Kehadiran diva Indonesia, Kris Dayanti, sebagai rakan duetnya di pentas akhir Gegar Vaganza 11 (GV11), amat dinanti-nanti juara peraduan tersebut, Liza Aziz.
Liza, 61 tahun, memberitahu media seberang, beliau amat menanti-nantikan peluang berkongsi pentas dengan Kris, 49 tahun, sebab amat menggemari semua lagu yang dihasilkan pelantun lagu ‘berhantu’, Menghitung Hari, itu.
“Kris idola saya. Apabila beliau melahirkan kesudian menyanyi bersama saya, pastinya saya rasa terharu dan berbesar hati,” jelasnya.
Bagaimanapun, di sebalik rasa kagum Liza pada ibu empat anak itu, Kris juga amat menghormati bintang veteran seperti Liza yang lebih dahulu makan garam dan terlibat dalam bidang seni lebih awal daripadanya.
“Saya malahan rasakan Kak Liza berpotensi besar untuk bergelar juara.
“Ini tidak dinafikan lagi sebab pengalamannya sebagai bintang senior yang mempunyai suara mantap lagi mampu melontar suara pada nada tinggi.
“Saya juga dengar beliau datang daripada keluarga seni. Ibu bapanya (Aziz Jaafar dan Normadiah) juga penyanyi dan pelakon.
“Maka, sudah pasti darah seni itu mengalir dalam dirinya.
“Saya yang sepatutnya mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya kerana sudi nyanyi bersama saya dan pihak Astro kerana mengundang saya untuk sama-sama menyemarakkan lagi peringkat akhir GV11 ini, satu peraduan yang sudah ada nama dan dikenali ramai,” ujar Kris sewaktu diwawancara wakil daripada Kelab Peminat Liza Aziz dalam video yang dimuatnaikkan ke akaun Instagram rasmi, Liza Aziz.
Semangat memberi Kris (dalam nyanyian), yang turut dikenali di Singapura dan Malaysia kerana lagu hit, Mencintaimu, Ku Tak Sanggup dan Keabadian Cinta itu turut dikesan juri tetap, Hetty Koes Endang, dari Indonesia.
“Terima kasih kepada KD (singkatan nama Kris Dayanti) kerana sudah bawa aura positifnya di pentas GV11.
“Semangat memberi kamu kepada Liza banyak membantunya untuk capai prestasi lebih cemerlang, sama-sama menyokong dan memberi yang terbaik,” ujar Hetty.
Sebelum mengiringi Liza dalam lagu Cinta (dendangan asal Kris bersama Melly Goeslaw), Kris membawa lagu, Cobalah Untuk Setia, yang mendapat pujian ramai.
“Kris tidak pernah mengecewakan dan selalu memberi persembahan terbaik persis konsert solonya,” tulis netizen yang menggunakan akaun ‘pedangsamudera’ di media sosial, X.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg