Kebolehannya bermain alat muzik, menyanyi dan menghidupkan watak dengan penuh penghayatan membuatkan ramai beranggapan bakat serba boleh pelakon dan pengarah Malaysia, Khir Rahman, diwarisi daripada kededua ibu bapanya.

Tidak hairanlah, memandangkan beliau merupakan anak kepada pasangan legenda pop yeh yeh, Allahyarham Datuk A. Rahman Hassan dan Allahyarhamha Datin Azizah Mohamad.

Namun, di sebalik nama besar keluarga, kejayaan Khir, atau nama sebenarnya, Khairulizam Abdul Rahman, 53 tahun, dalam industri seni bukanlah semata-mata bersandarkan pengaruh atau kelebihan yang dimiliki ibu bapanya.

Anak seni itu menegaskan dirinya membesar sama seperti anak-anak yang lain, tanpa sebarang laluan mudah.

“Zaman saya dahulu mana ada istilah ‘nepo baby’ atau guna ‘kabel’.

“Arwah Abah (panggilan bagi bapanya) bukannya jenis yang suka tarik atau tolak anak-anak masuk industri. Saya berusaha sendiri dari bawah.

“Masa kecil, saya langsung tidak tahu Abah itu penyanyi terkenal.

“Saya cuma tahu Abah ini dikenali ramai apabila saya masuk sekolah menengah sekitar 1980-an, sewaktu beliau anjurkan Konsert Malam Himpunan Penyanyi 60-an,” katanya dalam laman Harian Metro.

Meskipun arwah bapanya mempunyai syarikat penerbitan sendiri dan pernah bertugas di TV3, Khir akur tidak pernah ditawarkan jalan mudah.

Katanya, beliau terpaksa melalui fasa merangkak dari pentas teater Universiti Sains Malaysia (USM), dan berlakon satu babak dalam filem Anak Mami, sebelum perlahan-lahan mendaki tangga industri.

Malah, Khir pernah melalui detik sukar dalam perjalanan seninya apabila kekecewaan terhadap mutu penerbitan drama televisyen tempatan mendorongnya untuk menjauhkan diri daripada dunia lakonan.

Beliau sendiri mengakui pernah bersikap ‘sombong’ kerana terlalu berpegang teguh pada ilmu dan prinsipnya dalam mempertahankan kualiti sesebuah karya, sehingga nekad mengambil keputusan untuk berhenti berlakon.

“Ketika itu, saya rasa diri ada pelajaran seni, jadi saya banyak protes di set penggambaran apabila tengok hasil kerja yang tidak bermutu.

“Sampai satu tahap, saya jadi marah dan benci nak tonton televisyen.

“Saya cakap pada diri, lebih baik saya pergi kerja buruh binaan, angkat batu di tapak kontrak.

“Biar saya buat kerja yang saya tiada ilmu, supaya saya tidak merungut,” ujarnya.

Keputusan Khir untuk ‘membuang’ kerjaya lakonan dan mahu menjadi buruh binaan akhirnya sampai ke pengetahuan arwah bapanya.

Mengingati detik penuh emosi itu, Khir berkata, arwah bapanya memberikan satu teguran tajam yang terus melekat dalam fikirannya sehingga kini.

Allahyarham meninggal dunia pada 2019 akibat komplikasi paru-paru.

“Abah kata pada saya, ‘Khir, dalam hidup ini ada orang sombong sebab harta. Ada orang sombong sebab rupa, dan ada orang sombong sebab ilmu. Kalau kau rasa kau ada ilmu dan berbakat, kenapa kau mesti sombong?’

“Kemudian, abah tanya lagi, ‘Bakat yang Allah beri ini dalam bidang seni. Kalau kau ‘balik’ esok dan Allah tanya apa kau buat dengan bakat kau, kau nak jawab kau pergi angkat batu?’

“Kata-kata Abah itu buat saya rasa seperti terhantuk,” singkap Khir yang terkenal dengan filem, Rock Oo! dan Hikayat Merong Mahawangsa serta drama bersiri Keluarga Baha Don.

Tersedar daripada keangkuhan jiwa muda, Khir bangkit semula.

Demi membina semula kerjaya seninya, beliau menyediakan resume peribadi dan menghantar profilnya kepada 50 syarikat penerbitan yang berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Namun, tiada satu pun daripada syarikat berkenaan memberikan maklum balas terhadap permohonannya.

Biarpun usahanya pada awalnya menemui jalan buntu, pintu rezeki akhirnya terbuka apabila Khir berpeluang menghadiri uji bakat filem epik Puteri Gunung Ledang (2004), sekali gus membuka laluan kepada kejayaan lebih besar dalam bidang lakonan.

“

“Abah (Allahyarham Datuk A. Rahman Hassan) kata pada saya, ‘Khir, dalam hidup ini ada orang sombong sebab harta. Ada orang sombong sebab rupa, dan ada orang sombong sebab ilmu. Kalau kau rasa kau ada ilmu dan berbakat, kenapa kau mesti sombong?... Kata-kata Abah itu buat saya rasa seperti terhantuk.”
Khir Rahman.