Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Farhana kenang kisah perit perah jiwa gara-gara drama ‘Keranamu Khadijah’

Di sebalik tekanan bawa watak berat, pelakon ‘Bunga Tanjong’ sahut cabaran galas peranan wanita ‘mangsa keadaan’
Sep 17, 2025 | 5:30 AM
Farhana M. Noor, Suria, Poetry In Motion, drama keluarga, Keranamu Khadijah
Farhana M. Noor dibelenggu kerisauan, pada awalnya, apabila dilamar membawa watak utama sebagai Khadijah yang terjerat dalam hubungan cinta yang mendera emosi dan minda, dalam drama terkini, ‘Keranamu Khadijah’. - Foto POETRY IN MOTION

Apabila sudah bertahun lamanya tidak diberi watak utama dalam sesebuah drama televisyen yang serius selepas melahirkan anak pertamanya, pelakon Singapura, Farhana M. Noor, dibelenggu rasa bimbang dan takut.

Soalan yang bermain di fikiran Farhana, 34 tahun, adalah: “Bolehkah aku bawa watak berat yang melalui pasang surut emosi dan dicabar kesejahteraan minda, perasaan dan daya fizikalnya?”

Ibu dua anak berusia empat tahun dan setahun ini sulit memikirkan bagaimana keadaannya sewaktu awal-awal dilamar bagi drama terbaru Mediacorp Suria terbitan Poetry In Motion, Keranamu Khadijah.

Drama arahan Faisal Ishak dan Izzat Yusoff, yang dijayakan Fir Rahman, Syarif, Hashimah Hamidon, Junaidi Sali, Sani Hussin, Shenty Feliziana, Azman Shariff, Jasmani Basri dan pelakon asal Malaysia, Sasqia Dahuri ini, akan menemui penonton di Suria dan aplikasi mewatch pada 9.30 malam, mulai 18 September ini.

Ia akan disiarkan dari Isnin hingga Khamis.

Farhana, yang sebelum ini, dikenali sebagai bintang utama siri drama tentang perempuan joget era 1950-an, Bunga Tanjong, membawa watak Khadijah, yang dibesarkan dalam keluarga yang tegas dengan keagamaan tetapi dalam diam memberontak.

Dia bekerja dengan teman lelakinya, Ashraf (lakonan Fir), yang terlibat dalam pelbagai usaha niaga tidak baik dan mencurigakan, bahkan, mempunyai sikap yang tidak berihsan sehingga merosakkan kehidupan Khadijah.

Khadijah juga terperangkap antara kebebasan dengan nilai keluarganya yang tegas.

Cintanya diuji oleh pengkhianatan dan sebuah rahsia yang menghancurkan kepercayaan keluarganya.

Hatinya pula berbolak-balik antara kesetiaan dengan kepentingan diri. Rasa dendam mengancam untuk memusnahkan semuanya.

Hanya masa akan menentukan jika pengorbanan Khadijah akan membuka jalan untuk kemaafan dan beri peluang kedua buat keluarganya.

Menurut penerbit Poetry In Motion, Nusaibah Abdul Rahim, pihaknya terdorong menghasilkan Keranamu Khadijah, apabila melihat wujudnya drama Malaysia dengan sisipan unsur agama seperti Nur, dengan watak ustaz muda, menarik minat ramai.

Tambahan pula, dalam zaman sekarang, muncul ramai ustaz berstatus pempengaruh yang memainkan peranan aktif berdakwah dalam talian.

Justeru, drama ini ingin menggambarkan unsur relevan dan seiring dengan perkembangan semasa yang ketara di media sosial.

Dalam Keranamu Khadijah, yang naskhahnya ditulis Umie Isa, peranan ustaz pempengaruh, Ustaz Dayyan Yahya, yang menjadi suami Khadijah kelak digalas oleh Syarif.

“Pemilihan Farhana pula bersandarkan imej dalam pemikiran kami bahawa beliau berbakat membawa dua watak, protagonis dan antagonis, dengan berkesan.

“Ini juga merupakan kali pertama kami berpeluang bekerjasama dengannya dan akur akan kebolehannya dan komitmen yang diberikan dalam menghidupkan watak berat ini,” kata Nusaibah.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH) menerusi Zoom, Farhana, yang pernah disampaikan dengan Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Harapan Terbaik untuk drama muzikal, Rima Hatiku, pada awal kerjayanya, lebih sedekad lalu, berkata:

“Sebenarnya, apabila Ana dapat peranan ini, Ana rasa takut.

“Sebab, dah lama tak bawa peranan utama setelah melahirkan anak pertama hampir lima tahun lalu.

“Kemudian, macam dah selalu ‘main-main’ dalam drama komedi atau ringan sebagai watak pembantu seperti dalam drama Kahwin Satu Keluarga. Asyik watak santai-santai sahaja.

“Justeru, di sebalik rasa gementar ini, saya bersyukur Kak Ibah dari Poetry In Motion memberikan saya peluang bekerjasama dengan mereka buat kali pertama.

“Watak Khadijah memang menguji kemahiran lakonan saya dan juga daya tahan saya dalam membawa watak yang didera secara emosi dan minda mahupun fizikal, serta terdesak berubah dari seorang yang baik-baik sahaja kepada yang memberontak dan mampu melakukan perkara yang tidak disangka ramai,

“Ada sebab mengapa Khadijah tiba-tiba jadi antagonis.”

Lebih daripada setakat membawakan watak mencabar, Farhana terusik dengan beberapa pengalaman Khadijah yang mengingatkannya tentang hubungan silam dengan pasangan kekasih yang mendera emosi dan kesejahteraan mindanya.

“Persoalan dalam drama ini memang berat sampaikan saya terbawa-bawa dengan beberapa adegan yang Khadijah lalui.

“Saya terimbas kembali pengalaman peribadi yang menyakiti perasaan dan buat saya menangis tak henti, sampaikan ruam kulit boleh timbul balik sebab stres!” katanya.

Menurut Farhana, sewaktu zaman bujangnya, beliau pernah dalam satu perhubungan yang lebih mencerut jiwa raganya daripada membahagiakan dan kadangkala tertanya-tanya mengapa tidak tinggalkan sahaja jalinan kasih yang lebih memerah tenaga ini serta memenatkan?

“Dalam saya bawa watak Khadijah, kadangkala tertanya-tanya apakah patut seorang wanita terus mengikuti gerak si lelaki yang dikasihi walaupun ia menjadi satu bebanan jiwa yang menyedihkan dan membingitkan?

“Mengapa jadi bodoh sangat untuk terus terikat dengan lelaki sebegini? Semuanya kerana sayang.

“Saya banyak belajar bahawa tiada manfaatnya untuk menyeksa diri kalau hati sebenarnya tak bahagia tetapi ingin memperjuangkan cinta yang menjenuhkan dan memerah tenaga.

“Drama ini menyorot kisah wanita dalam pelbagai fasa kehidupan – bagaimana mereka menangani hidup dan kisah cinta mereka? Itulah yang bagi saya menarik sebab penonton pasti boleh kaitkan diri mereka dengan watak sebegini.

“Apabila saya kasihankan diri Khadijah, saya macam kasihankan diri saya yang lama,” jelasnya.

Di sebalik segala tekanan, Farhana amat bersyukur diberi rakan pelakon yang sudah biasa bergandingan dengannya seperti Fir dan Syarif.

“Dalam keadaan stres, saya seronok bertemu dengan kawan lama yang akan memberi tenaga yang sama atau menjadikan kerja lakonan cukup menarik kerana kami saling belajar daripada satu sama lain.

“Saya sudah 10 tahun tidak bergandingan dengan Syarif. Kali terakhir menerusi drama Belah Hati.

“Sekarang, kami berdua dah jadi ibu dan ayah kepada anak-anak kami masing-masing. Tentunya sudah lebih matang apabila diberi watak-watak berat. Tak macam dulu, masih budak-budak,” jelas Farhana.

Dalam pada itu, Farhana juga gembira dapat bekerjasama dengan pelakon remaja Sindrom Down, Siti Nairah Farid.

“Saya anggap Nairah biasa sahaja macam pelakon muda lain. Walaupun kali pertama beliau berlakon, beliau tak rasa kekok dan lama-kelamaan suka pula bergaul dengan kami dan ajak kami buat video TikTok dengannya. Kami memang macam abang kakaknya sendiri!

“Cuma mungkin dari segi pertuturannya. Kadangkala kami cuba fikirkan apa yang ingin Nairah sampaikan. Bagaimanapun, ia pengalaman menarik. Seronok bekerjasama dengannya,” kata Farhana lagi, yang menghargai peluang berkongsi set dengan pelakon hebat seperti Sani, Shenty dan Hashimah.

Kalau diberi peluang bawa watak lain yang wujud dalam naskhah Keranamu Khadijah, siapakah pilihan Farhana?

“Saya nak jadi watak Ashraf. Sebab saya dah biasa bawa watak didera minda dan jiwa raganya. Nak juga rasa bagaimana jadi antagonis yang menyeksa hidup orang lain.

“Kalau kita bawa watak sejahat-jahatnya manusia, macam-macam sebenarnya boleh kita buat.

“Saya pun idamkan watak doktor dalam drama perubatan,” katanya lagi.

Nota: Keranamu Khadijah disiarkan di saluran Mediacorp Suria dan aplikasi mewatch pada 9.30 malam, mulai 18 September ini. Ia disiarkan setiap Isnin hingga Khamis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg