Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syafie Naswip teruja berlakon bersama idolanya dalam ‘Gayong’

May 6, 2025 | 3:12 PM
syafie naswip, gayong, biopik, filem, beto, nabilah huda
Syafie Naswip bakal membintangi filem ‘Gayong’, naskhah biopik berkisar perjalanan awal pengasas seni bela diri Silat Gayong, Allahyarham Meor Abdul Rahman, yang akan ditayangkan pada Khamis ini. - Foto BHONLINE

KUALA LUMPUR: Pelakon berbakat, Syafie Naswip menyifatkan peluang membintangi filem epik sejarah, Gayong sebagai satu impian yang menjadi kenyataan apabila dapat beraksi bersama dua idolanya, Beto Kusyairy dan Nabila Huda.

Syafie, 32 tahun, berkata beliau tidak teragak-agak menerima tawaran walaupun skrip belum siap kerana yakin dengan produksi dan barisan pelakon yang terbabit.

“Pada awalnya, saya pilih untuk terima dan buat sahaja.

“Jadi atau tidak, belakang kira.

“Apabila ditawarkan, saya tanya penerbit siapa pengarahnya? Saya dimaklumkan Faisal Ishak.

“Selepas itu, saya diberitahu pelakon yang terbabit pula Beto, Nabila dan Yayan Ruhian.

“Saya terus setuju walaupun skrip belum dapat,” kata Syafie.

“Selalunya saya akan tengok skrip.

“Tapi, kali ini saya setuju terima tanpa tengok skrip sebab masih dalam proses pembikinan,” tambahnya, yang ditemui pada malam gala dan tayangan perdana filem Gayong di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemenang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-25 itu berkata beliau tetap mahu menyahut cabaran dengan penuh semangat, meskipun genre epik dan aksi bukan kebiasaan baginya.

“Saya rasa gemuruh apabila ditawarkan berlakon filem epik.

“Saya tak pernah berlakon cerita epik.

“Saya juga jarang berlakon cerita yang membabitkan aksi pertarungan.

“Tapi, apabila ditawarkan berlakon dengan Beto yang memang orang kata ada asas silat dan sebagainya, saya jadi tak gemuruh.

“Saya mahu sahut cabaran sebab saya jenis pantang dicabar,” katanya.

Dalam filem Gayong, Syafie memegang watak Mat, iaitu individu yang setia berada di sisi watak utama, Allahyarham Meor Abdul Rahman lakonan Beto.

Katanya, karakter itu berperanan penting sebagai penyokong emosi watak utama.

“Watak Mat menjadi orang yang sentiasa setia di sisi Meor Abdul Rahman. Saya seronok berlakon filem ini.

“Setiap masa, ada sahaja babak dengan Beto.

“Untuk babak aksi, kalau ada lebam sikit-sikit itu normal,” ujar Syafie.

Mengulas cabaran di set penggambaran, Syafie berkata babak aksi sememangnya memerlukan ketahanan fizikal, namun keselamatan semua pihak tetap diutamakan.

Gayong iaitu naskhah biopik berkisar perjalanan awal pengasas seni bela diri Silat Gayong, Allahyarham Meor Abdul Rahman akan ditayangkan pada Khamis ini.

Turut terbabit, aktor Thailand, Chevanon Phukaokaew.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg