Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarif raih inspirasi bawa watak Ustaz Dayyan dari tonton video nasihat pempengaruh

Oct 5, 2025 | 5:30 AM
Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah, Syarif,
Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah, atau Syarif, tertarik dengan watak Ustaz Dayyan Yahya, yang dibawanya dalam drama ‘Keranamu Khadijah’, sebab pempengaruh dakwah ini melalui pasang surut emosi berurusan dengan bapa yang jauh dari agama serta wanita yang dirosakkan kehidupannya oleh kekasihnya yang kejam. - Foto POETRY IN MOTION

Video dengan kandungan isu keagamaan dan kerohanian yang disajikan pempengaruh muda Singapura, Don Jany, atau nama sebenarnya, Muhammad Noor Tijany Nezam, menjadi rujukan pelakon, penyanyi dan usahawan, Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah.

Inilah antara persiapan yang beliau lakukan bagi menghidupkan watak pendakwah pempengaruh, Ustaz Dayyan Yahya, dalam drama 13 episod, Keranamu Khadijah, yang masih ke udara di saluran Mediacorp Suria hingga 9 Oktober ini dan terus disajikan di aplikasi mewatch.

Kerana tarikan pelbagai dimensi kehidupan watak Ustaz Dayyan yang berdepan dengan kesulitan berkomunikasi dengan bapanya dan guru agama yang lebih mapan dan agak jaki dengan kaedah baru berdakwah di dalam talian, Ahmad Syarifullah, yang lebih mesra dengan nama pentas, Syarif, 36 tahun, langsung menerima lamaran menjayakan drama terbitan Poetry In Motion, tanpa teragak-agak.

Di sebalik kesibukannya mengendalikan perniagaan manisan dan pencuci mulut ‘churros’, Chulop! di Singapura dan Malaysia, beliau yang suatu ketika terkenal sebagai sebahagian daripada duo Sleeq (bersama komposer dan ‘rapper’, Alyph), enggan melepaskan peluang berlakon dengan teman-teman lamanya, Fir Rahman dan Farhana M. Noor.

Sekali gus, peluang keemasan ini direbut bapa dua anak itu sebagai mengubati kerinduannya pada bidang lakonan.

Titik tolak yang membuatkannya rasa puas kembali berlakon semula selepas empat tahun tidak berbuat demikian adalah lamaran Poetry In Motion untuknya menggalas peranan utama dalam telefilem Hari Raya Haji 2024, Bisikan Syahdu, sambil mengerjakan umrah.

Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), Syarif berkata: “Saya sebenarnya tertarik dengan drama Keranamu Khadijah ini kerana peranan saya adalah sebagai ustaz muda yang moden dan aktif di media sosial.

“Apa yang saya pelajari daripada membawa watak ini ialah ustaz pun manusia biasa dan tidak lari daripada kelemahan dan cabaran peribadi.

“Ada banyak plot sampingan dalam drama ini, dengan watak Dayyan pun mempunyai pelbagai lapisan dalam kehidupannya yang mempunyai misteri tersendiri.

“Inilah penglibatan saya dalam siri drama selepas enam tahun tidak berbuat demikian.”

Ustaz Dayyan mengharungi kehidupan yang mencabar dalam menangani ayahnya sendiri yang bagaikan hilang arah dan semakin jauh daripada agama selepas berkahwin dengan seorang wanita muda yang mempunyai kehidupan bebas dan banyak menghabiskan masa di kelab malam.

“Antara persoalan yang perlu Ustaz Dayyan tangani adalah bagaimana mengekalkan keimanan sebagai ustaz dan pada masa yang sama, perlu bersikap tegas kepada bapanya dalam perihal agama.

“Bagaimana nak bawa diri dalam keadaan sedemikian di samping menyampaikan perasaan resah dan bimbang seorang anak terhadap ayahnya tanpa bersikap kurang ajar?

“Ada banyak pasang surut emosi bagi watak Ustaz Dayyan yang dicabar kesabarannya. Saya akur semakin seseorang berusaha memperkukuh imannya dan menjadi insan lebih baik, Allah akan datangkan lebih banyak ujian untuknya,” cerita Syarif.

Jalan cerita drama ini juga semakin menebal dengan kehadiran wanita bernama Khadijah (lakonan Farhana) yang dijerat kekasihnya, Ashraf (Fir), yang sanggup merosakkan kehidupannya tanpa belas ihsan.

“Saya amat seronok berlakon dengan Farhana dan Fir yang banyak memberi dari segi tenaga dan emosi bagi saya bawakan watak Ustaz Dayyan dengan lebih yakin dan berkesan.

“Bekerja dengan kawan sendiri yang memang gila-gila buat saya terasa ibarat tidak dibebani tugas. Rindu sangat dengan mereka.

“Mereka berdua adalah pelakon profesional dan tahu bila nak berseronok dan bila nak tampil serius dan profesional. Misalnya, ada babak bertelagah dengan Fir. Kami berdua memang tak rasa tertekan sebab Fir cekap mewujudkan emosi yang sesuai untuk saya berikan tindak balas pada gerak-gerinya.

“Dengan Farhana pula, ada babak sebak dengan tangisan. Kami saling membantu. Beliau memang rakan gandingan yang hebat, yang tahu bagaimana nak wujudkan adegan yang akan menyentuh jiwa dan ‘sampai’ ke hati saya sebagai pelakon gandingan dan juga penonton,” jelas Syarif sambil memuji rakan seninya.

Menurutnya, ada banyak perihal yang tersirat dan tidak diluahkan dalam dialog, yang mereka bertiga secara bersama terokai bagi mewujudkan lakonan yang berkesan.

Apakah pula persoalan yang boleh dihadam penonton apabila menonton Keranamu Khadijah?

“Saya rasa ada banyak perkara bernas yang penonton boleh renungkan. Antaranya, adalah tentang sikap fanatik orang ramai yang mengikuti sesi dakwah seseorang penceramah dan juga perasaan bangga seorang guru agama, seakan-akan dirinya serba tahu.

“Perkara ini berlaku di alam nyata. Tidak semestinya seseorang itu berpengalaman dalam lapangan agama, maka dia boleh sewenang-wenangnya memandang rendah pada asatizah lain atau pempengaruh dengan kandungan video berunsurkan dakwah, misalnya.

“Bagi saya, Keranamu Khadijah mengupas isu sebenar yang berlaku di alam nyata. Ia bukan mengetengahkan jalan cerita yang direka, dibuat-buat atau palsu.

“Ada percanggahan pendapat antara generasi asatizah mapan yang bersandarkan penyampaian tradisional dengan generasi asatizah muda yang meneroka kaedah baru dalam talian.

“Sewajarnya, ada perkongsian yang sihat dan golongan asatizah muda ini dapat diterima baik oleh pendidik generasi lama,” kata Syarif lagi.

Apakah pula watak lain yang ingin dibawanya dalam drama ini jika ada peluang bertukar watak?

“Saya anggap watak ayah saya, yang dibawakan Abang Jasmani Basri, seorang pelakon veteran, unik dan menarik. Nak juga rasa pengalaman bawa watak sepertinya.

“Hairan apa yang bermain di minda beliau sampai sanggup tinggalkan anak sendiri untuk tempoh yang lama dan menganggap duit dan harta benda adalah segala-galanya. Apakah dengan memberi si anak duit sahaja, ia akan menutup mulut si anak tentang kesilapan bapanya itu?

“Memang watak ayah Ustaz Dayyan ini merupakan orang berada tetapi ada banyak episod yang mengupas trauma yang dirasakan,” tambah Syarif, yang mendapat beberapa tawaran berlakon tetapi enggan terburu-buru menerimanya kerana harus utamakan masa untuk perniagaannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg