Budaya tarian di Indonesia kaya dengan kepelbagaian adat dan tradisi, serta sering membawa isu unik yang mencerminkan setiap wilayah dan pergolakan politik.
Penonton di Singapura berpeluang menyaksikan pementasan, Jarum dalam Jerami, pada 2 dan 3 Mei sempena Pesta Raya 2025.
Ia merupakan karya koreografer kontemporari Indonesia, Hartati, 59 tahun, yang telah berkecimpung dalam bidang tarian sejak 1986.
Persembahan itu akan diadakan dalam dua set persembahan di Teater Studio, Esplanade, bermula 8 malam.
Pementasan Jarum dalam Jerami adalah renungan kritikal Hartati terhadap perubahan lanskap sosial Indonesia sejak dua dekad lalu, merangkumi tempoh dari 2005 hingga kini.
Lebih istimewa lagi, tarian itu hanya dipersembahkan semasa musim menuai.
Menurut Hartati, karya tersebut bukan sekadar penghormatan kepada mentornya, Gusmiati Suid, yang terkenal dengan karya tarian kontemporari, Api Dalam Sekam, pada 1997, malah sebuah karya yang mengetengahkan suasana politik yang bergejolak pada era akhir pemerintahan Orde Baru di bawah mantan Presiden Suharto.
Ia juga merupakan respons kreatif terhadap isu berhubung sumber makanan, khususnya padi, di Indonesia.
Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 30 April, Hartati berkata:
“Karya ini dipersembahkan buat kali pertama di Alek Mandeh Festival Budaya Matrilineal 2022 di Sumatera Barat, Indonesia.
“Ia memang ditujukan sebagai bentuk respons kepada karya kontemporari jurutari, Gusmiati Suid, berjudul Api Dalam Sekam.
“Melalui Jarum dalam Jerami, saya menggambarkan suasana politik yang ada kaitannya dengan budaya ‘pangan’ atau makanan.”
Beliau yang berasal dari Jakarta dan membesar di Sumatera Barat berkata budaya pertanian di Minangkabau sangat berkait rapat dengan tradisi matrilineal, yang menyaksikan kaum wanita memainkan peranan utama dalam pengelolaan sawah padi.
Matrilineal merujuk kepada hubungan kekeluargaan menerusi garis keturunan sebelah perempuan atau sebelah ibu.
“Secara tidak langsung, jerami yang digunakan dalam tarian ini adalah simbol kepada budaya pertanian, sekali gus sumber makanan ruji (makanan asas) iaitu nasi, yang menjadi kegelisahan pemerintah.
“Ini kerana keadaan sawah yang semakin berkurang di Indonesia, sehingga hari ini.
“Selain itu, menyentuh tentang politik yang saya maksudkan adalah, Reformasi memberikan semua rakyat Indonesia kebebasan untuk berbicara dan bertindak apa pun itu.
“Dalam keadaan seperti ini, yang sebenarnya ingin saya sampaikan adalah sebaliknya.
“Kita justeru harus lebih berhati-hati dalam berbicara, bertindak dan memperhatikan keadaan politik Indonesia yang kurang stabil,” tambah Hartati.
Seperti pepatah, mencari jarum dalam jerami, Hartati mengalihkan tumpuan kepada ketelitian memandang butiran kecil yang sering terlepas pandang, lebih-lebih lagi dalam dunia yang sibuk dengan kemajuan.
Melalui gerak tarian yang rumit, Hartati menangkap ketegangan antara yang nyata dengan tidak terungkap, mengajak penonton untuk mempertimbangkan semula kehadiran hal-hal yang tidak terlihat sebaik hiruk-pikuk reda.
Menampilkan sembilan penari dari Jakarta dan Padang Panjang, Sumatera Barat, mereka perlu mengimbangi jerami sebanyak 200 kilogram.
Jerami tersebut disediakan oleh pihak Esplanade dan diimport dari Tanjung Karang, Selangor, hasil pencarian selama enam minggu demi pementasan tersebut.
“Jerami yang menyerupai rumput kering yang panjang terlalu berdebu dan tidak mempunyai tekstur yang diperlukan.
“Dengan menggunakan jerami padi, pergerakan kaki tentu perlu lebih bertenaga,” jelas Hartati.
Ketika dihubungi BH, Hartati memaklumkan bahawa penari yang terlibat masih berlatih untuk mengimbangi jerami dari Tanjung Karang, yang jelas berbeza daripada jerami yang tersedia di Indonesia.
Bagi Hartati, padi adalah simbol kehidupan dan makanan ruji di banyak budaya Asia, sesuatu yang penting tetapi kerap diabaikan.
Melalui karya ini, beliau berharap penonton di Singapura dapat menghargai usaha jerih payah petani yang mengusahakan tanah, membawa ilmu warisan serta mengingatkan kehidupan seharian yang dibina di atas kebersamaan dan kebijaksanaan nenek moyang.
“Apa yang ingin saya sampaikan kepada penonton Singapura ialah satu ajakan untuk menelusuri hubungan alam dan budaya yang membentuk kita.
“Sebagai orang Asia, tradisi kita bukan sahaja dari segi warisan bahkan juga kekuatan yang menyatukan kita,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg