Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tak senang duduk diam, komposer dan bos kedai gunting, Yanto Sani, terbit podcast

Jun 9, 2025 | 5:30 AM
Yanto Sani, Gina Khazali
Yanto Sani (kiri) teruja menerbitkan dan menyunting podcast ‘Hey Korangz’, yang menampilkan isterinya, Gina Khazali, sebagai salah seorang pengacara, yang membincangkan isu yang buat ramai tertanya-tanya seperti dating dengan rakan sekerja, kehidupan selepas kematian dan pembuangan saka. - Foto INSTAGRAM YANTO SANI

Sektor kreatif pesat membangun dalam era kecerdasan buatan (AI) diterapkan dalam apa jua kerja seni.

Lebih ramai anak seni pula enggan terikat pada satu pekerjaan dan lebih selesa mengemudi pelbagai kerjaya walaupun setiap satu berbeza bagai langit dengan bumi.

Lantaran itu, daripada membiarkan masa berlalu dengan melepak, lebih baik masa berharga dilaburkan bagi projek seni yang membawa manfaat kepada masyarakat.

Demikian pegangan komposer, pemuzik, usahawan kedai gunting, The Golden Rule Barber Co, yang juga peniaga pakaian jenama Behind The Sun, Yanto Sani, 42 tahun.

Yanto, atau nama sebenarnya, Aryan Siswanto Kamsani, kini teruja pula menjadi penerbit dan penyunting podcast, Hey Korangz, yang mula mendapat tempat di hati ramai.

Podcast kendalian isteri Yanto, Gina Khazali, dan rakan pengacaranya, Nurul Ashiqin, membongkar banyak isu realiti yang bermain di fikiran atau tidak pernah diselongkar secara mendalam seperti pembuangan saka, apa yang berlaku sesudah kematian, dan keluar dating dengan rakan sepejabat.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Yanto, yang juga juara peraduan realiti Mediacorp Suria, Juara Lagu, dalam usaha mencari bakat komposer, berkata:

“Saya seronok mengendalikan beberapa penerbitan podcast.

“Yang penting bagi memastikan siaran podcast yang berjaya dan berkekalan ialah keupayaan berbual lancar dan kupasan topik ‘podcaster’ itu sendiri.

“‘Podcaster’ ini harus mempunyai daya tarikan faktor X. Dia harus utarakan topik berani untuk dibincangkan.

“Saya sebagai penyunting pula perlu hasilkan banyak ‘reel’ (video pendek) untuk mempromosikan sesuatu episod podcast dan bagi menarik perhatian orang ramai agar mengikuti sepenuhnya siaran podcast itu.

“Orang akan tertarik nak tahu lebih lanjut mengenai sesuatu isu yang dibincangkan. Maka, ‘reel’ itu adalah senjata rahsia podcast.

“Lagi banyak ‘reel’ yang boleh buat orang rasa ingin tahu atau macam kena-mengena dengan hidup mereka, lebih tertarik untuk mereka mendengar siaran podcast berkenaan.”

Yanto yang kadangkala hairan bagaimana beliau boleh mengendalikan banyak perkara dan tak boleh duduk diam, menasihati anak muda era digital agar berani melakukan pelbagai tugas pada satu masa.

“Nak melabur masa, buatlah benda elok-elok. Kurangkan melepak.

“Semasa mudalah masa untuk anda cuba sesuatu sampai berjaya. Kalau gagal dan tak menjadi, seperti kebanyakan masanya, jangan khuatir. Buat sampai jadi.

“Apabila kita buat salah, kita akan belajar daripada pengalaman itu dan menjadi semakin matang. Lama-lama, kita dah dapat formula jayanya,” tambah beliau.

Beliau enggan melihat anak muda yang berbakat mudah berpuas hati dengan sesuatu kejayaan.

“Kita harus sentiasa pertingkatkan diri dan produk kita. Saya sudah kendalikan kedai gunting, The Golden Rule Barber Co, selama 11 tahun.

“Sepanjang tempoh itu, saya harus fikirkan bagaimana nak kekalkan perniagaan ini di tengah-tengah saingan sengit. Bagaimana nak bayar sewa kedai dan gaji pekerja?

“Selepas mengendalikan kedai gunting di Race Course Road, Jurong dan Bedok, saya akan buka kedai gunting baru di Arab Street, tahun ini (2025),” ceritanya tentang usaha memajukan perniagaannya itu.

Baginya, mengendalikan kedai gunting atau mengusahakan jenama pakaian, sama seperti mencipta muzik, sebab kesemuanya memerlukan kesenian.

Namun, cinta hati Yanto tetap pada muzik, yang memberinya nikmat meluahkan apa yang terbuku di hati dan fikiran – perkara yang selama ini dipendam.

Beliau turut berpendapat pemuzik tidak harus mengetepikan kegunaan AI dalam menambah baik karya yang dihasilkan.

Bagi Pesta Perdana 2025 pada 24 Mei di Teater Mediacorp, dua karya Yanto, Belaian (telefilem Hari Ayah, Belaian), dan Rantai Emosi (Bingit Musim Kelima), dicalonkan bagi kategori ‘Lagu Tema Terbaik’.

Walaupun tewas di tangan Mayuni Omar, yang menghasilkan lagu tema telefilem, Mencari Hajar, Setitis Harapan, Yanto bersyukur menerima dua pencalonan kali ini.

“Kededua lagu ini, anehnya, mempunyai tema serupa tentang kesihatan mental.

“Satu lagu ialah dalam memupuk kesedaran ramai mengenai kesihatan mental, manakala yang satu khusus menjurus pada situasi ayah, suami atau lelaki yang tertekan.

“Tak pernah pun dapat lagu cinta untuk dicipta!” selorohnya.

Bagi Yanto, ilham untuk kededua lagu itu datang daripada penjelasan pengarah dan penulis naskhah telefilem atau drama.

“Saya kira isu mental ini giat dibincangkan dalam masyarakat kita sejak akhir-akhir ini.

“Ada kenalan yang kemurungan, dilanda panik, dan saya sendiri pernah lalui tempoh serba resah.

“Melalui lagu ini dan lirik yang disisipkan, kita dapat benar-benar rasakan apa itu erti gangguan mental dan mengapa kesejahteraan minda itu amat diperlukan,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg