar secara santai.
“Kami tiada rancangan untuk mengadakannya di Rumifolks. Secara kebetulan, pemilik kedai itu ada di situ pada malam tersebut dan saya memperkenalkan diri saya.
“Dari situ, terciptalah idea hiburan mingguan secara langsung di lokasi tersebut,” cerita Fadli.
Beliau bersyukur acara itu dapat menyatukan ramai peminat pemuzik tanah air dalam suasana santai sambil menjadi ruang untuk penyanyi tempatan memaparkan bakat mereka.
“Menerusi nyanyian secara langsung yang diiringi pemain keyboard dan gitar, mereka yang hadir dapat menghayati persembahan yang ikhlas daripada bakat tempatan.
“Ia membuktikan bahawa negara ini tidak ketandusan bakat,” tambahnya.