Suara merdu Cik Surayah Akbar bergema menyanyikan Fanaq, lagu pertama kumpulan rok ‘indie’ Kraton yang dianggotainya, sambil diiringi irama ukulele yang dipetik suaminya, Encik Jufri Salim.
Di dalam arena muzik tanah air, pasangan ini lebih dikenali sebagai pemuzik dan menguruskan syarikat penerbitan muzik, Kraton Music Publishing & Arts.
Bagaimanapun, di luar kerjaya sepenuh masa mereka, kededuanya adalah calon Parti Demokratik Singapura (SDP) yang kini sibuk berkempen bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Mereka, bagaimanapun, telah menjadi aktivis SDP sejak 2006.
Setelah lama menyimpan hasrat menceburi bidang politik, kededuanya yang berusia 42 tahun kini berupaya mengejar laluan tersebut apabila tiga anak mereka yang berusia antara 19 dengan 24 tahun, telah dewasa dan lebih berdikari.
“Mungkin sebab sewaktu kami sertai SDP, anak-anak kami, terutamanya anak bongsu saya berumur sekitar enam atau tujuh bulan. Ternyata, tumpuan utama adalah pada keluarga, dengan anak-anak yang masih di sekolah.
“Jadi, apabila mereka sudah dewasa dan lebih berdikari, kami rasa masanya sudah sampai agar kami boleh fokus 100 peratus pada kempen GE2025 dan kami bersedia untuk memberi sepenuh hati,” ujar Cik Surayah ketika ditemui Berita Harian (BH) di ibu pejabat SDP di Bukit Batok Crescent.
Beliau pernah beberapa kali ditawarkan menjadi calon pilihan raya sejak 2011 tetapi menangguhkannya kerana ketika itu, tumpuannya masih pada keluarga dan ibu bapanya.
Lantas kali ini, mereka lebih bersedia bertanding dalam GE2025 sebagai calon baru SDP, sekali gus membuka tirai pembabitan politik mereka secara lebih serius.
Namun, laluan di hadapan mereka bukan mudah kerana mereka berdepan dengan barisan calon mapan.
Bagi Encik Jufri, beliau dan pasukannya akan bersaing dengan barisan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung PAP, Encik Lawrence Wong, di GRC Marsiling-Yew Tee.
Sementara itu, Cik Surayah bersama pasukannya akan berdepan pasukan PAP yang diterajui Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, serta pasukan Parti Perpaduan Nasional (NSP) dalam pertembungan tiga penjuru di GRC Sembawang.
Encik Jufri peka dengan apa yang dilalui golongan yang berada dalam generasi terapit (sandwich generation), yang memikul tanggungjawab membesarkan anak-anak sambil menampung kos perubatan serta penjagaan ibu bapa.
Beliau merujuk kepada kriteria had pendapatan yang wujud dalam beberapa skim bantuan, yang boleh menjadikan pemohon tidak layak untuk mendapatkan bantuan kewangan tersebut.
“Sekurang-kurangnya untuk beberapa kes tertentu, kriteria pendapatan isi rumah per kapita digunakan dalam memastikan bantuan itu tepat bagi mereka yang memerlukan.
“Kita tidak sepatutnya menetapkan (kriteria) had pendapatan yang terlalu ketat.
“Jadi, saya rasa perkara ini perlu dikaji dan diperbaiki,” ujar beliau.
Bagi Cik Surayah, beliau ingin mengusulkan pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi barang keperluan harian dan akses perbandaran yang lebih baik seperti jambatan bertingkat yang dilengkapi dengan lif.
“Kami rasa itu adalah keperluan bagi golongan warga emas, ibu bapa yang mempunyai anak kecil, dan juga orang kurang upaya.
“Kos sara hidup adalah isu utama, kerana ia merangkumi semua golongan, tak kira usia.
“Kami berharap untuk mengurangkan GST daripada 9 peratus kepada peratus dan juga menghapuskan GST untuk keperluan asas seperti susu bayi, kerana susu bayi sekarang sangat mahal,” ujarnya.
Ternyata, sokongan ketiga-tiga anak mereka, Encik Rahmat Damansari Muhammad Jufri, 24 tahun; Encik Muhammad Ilham Muhammad Jufri, 22 tahun; dan Cik Laila Mishazira Muhammad Jufri, 19 tahun; menjadi pembakar semangat dalam keputusan mereka melangkah bertanding dalam pilihan raya.
“Kami berbincang dengan anak-anak kami dan mereka memberi jaminan bahawa kami tidak perlu risau tentang mereka.
“Dengan itu, kita rasa lebih yakin dan bersemangat untuk memasuki arena politik,” ujar Encik Jufri.
“
“Mungkin sebab sewaktu kami sertai SDP (Parti Demokratik Singapura), anak-anak kami, terutamanya anak bongsu saya berumur sekitar enam atau tujuh bulan. Ternyata, tumpuan utama adalah pada keluarga, dengan anak-anak yang masih di sekolah. Jadi, apabila mereka sudah dewasa dan lebih berdikari, kami rasa masanya sudah sampai agar kami boleh fokus 100 peratus pada kempen GE2025 (Pilihan Raya Umum 2025) dan kami bersedia untuk memberi sepenuh hati.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg